Google Cloud pada hari ini telah memperkenalkan Google Workspace, sebuah identiti jenama baru yang mencerminkan pengalaman produk yang berintegrasi dengan lebih mendalam, diikuti dengan edisi-edisi baru yang boleh dibeli dan disuaikan kepada keperluan pengguna. Google Workspace dengan telitinya telah menyatukan pemesejan, mesyuarat, dokumen, dan tugasan - kesemuanya dibina menggunakan keselamatan Google yang dipercayai dan dikuasakan oleh teknologi awan yang paling bersih dalam industri.
“Ini merupakan saat-saat akhir bagi ‘pejabat’ sepertimana yang dikenali kita,” kata Javier Soltero, Naib Presiden dan Pengurus Besar Google Workspace. “Mulai hari ini, kita harus perlu berkembang maju tanpa perlu bertemu secara berdepan, melindungi masa masing-masing untuk menumpukan perhatian buat tugasan paling berimpak, dan membina hubungan manusia dalam cara-cara baru. Google Workspace memberikan pengalaman pengguna berintegrasi penuh yang membantu setiap individu berjaya dalam realiti baru ini - sama ada anda di pejabat, bekerja dari rumah, di barisan hadapan, atau berinteraksi bersama para pelanggan.”
Google telah meluangkan beberapa dekad untuk membina produk-produk yang mudah untuk dipelajari, dan ini telah membantu menjangkankan keperluan para pengguna dalam cara yang bermanfaat. Lebih dari 2.6 bilion pengguna, perusahaan, dan organisasi pendidikan kini memilih untuk menggunakan aplikasi produktiviti dan kolaborasi Google secara aktif setiap bulan.
Pada Julai lalu, Google mengumumkan hab baru untuk kerja, yang juga merupakan langkah pertama dalam visinya untuk membentuk sebuah pengalaman tunggal yang menawarkan cara terbaik untuk mencipta, berkomunikasi dan berkolaborasi. Hari ini, hab tersebut boleh didapati secara amnya oleh semua pelanggan perniagaan Google Workspace, dan dalam bulan-bulan akan datang, ia akan turut boleh didapati oleh para pengguna lain.
“Produk-produk kolaborasi dan komunikasi Google menjana produktiviti dan menghubung kami dalam cara-cara yang tidak dapat dilakukan sebelum ini,” kata Alex Grigorian, SVP & CIO, Perkhidmatan Korporat, Equifax. “Kami berasa teruja untuk menjadi sebahagian daripada evolusi Google Workspace dan menerokai bab seterusnya dalam pembentukan sebuah budaya yang mendorong inovasi.”
Mencipta pengalaman pengguna baru
Pengalaman pengguna Google Workspace menyatukan peralatan utama bagi komunikasi dan kolaborasi - seperti aplikasi sembang, emel, panggilan suara dan video, dan pengurusan kandungan - ke dalam satu pengalaman tunggal. Ciri-ciri baru termasuk:
Pratonton terpaut: Didapati mulai hari ini, pratonton terpaut dalam Docs, Sheets, dan Slides membolehkan para pengguna untuk melihat kandungan sesebuah pautan tanpa meninggalkan dokumen asal, menjimatkan masa beralih antara aplikasi dan tab, dan membolehkan lebih banyak kerja untuk dilakukan.
Cip pintar dalam Docs, Sheets, dan Slides: Boleh didapati secara berperingkat mulai hari ini, apabila anda @menyebut seseorang dalam sebuah dokumen, sebuah pop timbul akan muncul dan memaparkan butiran yang memberikan konteks dan juga mencadangkan tindakan-tindakan seperti berkongsi dokumen. Dengan menghubungkan pengguna kepada kandungan dan individu yang tepat di Docs, Sheets dan Slides, Google Workspace membantu pengguna melakukan lebih banyak dari sebelumnya.
Penghasilan Doc dalam bilik sembang: Dalam minggu-minggu akan datang, Google Workspace akan membolehkan pengguna untuk menghasil dan berkolaborasi dalam sesebuah dokumen (Docs, Sheets, Slides) secara dinamik terus dari dalam bilik sembang Chat, tanpa perlu menukar tab atau peralatan. Ini akan mengurangkan kerumitan dan membantu memastikan agar setiap ahli kumpulan dapat melihat kandungan projek yang relevan.
Fungsi gambar-dalam-gambar Meet merentasi Docs, Sheets dan Slides: Pada Julai lalu, Google telah mengumumkan kehadiran fungsi gambar-dalam-gambar Meet dalam Gmail dan Chat, agar pengguan dapat melihat dan mendengar rakan sekerja mereka sambil berkolaborasi. Dalam bulan-bulan akan datang, Google akan menawarkan secara berperingkat fungsi gambar-dalam-gambar Meet di Docs, Sheets dan Slides, bermakna pengguna dapat meraih manfaat melihat reaksi seseorang ketika berkolaborasi dalam masa nyata.
