Rabu, 19 Mei 2021

Cari, jelajah dan beli informasi dunia - dikuasakan oleh AI

Oleh Prabhakar Raghavan, Naib Presiden Kanan Google

Kemajuan AI mencabar sempadan keupayaan produk-produk Google. Perkara ini sangat jelas terutamanya buat teras misi kami untuk menjadikan informasi lebih mudah diakses dan lebih berguna untuk semua.


Kami telah menghabiskan lebih dua dekad membangunkan bukan sahaja pemahaman informasi atas talian yang lebih baik, malahan juga pemahaman tentang dunia yang lebih bagus. Ini kerana dengan memahami informasi, kita boleh jadikannya lebih membantu - tidak kiralah jika anda seorang pelajar jarak jauh yang sedang mendalami subjek baharu yang kompleks, seorang penjaga yang sedang mencari informasi vaksin yang dipercayai, mahupun ibu bapa yang mencari jalan pulang ke rumah yang terbaik.



Pemahaman lebih mendalam dengan MUM

Pada tahun 2019, kami telah melancarkan BERT di Carian Google. Ia merupakan sebuah model AI yang lebih memahami niat di sebalik pencarian anda. BERT telah meninggalkan impak besar, namun Carian merupakan satu cabaran yang masih belum terungkai: Kami terus berusaha agar informasi dapat difahami dengan lebih mendalam.


Kami telah mencapai satu tanda aras utama dalam inovasi AI melalui Multitask Unified Model, atau dengan lebih mesranya dipanggil sebagai MUM. Seperti BERT, ia dibina berasaskan sebuah pengantar Transformer, yang merupakan satu langkah besar ke hadapan dalam memahami bahasa. Akan tetapi MUM adalah 1,000 kali lebih berkuasa berbanding BERT dan mampu melakukan pelbagai tugas serentak untuk mendapatkan informasi melalui pelbagai cara baharu.


MUM bukan semata-mata memahami bahasa, ia juga mampu menjananya. Ia terlatih dalam 75 buah bahasa berbeza di samping melaksanakan pelbagai tugas berlainan pada satu-satu masa. Ini memberikannya pemahaman informasi dan pengetahuan dunia yang lebih komprehensif berbanding model-model terdahulu seperti BERT. Dengan sifat multimodal, ia memahami informasi merentasi teks dan imej, lantas membolehkannya berkembang dalam modal-modal lain seperti video dan audio di masa hadapan.


Bayangkan sebuah pertanyaan kompleks berbentuk perbualan seperti “Saya telah mendaki Gunung Adams dan ingin mendaki Gunung Fuji ketika musim luruh nanti. Apakah perbezaan dalam persiapan pendakian yang harus saya lakukan?” Ini sememangnya akan membingungkan enjin pencarian pada hari ini. Namun di masa hadapan, MUM mungkin akan memahami soalan rumit ini dan seterusnya menjana respon yang tersusun baik dan kemudiannya menunjuk ke arah hasil pencarian yang sangat relevan. Kami telah memulakan beberapa projek awal dalaman menggunakan MUM dan amat teruja dengan potensinya untuk menambah baik produk-produk Google.



Informasi tampil bernyawa dengan Lens dan AR

Orang ramai menggunakan Google untuk mempelajari perkara baharu, dan visual mampu memainkan peranan besar. Google Lens membolehkan anda melakukan pencarian objek yang anda lihat - dari kamera, gambar, hinggalah ke bar carian anda. Kini kami mendapati lebih 3 bilion pencarian dilakukan melalui Lens setiap bulan, di mana ia semakin melonjak naik sebagai wadah pembelajaran. Sebagai contoh, ramai pelajar berkemungkinan diberikan tugasan sekolah dalam bahasa bukan kebiasaan mereka. Oleh sebab inilah kami mengemaskini penapis Translate agar penyalinan, pendengaran atau pencarian teks diterjemah menjadi mudah. Ini akan membantu pelajar mengakses kandungan pendidikan di tapak web dalam lebih 100 buah bahasa. 


AR juga merupakan alat pembelajaran visual yang berkuasa. Melalui atlet AR baharu di Carian, anda boleh melihat teknik istimewa sesetengah atlet kegemaran anda dalam AR - seperti rutin balok imbang Simone Biles yang tersohor itu.



