Oleh Prabhakar Raghavan, Naib Presiden Kanan Google
Kemajuan AI mencabar sempadan keupayaan produk-produk Google. Perkara ini sangat jelas terutamanya buat teras misi kami untuk menjadikan informasi lebih mudah diakses dan lebih berguna untuk semua.
Kami telah menghabiskan lebih dua dekad membangunkan bukan sahaja pemahaman informasi atas talian yang lebih baik, malahan juga pemahaman tentang dunia yang lebih bagus. Ini kerana dengan memahami informasi, kita boleh jadikannya lebih membantu - tidak kiralah jika anda seorang pelajar jarak jauh yang sedang mendalami subjek baharu yang kompleks, seorang penjaga yang sedang mencari informasi vaksin yang dipercayai, mahupun ibu bapa yang mencari jalan pulang ke rumah yang terbaik.
Pemahaman lebih mendalam dengan MUM
Pada tahun 2019, kami telah melancarkan BERT di Carian Google. Ia merupakan sebuah model AI yang lebih memahami niat di sebalik pencarian anda. BERT telah meninggalkan impak besar, namun Carian merupakan satu cabaran yang masih belum terungkai: Kami terus berusaha agar informasi dapat difahami dengan lebih mendalam.
Kami telah mencapai satu tanda aras utama dalam inovasi AI melalui Multitask Unified Model, atau dengan lebih mesranya dipanggil sebagai MUM. Seperti BERT, ia dibina berasaskan sebuah pengantar Transformer, yang merupakan satu langkah besar ke hadapan dalam memahami bahasa. Akan tetapi MUM adalah 1,000 kali lebih berkuasa berbanding BERT dan mampu melakukan pelbagai tugas serentak untuk mendapatkan informasi melalui pelbagai cara baharu.
MUM bukan semata-mata memahami bahasa, ia juga mampu menjananya. Ia terlatih dalam 75 buah bahasa berbeza di samping melaksanakan pelbagai tugas berlainan pada satu-satu masa. Ini memberikannya pemahaman informasi dan pengetahuan dunia yang lebih komprehensif berbanding model-model terdahulu seperti BERT. Dengan sifat multimodal, ia memahami informasi merentasi teks dan imej, lantas membolehkannya berkembang dalam modal-modal lain seperti video dan audio di masa hadapan.
Bayangkan sebuah pertanyaan kompleks berbentuk perbualan seperti “Saya telah mendaki Gunung Adams dan ingin mendaki Gunung Fuji ketika musim luruh nanti. Apakah perbezaan dalam persiapan pendakian yang harus saya lakukan?” Ini sememangnya akan membingungkan enjin pencarian pada hari ini. Namun di masa hadapan, MUM mungkin akan memahami soalan rumit ini dan seterusnya menjana respon yang tersusun baik dan kemudiannya menunjuk ke arah hasil pencarian yang sangat relevan. Kami telah memulakan beberapa projek awal dalaman menggunakan MUM dan amat teruja dengan potensinya untuk menambah baik produk-produk Google.
Informasi tampil bernyawa dengan Lens dan AR
Orang ramai menggunakan Google untuk mempelajari perkara baharu, dan visual mampu memainkan peranan besar. Google Lens membolehkan anda melakukan pencarian objek yang anda lihat - dari kamera, gambar, hinggalah ke bar carian anda. Kini kami mendapati lebih 3 bilion pencarian dilakukan melalui Lens setiap bulan, di mana ia semakin melonjak naik sebagai wadah pembelajaran. Sebagai contoh, ramai pelajar berkemungkinan diberikan tugasan sekolah dalam bahasa bukan kebiasaan mereka. Oleh sebab inilah kami mengemaskini penapis Translate agar penyalinan, pendengaran atau pencarian teks diterjemah menjadi mudah. Ini akan membantu pelajar mengakses kandungan pendidikan di tapak web dalam lebih 100 buah bahasa.