“Ia bukan sahaja perniagaan yang terpaksa bertukar; para kakitangan juga sedang berada dalam tempoh peralihan sambil mereka menyesuaikan diri dengan cara bekerja yang hibrid, dan teknologi memainkan peranan penting untuk membolehkan peralihan tersebut,” kata Angela Ashenden, Penganalisis Utama bagi Transformasi Tempat Kerja di CCS Insight. “Warisan pengguna dan produk asli awan Google menjadikannya sesuai untuk membimbing pengguna dalam suasana tempat kerja yang sentiasa berubah. Para pengguna merasakan bilangan peralatan dan saluran yang ada sebelum ini adalah keterlaluan, dan Google membantu mereka mengakses aliran kerja yang berbeza dari satu tempat.”
Identiti jenama baru
Jenama Google Workspace baru mencerminkan visi produk Google untuk sebuah pengalaman yang fleksibel, membantu dan mudah, bertunjangkan integrasi dan kolaborasi. Dalam minggu-minggu akan datang, para pengguna akan melihat ikon-ikon baru dengan empat warna bagi Gmail, Drive, Calendar, Meet dan peralatan penciptaan kandungan berkolaborasi seperti Docs, Sheets dan Slides, yang melambangkan keluarga yang sama dan mewakili komitmen Google Workspace untuk membina pengalaman komunikasi dan kolaborasi yang mendalam, dengan bantuan dari Google.
Kami akan turut menawarkan Google Workspace bagi para pelanggan pendidikan dan bukan keuntungan kami dalam bulan-bulan akan datang. Para pelanggan pendidikan masih boleh mengakses peralatan kami seperti G Suite for Education, yang merangkumi Classroom, Assignments, Gmail, Calendar, Drive, Docs, Sheets, Slides dan Meet. G Suite for Nonprofits akan terus ditawarkan kepada organisasi-organisasi yang layak menerusi program Google for Nonprofits.
Menawarkan lebih banyak pilihan
Kesemua 6 juta pelanggan perniagaan berbayar Google Workspace, dari PKS ke syarikat multinasional, berkongsi keperluan untuk penyelesaian yang selamat dan transformatif bagi membantu mereka memodenkan cara mereka bekerja, tetapi keperluan penyimpanan, pengurusan, dan keselamatan dan pematuhan berbeza antara satu sama lain. Bagi menawarkan lebih banyak pilihan dan membantu para pelanggan memanfaatkan Google Workspace sepenuhnya, dan berdasarkan maklum balas langsung dari mereka, Google akan melancarkan sebuah set tawaran baru yang lebih sesuai dengan cara para pelanggan membeli produk-produk tersebut.
Anda boleh pelajari tentang tawaran-tawaran baru tersebut di sini.
Menyokong rakan-rakan kami
Rakan-rakan Google Cloud, termasuk rakan teknologi, penyepadu sistem, penjual semula dan perkhidmatan, akan terus menjadi memainkan peranan penting dalam membolehkan usaha-usaha transformasi bagi organisasi pelbagai jenis dan saiz di seluruh dunia.
“Salesforce dan Google telah berkongsi visi untuk membolehkan tempat-tempat kerja bekerjasama, terutamanya dalam dunia baru serba digital dan bekerja dari mana-mana,” kata Ryan Aytay, Ketua Pegawai Perniagaan Salesforce. “Dengan pelancaran ini, kami akan terus menawarkan CRM #1 dunia bersama Google Workspace untuk memacu kejayaan pelanggan bagi perniagaan di seluruh dunia.”
“Di Deloitte, kami membentuk bagaimana kerja dapat dilakukan dengan lebih berkesan dalam perusahaan-perusahaan terbesar dunia. Anjakan terkini telah dipacu secara dramatik oleh COVID-19,” kata Tom Galizia, Ketua Deloitte Consulting LLP, dan Ketua Pegawai Komersial Deloitte bagi Alphabet. “Google terus menjadi peneraju dalam kolaborasi, inovasi, berpasukan, dan keberkesanan kerja. Google Cloud merupakan salah satu kawasan pertumbuhan tertinggi bagi Deloitte, dan pelancaran Google Workspace membina di atas komitmennya untuk memacu transformasi pekerjaan digital berskala bagi perusahaan, kerajaan, dan institusi akademik.”
“Google Cloud telah menjadikan misinya untuk membantu para perniagaan membayangkan semula cara mereka berkerja dan Google Workspace kini menawarkan peluang baru dan menarik untuk mengoptimumkan perjalanan digital mereka dengan lebih lanjut,” kata Eric Grall, Pegawai Operasi Atos. “Sebagai sebuah pemimpin bagi Perkhidmatan Tempat Kerja Digital (Digital Workplace Services), kami berasa bangga untuk memperluaskan kemampuan kami menerusi kerjasama bersama Google Cloud untuk membantu organisasi bersedia untuk masa hadapan dan memanfaatkan keupayaan tersebut untuk membantu para individu menyiapkan tugasan, secara maya atau sebaliknya.”
Pelajari tentang Google Workspace dengan lebih lanjut di sini.