Menilai informasi menggunakan Berkenaan Hasil Ini

Maklumat berguna seharusnya boleh dipercayai dan boleh diharapkan, terutamanya ketika detik-detik seperti pandemik atau pilihanraya. Orang ramai beralih kepada Google untuk maklumat yang boleh dipercayai ini.


Sistem penarafan kami direka untuk mengutamakan informasi berkualiti tinggi, namun kami juga membantu anda menilai kebolehpercayaan sumber dengan lebih baik di Carian Google itu sendiri. Maklumat sesebuah tapak web disediakan menerusi ciri Berkenaan Hasil Ini (About This Result) sebelum anda melawatinya, termasuklah perincian, ketika ia mula-mula dimasukkan ke dalam indeks dan sama ada hubungan anda dengan tapak web terbabit adalah selamat.


Bulan ini kami akan mula mengaplikasi Berkenaan Hasil Ini kepada semua hasil carian Bahasa Inggeris di seluruh dunia, dengan lebih banyak pilihan bahasa di masa akan datang. Kemudiannya pada tahun ini juga, kami akan menambah lebih banyak perincian seperti bagaimana sesebuah halaman menggambarkan dirinya, apakah yang dikatakan sumber-sumber lain berkenaan halaman tersebut serta artikel berkaitan yang boleh dibaca.



Menjelajah dunia sebenar dengan Maps

Google Maps mengubah bagaimana kita mengemudi, menjelajah dan menyempurnakan tugasan di dunia ini - dan kita terus menguji batasan sesebuah peta, dengan ciri sulung industri seperti navigasi AR di skala Live View. Beberapa minggu terdahulu, kami telah mengumumkan yang kami masih dalam jadual untuk melancarkan lebih 100 penambahbaikan Google Maps dikuasakan AI menjelang akhir tahun ini dan pada hari ini kami memperkenalkan beberapa ciri baharu tersebut. Pengemaskinian laluan baharu kami direka untuk mengurangkan kebarangkalian brek mengejut ketika pemanduan anda - kami percaya perubahan ini akan menghentikan lebih 100 juta brek mengejut dalam pemanduan Google Maps setiap tahun.


Jika anda ingin merancang aktiviti akan datang, peta direka khusus kami akan menonjolkan lokasi-lokasi relevan pada waktu terbaik. Penambahbaikan LIve View dan perincian jalanan yang lebih mendalam akan membantu anda meneroka dan mendapatkan pemahaman mendalam sesebuah tempat sepantas mungkin. Jika anda ingin mengetahui kesibukan sesebuah kejiranan atau bahagian bandar, kami membolehkan anda melakukannya dengan sekelip mata sebaik sahaja Maps dibuka.



Lebih banyak cara untuk membeli-belah dengan Google 

Setiap hari, orang ramai membeli-belah merentasi Google lebih dari satu bilion kali dan Shopping Graph yang dikuasakan AI kami - yang merupakan pemahaman mendalam kami mengenai produk, penjual, jenama, ulasan, informasi produk dan inventori data - merupakan tonggak kebanyakan ciri yang membantu anda mendapatkan apa yang anda cari.


Kami menyedari membeli-belah bukannya satu pengalaman sehala dan sehubungan itu kami memperkenalkan kaedah-kaedah baharu untuk meneroka dan kekal maklum akan produk-produk di pasaran. Kini, apabila anda melakukan tangkap layar, Google Photos akan mengusulkan anda untuk melakukan pencarian foto dengan Lens agar anda boleh terus membelinya jika anda ingin berbuat demikian. Di Chrome pula, kami akan membantu anda ambil maklum akan status troli beli-belah anda, supaya perjalanan membeli belah maya anda berjalan lancar. Kami juga sedang bekerjasama dengan pihak penjual untuk mengadakan faedah kesetiaan buat pengguna dengan lebih cepat ketika membeli-belah secara maya.


Tahun lalu kami menjadikannya percuma untuk para peniaga menjual produk mereka di Google. Kini kami memperkenalkan sebuah proses baharu mudah yang membantu 1.7 juta peniaga Shopify menjadikan produk mereka lebih mudah dijumpai merentasi Google dengan hanya beberapa klik.


Tidak kira sama ada kami cuba memahami informasi dunia atau membantu anda agar turut memahaminya, kami kekal berdedikasi untuk menjadikan produk kami lebih berguna saban hari. Dengan kuasa AI, kami mampu memberikan penyelesaian berkualiti terbaik dan paling relevan untuk soalan-soalan anda - lebih rumit, lebih baik!