Generasi YouTube ke-11 anjuran YouTube Malaysia mengetengahkan lima pencipta YouTube yang terserlah dalam arena permainan - Micheal Ong dan Peter Loo dari Awesome Toys TV, Nazreen Ashraf, Patrick Ong dari saluran Patrick Ohm, dan Justin Tan dari Studio G dalam sebuah sesi yang bertemakan “Toy Creators, Assemble!” (Pencipta Permainan, Berkumpul!). Para pencipta tersebut berkongsikan kisah-kisah di sebalik pembikinan saluran mereka yang tertumpu kepada berita dan ulasan permainan, mengetengahkan para pengumpul tempatan dan koleksi mereka, pembinaan model khas, dan fotografi permainan.
Pengasas Awesome Toys TV - Micheal Ong dan Peter Loo - memulakan sesi tersebut dengan perkongsian mereka tentang bagaimana mereka bermula dari mengetengahkan para pengumpul tempatan di saluran mereka sehingga ke liputan acara-acara industri permainan serantau.
Membawa minat mereka terhadap permainan ke YouTube, Micheal (kiri) dan Peter (kanan) mula bertemu di sebuah acara berkaitan permainan sebelum mengasaskan Awesome Toys TV.
“YouTube memberi kami sebuah saluran untuk berkongsi minat kami terhadap permainan menerusi Awesome Toys TV. Tiada saluran YouTube di Malaysia yang seumpama kami - dengan gabungan kandungan seperti liputan konvensyen permainan, temu ramah bersama pengumpul permainan, ulasan permainan, kolaborasi bersama pencipta lain dan juga jenama - dan ia telah memberi kami sebuah khalayak setia yang masih berkembang sejak 2014,” kata para pencipta tersebut.
Pencipta Nazreen Ashraf berkongsi tentang perjalanan YouTube beliau yang bermula secara tidak sengaja ketika sebuah ekspedisi mencari permainan bersama adik lelakinya di Jepun. Nazreen mula membentuk minat terhadap Beyblade selepas adiknya meminta beliau untuk membelikan salah satu permainan gasing moden dari francais milik Takara Tomy Beyblade tersebut.
Sebuah perjalanan mencari permainan di Jepun membawa Nazreen untuk membentuk minatnya terhadap Beyblade, yang kemudian mendorongnya untuk mempelajari bagaimana para pencipta lain di YouTube menghasilkan kandungan berkenaannya
“Tak salah kalau dikatakan bahawa YouTube telah mengubah hidup saya. Dengan menumpukan perhatian kepada penciptaan kandungan di saluran saya, saya kini lebih dikenali di kalangan peminat Beyblade dalam cara yang tidak pernah saya jangkakan sebelum ini. Ia bagaikan menjadi seorang selebriti! Penghargaan yang diberikan kepada hasil ciptaan saya mendorong saya untuk terus menghasilkan kandungan Beyblade buat para penonton dan pelanggan saya.”
Nazreen mengimbangkan masa antara kehidupan keluarga bersama isteri dan anak lelakinya, dan juga pekerjaan hariannya, dan mendedikasikan masa untuk menghasilkan 3-4 video setiap minggu. Beliau juga menantikan masa apabila anaknya dapat menyertainya dalam video-video YouTube dan perjalanan Beyblade beliau.
Patrick, pencipta di sebalik saluran Patrick Ohm yang tertumpu kepada diorama yang diciptanya sendiri dan juga penambahbaikan figura aksi, mengetengahkan butiran terperinci hasil ciptaannya. Bermula dengan rakaman video penciptaan dioramanya yang diambil sebagai rujukan, ia kemudian berkembang menjadi sebuah minat mendalam terhadap videografi. Patrick turut mencipta dioramanya dari mula menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati kerana beliau mendapati bahawa diorama yang siap dibina adalah agak mahal dan hanya boleh digunakan beberapa kali sahaja. Minat dan kejadian yang berlainan ini bertemu untuk membentuk kandungan yang dihasilkannya pada saluran tersebut.