AR juga merupakan alat pembelajaran visual yang berkuasa. Melalui atlet AR baharu di Carian, anda boleh melihat teknik istimewa sesetengah atlet kegemaran anda dalam AR - seperti rutin balok imbang Simone Biles yang tersohor itu.
Menilai informasi menggunakan Berkenaan Hasil Ini
Maklumat berguna seharusnya boleh dipercayai dan boleh diharapkan, terutamanya ketika detik-detik seperti pandemik atau pilihanraya. Orang ramai beralih kepada Google untuk maklumat yang boleh dipercayai ini.
Sistem penarafan kami direka untuk mengutamakan informasi berkualiti tinggi, namun kami juga membantu anda menilai kebolehpercayaan sumber dengan lebih baik di Carian Google itu sendiri. Maklumat sesebuah tapak web disediakan menerusi ciri Berkenaan Hasil Ini (About This Result) sebelum anda melawatinya, termasuklah perincian, ketika ia mula-mula dimasukkan ke dalam indeks dan sama ada hubungan anda dengan tapak web terbabit adalah selamat.
Bulan ini kami akan mula mengaplikasi Berkenaan Hasil Ini kepada semua hasil carian Bahasa Inggeris di seluruh dunia, dengan lebih banyak pilihan bahasa di masa akan datang. Kemudiannya pada tahun ini juga, kami akan menambah lebih banyak perincian seperti bagaimana sesebuah halaman menggambarkan dirinya, apakah yang dikatakan sumber-sumber lain berkenaan halaman tersebut serta artikel berkaitan yang boleh dibaca.
Menjelajah dunia sebenar dengan Maps
Google Maps mengubah bagaimana kita mengemudi, menjelajah dan menyempurnakan tugasan di dunia ini - dan kita terus menguji batasan sesebuah peta, dengan ciri sulung industri seperti navigasi AR di skala Live View. Beberapa minggu terdahulu, kami telah mengumumkan yang kami masih dalam jadual untuk melancarkan lebih 100 penambahbaikan Google Maps dikuasakan AI menjelang akhir tahun ini dan pada hari ini kami memperkenalkan beberapa ciri baharu tersebut. Pengemaskinian laluan baharu kami direka untuk mengurangkan kebarangkalian brek mengejut ketika pemanduan anda - kami percaya perubahan ini akan menghentikan lebih 100 juta brek mengejut dalam pemanduan Google Maps setiap tahun.
Jika anda ingin merancang aktiviti akan datang, peta direka khusus kami akan menonjolkan lokasi-lokasi relevan pada waktu terbaik. Penambahbaikan LIve View dan perincian jalanan yang lebih mendalam akan membantu anda meneroka dan mendapatkan pemahaman mendalam sesebuah tempat sepantas mungkin. Jika anda ingin mengetahui kesibukan sesebuah kejiranan atau bahagian bandar, kami membolehkan anda melakukannya dengan sekelip mata sebaik sahaja Maps dibuka.
Lebih banyak cara untuk membeli-belah dengan Google
Setiap hari, orang ramai membeli-belah merentasi Google lebih dari satu bilion kali dan Shopping Graph yang dikuasakan AI kami - yang merupakan pemahaman mendalam kami mengenai produk, penjual, jenama, ulasan, informasi produk dan inventori data - merupakan tonggak kebanyakan ciri yang membantu anda mendapatkan apa yang anda cari.
Kami menyedari membeli-belah bukannya satu pengalaman sehala dan sehubungan itu kami memperkenalkan kaedah-kaedah baharu untuk meneroka dan kekal maklum akan produk-produk di pasaran. Kini, apabila anda melakukan tangkap layar, Google Photos akan mengusulkan anda untuk melakukan pencarian foto dengan Lens agar anda boleh terus membelinya jika anda ingin berbuat demikian. Di Chrome pula, kami akan membantu anda ambil maklum akan status troli beli-belah anda, supaya perjalanan membeli belah maya anda berjalan lancar. Kami juga sedang bekerjasama dengan pihak penjual untuk mengadakan faedah kesetiaan buat pengguna dengan lebih cepat ketika membeli-belah secara maya.
