Rabu, 19 Mei 2021

Membantu anda bergerak dan meneroka dengan 5 kemaskini baharu Google Maps

Oleh Oren Naim, Pengarah Produk, Peta Google

Semenjak awal lagi, kami membangunkan Google Maps untuk membantu anda berhubung dengan dunia sebenar. Pada tahun 2007, kami telah memperkenalkan Street View, sebuah platform pengimejan yang memaparkan pemandangan panorama jalan-jalan seluruh dunia, dari Tokyo ke Tonga. Setahun kemudian, kami membolehkan anda membuang cetakan tunjuk arah dan mendapatkan navigasi masa sebenar menggunakan telefon bimbit anda. Tiga tahun lalu, kami merupakan yang pertama melancarkan Live View dan membawa AR ke skala navigasi. Disebabkan pengetahuan mendalam kami berkenaan dunia serta kemajuan berkuasa AI, kami telah menghabiskan masa sepanjang 16 tahun yang lalu untuk membawakan kepada anda informasi berguna serta pengalaman seumpanya kepada Peta. Hari ini di Google I/O, kami mengumumkan lima kemaskini baharu agar anda dapat menavigasi, meneroka dan menyelesaikan urusan anda dengan lebih mudah. 



Mengurangkan brek mengejut dengan kemaskini laluan baharu

Bayangkan anda sedang memandu untuk bertemu seorang rakan. Ketika menghampiri sebuah simpang yang sibuk, keadaan trafik tiba-tiba menjadi perlahan dan anda terpaksa menekan brek dengan mengejut. Menurut pakar di Virginia Tech Transportation Institute, detik brek mengejut sebegini - insiden dalam perjalanan yang menyebabkan seseorang pemandu memperlahankan kelajuan secara mendadak - boleh menjadi petunjuk utama kebarangkalian kemalangan kereta. Tidak lama lagi Peta Google akan mengurangkan kebarangkalian anda brek mengejut ketika pemanduan, terima kasih kepada bantuan pembelajaran mesin dan informasi navigasi terkumpul.


Ianya begini: Setiap kali anda mendapatkan panduan arah dari Peta, kami akan mendapatkan pilihan arah perjalanan ke destinasi anda berdasarkan beberapa faktor seperti bilangan lorong di jalan dan betapa pantasnya laluan tersebut. Dengan kemas kini ini, kami akan mendapatkan laluan terpantas dan mengenalpasti laluan yang paling berkemungkinan rendah menyebabkan anda melakukan brek mengejut. Kami akan mengesyorkan laluan tersebut jika jangkaan masa ketibaan adalah sama atau tidak banyak bezanya. Kami percaya perubahan sebegini berpotensi menghapuskan 100 juta kejadian brek mengejut dalam laluan yang disyorkan Peta Google setiap tahun. Jadi anda boleh bergantung kepada Peta bukan sahaja untuk membimbing pemanduan anda dari A ke B dengan pantas, malah dengan lebih selamat.



Ikuti arah ini dengan penambahbaikan Live View dan peta jalan yang terperinci

Jika anda berjalan kaki, kami juga boleh membantu anda dengan realiti terimbuh dalam Live View. Katakan anda sedang meneroka sebuah kejiranan asing - anda boleh mengakses Live View dengan serta-merta, secara langsung dari Peta serta melihat maklumat berguna bagi kedai dan restoran di sekitar anda - termasuklah sesibuk mana mereka, ulasan terkini serta foto masing-masing. Kami juga akan menunjukkan tanda jalan baharu yang berguna untuk simpang-simpang kompleks agar anda tahu dimana anda berada dan ke mana anda harus pergi seterusnya. Jika anda sedang mengembara, Live View akan memaklumkan anda sejauh mana anda dari destinasi dan dimana anda berada dari lokasi-lokasi seperti hotel anda agar mudah untuk ke sana.


Ciri peta jalan terperinci kami tidak lama lagi akan tersedia buat lebih 50 lagi bandar menjelang penghujung tahun ini, termasuklah Seattle, Singapura, Berlin dan São Paulo. Dengan bantuan AI serta pemahaman bandar serata dunia kami, anda akan dapat melihat kedudukan laluan jalan kaki, laluan pintas, dan pulau pejalan kaki; termasuklah bentuk dan kelebaran sesebuah jalan mengikut skala. Maklumat sebegini penting untuk pejalan kaki, terutamanya buat mereka yang menggunakan kerusi roda atau kereta tolak bayi, agar mereka boleh merancang laluan terbaik. 



Kesan kawasan sibuk sepintas lalu

Setiap hari, lebih 80 juta orang menggunakan informasi kesibukan langsung sesebuah lokasi di Google untuk menjimatkan masa beratur atau mengekalkan penjarakan sosial ketika pandemik ini. Kini, ia dikembangkan untuk menunjukkan kesibukan relatif sesebuah kawasan, seperti jika sesebuah kejiranan atau bahagian-bahagian bandar adalah lebih sibuk dari biasa. Jika ia pagi Sabtu dan ingin meneroka bandar anda tanpa kesibukan orang ramai, bukalah Peta untuk serta merta melihat titik panas kesibukan yang harus dielakkan - seperti jalan-jalan berhampiran pasar tani. Ini juga boleh digunakan untuk mencari kawasan popular di bandar, dengan menggunakan kesibukan bandar untuk mengesan kejiranan meriah untuk mencari aktiviti baharu dan menyeronokkan dengan sekelip mata.



Dapatkan informasi sepatutnya ketika anda memerlukannya

Mempunyai informasi mengenai dunia adalah sangat berguna, namun ia mungkin menyusahkan jika tidak dihantar kepada anda pada waktu sepatutnya. Demi membantu anda memahaminya, kami mereka peta kami agar ia mengetengahkan lokasi-lokasi paling relevan berdasarkan waktu tertentu pada hari tersebut dan juga sama ada anda dalam perjalanan atau tidak. Jika anda tinggal di New York dan membuka Maps pada jam 8 a.m. di hari minggu, kami akan mengusulkan kedai kopi berbanding tempat makan malam, supaya anda boleh memulakan hari dengan keperluan kafein anda. Jika anda sedang bercuti hujung minggu, adalah lebih mudah untuk mengesan mercu tanda setempat dan tarikan pelancong di peta. Inginkan lebih banyak pilihan? Sentuh sebarang lokasi untuk melihat lokasi serupa berhampiran.


Tidak kira kemana hala tuju atau apa jua perancangan anda, Google Maps mempunyai informasi yang anda perlukan di sepanjang jalan dan kebijaksanaan AI akan menghantar anda ke sana. Kesemua ciri ini akan tersedia secara global di Android dan iOS dalam bulan-bulan akan datang, dengan peta jalan terperinci untuk 50 bandar baharu di penghujung tahun.