Patrick bermula dengan merakamkan koleksi diorama permainannya sebagai rujukan peribadi. Ia kemudian berubah menjadi satu cara untuk menunjukkan bagaimana para penonton juga dapat menghasilkan diorama mereka sendiri menggunakan bahan-bahan mudah didapati.
Apabila ditanya tentang nasihat yang boleh diberi kepada mereka yang berminat untuk mengikuti jejak langkah beliau, Patrick berkata, “Tentukan apa tujuan saluran anda dan fokus pada penciptaan kandungan yang selari dengannya. Jika saluran anda adalah berkaitan dengan permainan, anda boleh agak bahawa para penonton anda merupakan mereka yang tahu tentang topik tersebut. Pastikan anda lakukan kajian anda, agar saluran anda relevan dan fikirkan bagaimana untuk menyampaikannya dalam cara yang bermaklumat dan menarik.”
Dilengkapi dengan minat dan dedikasi, Justin Tan berhenti kerja untuk menumpukan perhatian kepada saluran YouTubenya, Studio G, yang mengetengahkan pembinaan model Gunpla khas penuh sinematik. Beliau berkongsi bagaimana keputusannya untuk menjadi sebuah pencipta YouTube sepenuh masa merupakan satu impian yang menjadi kenyataan buatnya kerana beliau telah lama bercita-cita untuk mendedikasikan dirinya kepada sesuatu yang diminati. Salurannya telah turut memberinya cara untuk menampung kehidupannya sekeluarga.
Justin percaya bahawa penonton dan komuniti global YouTube merupakan apa yang diperlukan untuk beliau menyatakan minat dan mesejnya.
“Saya telah pelajari bahawa YouTube sukakan ketekalan. Ia mungkin agak sukar untuk kekal konsisten dengan muat naik anda tetapi ia harus dilakukan - jika ia bermakna saya tidak tidur, saya tidak akan tidur. Walaupun begitu, anda tidak terus menjadi seorang pencipta dengan hanya merakamkan hasil kerja anda, ia harus memenuhi beberapa syarat dan berkualiti untuk ia menjadi menarik dan bermanfaat buat penonton anda, yang turut mendorong saya untuk menumpukan perhatian kepada kualiti penghasilan video-video saya. Ia boleh mengambil masa sehingga dua minggu untuk menyiapkan sebuah video yang boleh dimuat naik.”
Nadia berkata bahawa Generasi YouTube merupakan sebuah pelantar untuk mengetengahkan para pencipta yang sedang menempa nama dan juga perkembangan komuniti YouTube di Malaysia.
Nadia Khan, Pengurus Komunikasi bagi Produk Pengguna di Google Malaysia yang memulakan sesi tersebut, berkata, “YouTube merupakan sebuah pelantar di mana kreativiti berkembang maju, ia merupakan sebuah alat buat semua di seluruh dunia untuk berkongsi minat mereka, tidak kira betapa khususnya minat tersebut. Acara-acara seperti hari ini mengetengahkan para pencipta YouTube Malaysia yang bukan sahaja mencungkil kepelbagaian kandungan dari Malaysia, tetapi ia juga memaparkan komitmen, dedikasi dan lebih penting lagi, semangat yang dimiliki para pencipta untuk apa yang mereka lakukan.”
Untuk hasil-hasil kerja terbaru dari para pencipta tersebut, layari saluran mereka: Awesome Toys TV, Nazreen Ashraf, Patrick Ohm, dan Studio G.
Generasi YouTube merupakan sebuah inisiatif YouTube Malaysia untuk memaparkan para pencipta tempatan berbakat yang sedang menempa nama berdasarkan impak yang mereka lakukan pada pelantar tersebut. Panel-panel pencipta yang sebelum ini telah mengetengahkan budaya ‘geek’ tempatan, komuniti fesyen Malaysia, ‘vlogger’ milenial dan juga pencipta YouTube wanita yang memecah stereotaip.