Tahun lalu kami menjadikannya percuma untuk para peniaga menjual produk mereka di Google. Kini kami memperkenalkan sebuah proses baharu mudah yang membantu 1.7 juta peniaga Shopify menjadikan produk mereka lebih mudah dijumpai merentasi Google dengan hanya beberapa klik.
Tidak kira sama ada kami cuba memahami informasi dunia atau membantu anda agar turut memahaminya, kami kekal berdedikasi untuk menjadikan produk kami lebih berguna saban hari. Dengan kuasa AI, kami mampu memberikan penyelesaian berkualiti terbaik dan paling relevan untuk soalan-soalan anda - lebih rumit, lebih baik!
Setiap hari, kami memberi tumpuan kepada kawalan yang anda ada ke atas data anda dengan membina produk yang selamat secara lalai dan peribadi secara asas. Pada I/O tahun ini, kami memperkenalkan ciri-ciri dan teknologi baru untuk menjadikan anda lebih selamat dengan Google.
Privasi adalah sesuatu yang peribadi. Itulah sebabnya kami mempermudahkan anda untuk memilih tetapan yang sesuai - sama ada ia satu tempat untuk menguruskan tetapan dalam Akaun Google anda, pilihan Pemadaman Automatik, atau kawalan yang muncul dalam konteks ketika anda menggunakan produk kami. Kami mengumumkan beberapa kawalan baru hari ini:
Padam dengan pantas dari Carian. Kami memperkenalkan sebuah pilihan "padam cepat" baru untuk memadam 15 minit terakhir sejarah Carian anda dengan satu ketikan dari Menu Akaun Google.
Folder Terkunci dilindungi kod laluan dalam Photos. Pernahkah anda menyerahkan telefon anda untuk menunjukkan sebuah foto kepada seseorang, tetapi bimbang mereka mungkin akan menatal ke gambar peribadi atau sensitif - seperti foto pasport anda atau hadiah kejutan? "Folder Terkunci" adalah ciri baru dalam Google Photos - ruang yang dilindungi kod laluan dimana foto tertentu dapat disimpan secara berasingan. Foto-foto ini tidak akan muncul semasa anda menatal di grid atau di album bersama. Fungsi ini akan datang ke Google Pixel terlebih dahulu, dan kepada lebih banyak peranti Android lain sepanjang tahun ini.
Peringatan Sejarah Lokasi dalam Garis Masa Peta anda. Sekarang, apabila anda melihat tempat yang pernah anda lawati di Garis Masa anda, kami akan mengingatkan anda bahawa ia adalah kerana anda telah menghidupkan Sejarah Lokasi - yang anda boleh matikan dengan mudah secara terus dari Garis Masa anda.
1. Pilihan "padam cepat" baru dalam Carian.
2. Folder Terkunci dalam Photos
3. Peringatan Sejarah Lokasi dalam Garis Masa Peta anda.
Kami juga memperkenalkan ciri ketelusan dan keizinan baru yang terkemuka dalam industri pada Android 12. OS baru ini akan menyertakan Papan Pemuka Privasi di mana anda akan melihat garis masa untuk setiap kali aplikasi mengakses kamera, mikrofon, atau lokasi peranti anda. Kami juga telah menambahkan indikator yang menunjukkan saat kamera atau mikrofon anda digunakan, serta togol mudah untuk menonaktifkan akses ke kedua-dua ciri pada peranti anda. Anda kini boleh memilih untuk berkongsi anggaran lokasi anda menerusi aplikasi dan bukannya lokasi yang tepat.
