Rabu, 13 Mei 2020

Jadikan pembelajaran di rumah lebih seronok dengan 3D dan Realiti Bertambah menggunakan Search



Realiti bertambah (RB) menerusi Search membolehkan anda membawa masuk binatang dan objek 3D ke dalam ruang anda untuk menjadikan ruang tamu anda sebagai sebuah zoo maya, meneroka kapal angkasa Apollo 11 secara dekat, atau bergambar bersama Santa. Kami gemar melihat keseronokan yang dialami keluarga-keluarga ketika mengalami ciri ini di rumah. RB menerusi Search boleh juga membantu anda menemui dan meneroka konsep-konsep baru. Berikut adalah beberapa cara baru anda boleh menggunakan RB (dan sedikit imaginasi) untuk belajar di rumah.


Lakukan perjalanan maya ke dalam badan manusia

Membaca tentangnya tak sama dengan melihat sebuah jantung manusia untuk memahami bagaimana ia mengepam darah untuk membawa oksigen. Kami telah bekerjasama dengan BioDigital agar anda dapat menerokai 11 sistem badan manusia menggunakan RB menerusi Search di peranti mudah alih. Cari “circulatory system” dan ketik pada “View in 3D” untuk melihat sebuah jantung secara dekat atau cari “skeletal system” untuk melihat setiap tulang di dalam tubuh badan manusia. Baca label pada setiap bahagian badan untuk pelajari dengan lebih lanjut atau lihat imej skala-sebenar dalam RB untuk lebih memahami skalanya.

Perbesarkan pandangan anda mengenai dunia mikroskopik

Selalunya, kita perlu melihat untuk memahami. Tetapi organisma-organisma kecil, seperti sel, adalah sukar untuk dibayangkan melainkan anda dapat memperbesarkannya untuk memahami apa yang berada di dalam. Kami telah bekerjasama dengan Visible Body untuk menghasilkan model-model RB bagi sel haiwan, tumbuhan dan bakteria, termasuklah organel penting mereka. Cari “animal cell” dan zum masuk ke dalam nukleusnya untuk melihat bagaimana ia menyimpan DNA atau cari “mitochondria” untuk mempelajari tentang dalamannya. Dengan RB, anda boleh membawa masuk sebuah sel 3D ke dalam ruang anda untuk memusingnya, zum masuk dan lihat butiran bagi setiap komponennya.

Jadikan rumah anda sebuah muzium

Kebanyakan muzium mungkin ditutup buat masa ini, tetapi dengan Google Arts & Culture dan institusi-institusi seperti Smithsonian National Air and Space Musuem, anda boleh menjadikan rumah anda sebuah muzium menggunakan RB. Cari “Apollo 11” di telefon anda untuk melihat modul kawalannya dalam 3D, cari “Neil Armstrong” untuk melihat sut angkasanya dalam skala sebenar, atau lawati “Chauvet Cave” untuk melihat secara dekat lukisan-lukisan gua tertua di dunia, yang biasanya tidak dapat dikunjungi orang awam.




Teroka, rakam dan kongsi dengan mudah 

Untuk membantu anda terokai kandungan berkaitan dengan pantas, kami sedang melancarkan format karusel baru di Android, di samping pilihan rakaman untuk anda kongsikan video-video RB bersama rakan-rakan dan keluarga.






Kami harap anda sukakan pengalaman 3D dan RB ini di Google. Tag kami di saluran media sosial menggunakan #Google3D dan kongsikan pengalaman RB anda di rumah bersama kami. Kami tak sabar untuk ketahui apa yang telah anda alami!