Membina produk yang selamat secara lalai
Seperti yang telah ditunjukkan oleh insiden keselamatan pihak ketiga berprofil tinggi baru-baru ini, maklumat anda tidaklah bersifat peribadi jika ia tidak selamat. Dengan teknologi yang didorong oleh kecerdasan buatan (AI) yang melindungi berbilion pengguna di seluruh dunia, produk kami adalah selamat secara lalai: setiap hari, kami menyekat 100 juta percubaan pancingan data dan 15 bilion mesej spam di Gmail dan mengenkripsi 4 bilion foto. Penyemakan Imbas Selamat di Chrome dan kebanyakan pelayar web lain membantu menjaga keselamatan Internet yang selebihnya, secara automatik melindungi lebih daripada 4 bilion peranti.
Salah satu risiko keselamatan terbesar adalah untuk kebergantungan berterusan pada kata laluan - ia selalunya mudah untuk diketahui, digunakan di beberapa laman web, atau dicuri dalam serangan pancingan data. Itulah sebabnya kami berusaha menuju sebuah masa depan tanpa kata laluan - memberi tumpuan kepada cara yang lebih selamat untuk mengesahkan identiti anda dan membina beberapa lapisan perlindungan ke dalam Akaun Google anda, seperti pendaftaran automatik dalam pengesahan 2-langkah.
Tetapi kerana kata laluan masih lagi diperlukan bagi kebanyakan akaun dalam talian, kami juga telah terus meningkatkan Pengurus Kata Laluan kami, yang dibina secara langsung ke dalam Chrome, Android dan sekarang iOS, untuk membantu anda membuat, mengingat, menyimpan dan mengisi kata laluan secara automatik di seluruh web. Hari ini, kami mengumumkan peningkatan baru kepada Pengurus Kata Laluan:
Sebuah alat baru yang memudahkan untuk mengimport kata laluan dari pengurus kata laluan yang lain
Integrasi yang lebih mendalam dengan Chrome dan Android untuk mengisi kata laluan anda dengan lancar di semua laman web dan aplikasi, tidak kira sama ada anda menggunakan desktop atau peranti mudah alih
Amaran Kata Laluan yang akan memberi amaran kepada anda secara automatik sekiranya kami mengesan salah satu kata laluan yang anda simpan telah dikompromi oleh pelanggaran pihak ketiga.
Kaedah pintar untuk memperbaiki kata laluan yang telah dikompromi di Chrome dengan sebuah ketikan mudah. Untuk laman web dan aplikasi yang disokong, setiap kali Pengurus Kata Laluan menemui kata laluan yang mungkin telah dikompromi, anda akan melihat butang "ubah kata laluan" dari Assistant. Apabila anda mengetik butang, Assistant bukan sahaja akan menavigasi ke laman web, tetapi juga melalui keseluruhan proses menukar kata laluan anda. Fungsi ini tersedia pada peranti Android dan akan dilancarkan ke lebih banyak laman web dan aplikasi pada masa akan datang.
1. Kaedah baru untuk memperbaiki kata laluan yang dikompromikan di Chrome.
2. Alat baru untuk mengimport kata laluan dari pengurus kata laluan lain ke Pengurus Kata Laluan.
3. Makluman Kata Laluan.
Mereka bentuk produk kami untuk menjadi lebih peribadi
Kami telah mempelopori teknologi pengkomputeran baru seperti Federated Learning (diciptakan oleh penyelidik Google pada tahun 2016) yang membolehkan pengalaman bermanfaat untuk ditawarkan di samping melindungi data dan privasi individu. Kami juga menggunakan Privasi Perbezaan dalam beberapa ciri dan produk kami yang paling berguna, dari Laporan Mobiliti Komuniti COVID-19 kami hingga ke ramalan lalu lintas di Peta, tanpa mendedahkan data pengguna individu. Dan kepakaran ini membimbing kerja kami dalam inisiatif industri yang lebih luas, seperti Privacy Sandbox sumber terbuka.
Sekarang, kami meneruskan usaha tersebut dengan Core Compute Core Android, yang menyimpan maklumat anda dengan selamat dan peribadi untuk beberapa ciri popular yang didorong oleh AI seperti Live Caption (yang memaparkan kapsyen berdasarkan audio), Now Playing (yang memberitahu anda tentang lagu yang sedang bermain) dan Smart Reply (yang mencadangkan respons pendek bagi mesej dan e-mel). Untuk ciri-ciri tersebut, pemprosesan audio dan bahasa berlaku secara eksklusif pada peranti anda. Seperti keseluruhan Android, Private Compute Core adalah sumber terbuka - sepenuhnya dapat diperiksa dan dapat disahkan oleh komuniti keselamatan.
Kami akan meneruskan usaha kami untuk menjadikan setiap hari lebih selamat dengan Google menerusi kawalan baru, keselamatan canggih, dan teknologi pemeliharaan privasi.
Oleh Oren Naim, Pengarah Produk, Peta Google
Semenjak awal lagi, kami membangunkan Google Maps untuk membantu anda berhubung dengan dunia sebenar. Pada tahun 2007, kami telah memperkenalkan Street View, sebuah platform pengimejan yang memaparkan pemandangan panorama jalan-jalan seluruh dunia, dari Tokyo ke Tonga. Setahun kemudian, kami membolehkan anda membuang cetakan tunjuk arah dan mendapatkan navigasi masa sebenar menggunakan telefon bimbit anda. Tiga tahun lalu, kami merupakan yang pertama melancarkan Live View dan membawa AR ke skala navigasi. Disebabkan pengetahuan mendalam kami berkenaan dunia serta kemajuan berkuasa AI, kami telah menghabiskan masa sepanjang 16 tahun yang lalu untuk membawakan kepada anda informasi berguna serta pengalaman seumpanya kepada Peta. Hari ini di Google I/O, kami mengumumkan lima kemaskini baharu agar anda dapat menavigasi, meneroka dan menyelesaikan urusan anda dengan lebih mudah.
Mengurangkan brek mengejut dengan kemaskini laluan baharu
Bayangkan anda sedang memandu untuk bertemu seorang rakan. Ketika menghampiri sebuah simpang yang sibuk, keadaan trafik tiba-tiba menjadi perlahan dan anda terpaksa menekan brek dengan mengejut. Menurut pakar di Virginia Tech Transportation Institute, detik brek mengejut sebegini - insiden dalam perjalanan yang menyebabkan seseorang pemandu memperlahankan kelajuan secara mendadak - boleh menjadi petunjuk utama kebarangkalian kemalangan kereta. Tidak lama lagi Peta Google akan mengurangkan kebarangkalian anda brek mengejut ketika pemanduan, terima kasih kepada bantuan pembelajaran mesin dan informasi navigasi terkumpul.
Ianya begini: Setiap kali anda mendapatkan panduan arah dari Peta, kami akan mendapatkan pilihan arah perjalanan ke destinasi anda berdasarkan beberapa faktor seperti bilangan lorong di jalan dan betapa pantasnya laluan tersebut. Dengan kemas kini ini, kami akan mendapatkan laluan terpantas dan mengenalpasti laluan yang paling berkemungkinan rendah menyebabkan anda melakukan brek mengejut. Kami akan mengesyorkan laluan tersebut jika jangkaan masa ketibaan adalah sama atau tidak banyak bezanya. Kami percaya perubahan sebegini berpotensi menghapuskan 100 juta kejadian brek mengejut dalam laluan yang disyorkan Peta Google setiap tahun. Jadi anda boleh bergantung kepada Peta bukan sahaja untuk membimbing pemanduan anda dari A ke B dengan pantas, malah dengan lebih selamat.
Ikuti arah ini dengan penambahbaikan Live View dan peta jalan yang terperinci
Jika anda berjalan kaki, kami juga boleh membantu anda dengan realiti terimbuh dalam Live View. Katakan anda sedang meneroka sebuah kejiranan asing - anda boleh mengakses Live View dengan serta-merta, secara langsung dari Peta serta melihat maklumat berguna bagi kedai dan restoran di sekitar anda - termasuklah sesibuk mana mereka, ulasan terkini serta foto masing-masing. Kami juga akan menunjukkan tanda jalan baharu yang berguna untuk simpang-simpang kompleks agar anda tahu dimana anda berada dan ke mana anda harus pergi seterusnya. Jika anda sedang mengembara, Live View akan memaklumkan anda sejauh mana anda dari destinasi dan dimana anda berada dari lokasi-lokasi seperti hotel anda agar mudah untuk ke sana.
Ciri peta jalan terperinci kami tidak lama lagi akan tersedia buat lebih 50 lagi bandar menjelang penghujung tahun ini, termasuklah Seattle, Singapura, Berlin dan São Paulo. Dengan bantuan AI serta pemahaman bandar serata dunia kami, anda akan dapat melihat kedudukan laluan jalan kaki, laluan pintas, dan pulau pejalan kaki; termasuklah bentuk dan kelebaran sesebuah jalan mengikut skala. Maklumat sebegini penting untuk pejalan kaki, terutamanya buat mereka yang menggunakan kerusi roda atau kereta tolak bayi, agar mereka boleh merancang laluan terbaik.
Kesan kawasan sibuk sepintas lalu
Setiap hari, lebih 80 juta orang menggunakan informasi kesibukan langsung sesebuah lokasi di Google untuk menjimatkan masa beratur atau mengekalkan penjarakan sosial ketika pandemik ini. Kini, ia dikembangkan untuk menunjukkan kesibukan relatif sesebuah kawasan, seperti jika sesebuah kejiranan atau bahagian-bahagian bandar adalah lebih sibuk dari biasa. Jika ia pagi Sabtu dan ingin meneroka bandar anda tanpa kesibukan orang ramai, bukalah Peta untuk serta merta melihat titik panas kesibukan yang harus dielakkan - seperti jalan-jalan berhampiran pasar tani. Ini juga boleh digunakan untuk mencari kawasan popular di bandar, dengan menggunakan kesibukan bandar untuk mengesan kejiranan meriah untuk mencari aktiviti baharu dan menyeronokkan dengan sekelip mata.
Dapatkan informasi sepatutnya ketika anda memerlukannya
Mempunyai informasi mengenai dunia adalah sangat berguna, namun ia mungkin menyusahkan jika tidak dihantar kepada anda pada waktu sepatutnya. Demi membantu anda memahaminya, kami mereka peta kami agar ia mengetengahkan lokasi-lokasi paling relevan berdasarkan waktu tertentu pada hari tersebut dan juga sama ada anda dalam perjalanan atau tidak. Jika anda tinggal di New York dan membuka Maps pada jam 8 a.m. di hari minggu, kami akan mengusulkan kedai kopi berbanding tempat makan malam, supaya anda boleh memulakan hari dengan keperluan kafein anda. Jika anda sedang bercuti hujung minggu, adalah lebih mudah untuk mengesan mercu tanda setempat dan tarikan pelancong di peta. Inginkan lebih banyak pilihan? Sentuh sebarang lokasi untuk melihat lokasi serupa berhampiran.
Tidak kira kemana hala tuju atau apa jua perancangan anda, Google Maps mempunyai informasi yang anda perlukan di sepanjang jalan dan kebijaksanaan AI akan menghantar anda ke sana. Kesemua ciri ini akan tersedia secara global di Android dan iOS dalam bulan-bulan akan datang, dengan peta jalan terperinci untuk 50 bandar baharu di penghujung tahun.
Oleh Pandu Nayak, Felo dan Timbalan Presiden Google, Carian
Memahami bahasa, video, imej dan lokasi di sekitar kita merupakan teras misi kami dalam penyusunan informasi dunia. Pencapaian dalam penyelidikan AI seperti BERT telah banyak meningkatkan kualiti Carian melalui pemahaman lebih baik niat di sebalik pertanyaan anda, namun kami sentiasa mencari jalan untuk mencabar sempadan kebolehan Google.
Kini kami telah mencapai tanda aras AI yang seterusnya melalui Multitask Unified Model atau MUM. Ia berpotensi membawa pemahaman informasi Google ke tahap baharu. Seperti BERT, MUM dibangunkan di atas sebuah pengantar Transformer, tetapi ia 1,000 kali lebih berkuasa. MUM bukan sahaja memahami, ia juga mampu menjana bahasa. Ia terlatih dalam 75 buah bahasa berbeza serta mampu melakukan pelbagai tugasan pada satu-satu masa; ini membolehkan ia untuk membentuk sebuah pemahaman informasi dan pengetahuan dunia yang lebih komprehensif berbanding model-model terdahulu seperti BERT. MUM juga bersifat multimodal, oleh itu ia memahami informasi merentasi teks dan imej. Di masa hadapan, ia boleh dikembangkan untuk merangkumi lebih banyak modal seperti video dan audio.
Kami akan membawakan ciri-ciri serta peningkatan dikuasakan MUM kepada produk-produk kami dalam bulan-bulan dan tahun-tahun terdekat ini. Walaupun kami masih di hari-hari awal penyelidikan MUM, kami mempersembahkan kepada anda bagaimana keupayaan uniknya mampu membantu kami menangani cabaran informasi yang semakin kompleks di masa hadapan.
Memahami soalan-soalan perbualan yang lebih kompleks
MUM sangat berkuasa dan unik kerana ia mampu menggabungkan pemahaman sesebuah bahasa dengan fakta atau ciri-ciri utama seseorang, tempat atau perkara demi mendapatkan informasi yang relevan.
Bayangkan anda merupakan seorang pendaki tegar, dan anda ingin mengetahui: “Saya telah mendaki Gunung Adams dan ingin mendaki Gunung Fuji ketika musim luruh nanti. Apakah perbezaan dalam persiapan pendakian yang harus saya lakukan?”
Ia merupakan sebuah soalan santai buat rakan pendaki, namun ia sangat kompleks untuk sebuah enjin pencarian. Ini kerana ia memerlukan bukan sahaja pengetahuan pendakian malah bagaimana untuk menjana perbandingan. Hari ini, jika anda ingin mendapatkan jawapan persoalan anda, beberapa pertanyaan kepada Google perlu dilakukan, ataupun menanyakan kembali soalan anda dalam pelbagai bentuk beberapa kali.
Jika anda menanyakan soalan ini kepada Google di masa hadapan, MUM mungkin berupaya memahami bahawa anda sedang membandingkan dua gunung dan membuat kesimpulan bahawa informasi ketinggian serta laluan jejak mungkin relevan. Ia juga mungkin memahami bahawa dalam konteks mendaki, untuk “bersedia” mungkin melibatkan perkara seperti latihan kecerdasan di samping mendapatkan peralatan yang bersesuaian. Oleh kerana ia mampu mengenalpasti dan memahami nuansa-nuansa ini, MUM berpotensi mengetengahkan informasi relevan untuk persoalan sebegini.
Satu aspek lain yang menjadikan MUM unik adalah keupayaannya menjana kesimpulan berdasarkan pengetahuan mendalamnya tentang dunia. Sebagai contoh, MUM mungkin menjana respon yang mengatakan bahawa walaupun Gunung Fuji secara kasarnya terletak pada tahap ketinggian seperti Gunung Adams, musim luruh merupakan musim hujan di Gunung Fuji jadi anda mungkin memerlukan jaket kalis air.
MUM juga berkebolehan mengutarakan sub topik berguna untuk penerokaan lebih mendalam - seperti peralatan terbaik atau latihan kecerdasan terbaik - beserta rujukan artikel, video dan imej berguna merentasi tapak web. Dengan mengumpulkan lebih banyak informasi relevan untuk menjawab pelbagai bahagian persoalan kompleks, Google mampu membantu anda mendapatkan apa yang anda cari dengan lebih pantas.
Menghapuskan batasan bahasa
Bahasa mampu menjadi batasan yang signifikan dalam mengakses informasi. MUM berpotensi untuk menghapuskan batasan ini dengan memindahkan pengetahuan merentasi bahasa. Ini bermaksud ia mampu mempelajari dari sumber-sumber yang tidak ditulis dalam bahasa pencarian anda dan seterusnya membantu mengetengahkan informasi tersebut kepada anda.
Mungkin memang adanya informasi berguna berkenaan Gunung Fuji dalam bahasa Jepun; hari ini tidak mungkin anda mampu mendapatkannya melainkan pencarian anda dilakukan menggunakan bahasa Jepun. Tetapi, MUM berupaya memindahkan pengetahuan dari pelbagai sumber merentasi bahasa serta menggunakan maklumat yang diperolehi untuk mendapatkan hasil paling relevan dalam bahasa pilihan anda. Jadi di masa hadapan ketika anda mencari maklumat untuk melawat Gunung Fuji, anda mungkin diberikan informasi seperti lokasi paling sesuai untuk menikmati panorama gunung, lokasi kolam air panas serta kedai cenderahati popular setempat, yang mana ia lebih mudah diperolehi jika melakukan pencarian dalam bahasa Jepun.
Memahami informasi multimodal dunia
MUM bersifat multimodal, yang bermaksud ia mampu memahami informasi dalam format berbeza seperti tapak web, gambar, dan banyak lagi secara serentak. Anda akhirnya mungkin mengambil foto but mendaki anda dan bertanya, “Bolehkah saya menggunakan ini untuk mendaki Gunung Fuji?” MUM akan memahami imej yang dipaparkan dan mengaitkannya dengan persoalan anda serta memaklumkan anda but itu sesuai. Ia juga boleh memandu anda ke satu senarai peralatan mendaki yang disyorkan dalam sebuah blog Gunung Fuji.
Mengaplikasikan AI maju dalam Carian dengan bertanggungjawab.
Setiap kali kami mengambil langkah ke hadapan dengan AI demi menjadikan informasi dunia lebih mudah diakses, kami melakukannya dengan penuh tanggungjawab. Setiap penambahbaikan Carian Google melalui proses penilaian ketat untuk memastikan agar kami memberikan kepada anda hasil carian yang lebih relevan serta membantu. Penaraf manusia, yang mematuhi Garis Panduan Penaraf Kualiti Pencarian, membantu kami memahami sebaik mana hasil pencarian kami membantu orang ramai mendapatkan informasi.
Seperti bagaimana kami telah berulang kali menguji dengan teliti aplikasi BERT semenjak pelancarannya pada tahun 2019, MUM akan turut melalui proses ini dalam aplikasi model-modelnya di Carian dalam bulan-bulan dan tahun-tahun akan datang. Secara spesifiknya, kami akan cuba mendapatkan pola yang mungkin menunjukkan bias dalam pembelajaran mesin demi mengelak merangkumkannya ke dalam sistem kami. Kami juga akan menggunakan penyelidikan terbaharu kami berkenaan bagaimana untuk mengurangkan jejak karbon sistem latihan seperti MUM untuk memastikan agar Carian dapat beroperasi dengan lancar.
Walaupun kami berada dalam hari-hari awal penerokaan MUM, ia merupakan langkah penting ke arah masa hadapan dimana Carian berupaya memahami cara berbeza orang ramai berkomunikasi dan menafsirkan informasi. Carian masih belum dirungkai dan kami benar-benar percaya bahawa kami mampu menjadikan informasi dunia lebih terbuka dan lebih mudah diakses dengan MUM.