Lihat kembali pada tahun 2012: “Terukir Di Bintang” merupakan salah satu lagu teratas di carta muzik tempatan dan “mod e-dompet” belum lagi menjadi suatu pilihan transaksi. Android — dengan misinya untuk menjadikan pengkomputeran mudah alih boleh diakses oleh semua orang, walau di mana-mana — baru sahaja berusia beberapa tahun ketika itu.
Pada tahun itu, kami membuka pintu (digital) Google Play. Sedekad kemudian, lebih 2.5 bilion orang di lebih 190 negara menggunakan Google Play setiap bulan untuk carian apl, permainan video dan kandungan digital. Dan lebih daripada 2 juta pembangun bekerjasama dengan kami untuk membina perniagaan mereka dan menjangkau orang ramai di seluruh dunia, dan ini termasuk pembangun Malaysia seperti pencipta permainan Masketeers: Idle Has Fallen, Desmond Lee dan Jenn-Yu Lim. Untuk menyambut ulang tahun ke-10 Google Play, berikut merupakan 10 peristiwa penting dan ciri kegemaran kami sepanjang sedekad yang lepas:
- Cara baharu untuk menikmati apl dan permainan: Produk dan ciri seperti Google Play Pass dan Google Play Instant telah memperkenalkan cara baru untuk menemui dan mengalami apl serta permainan. Kami juga melancarkan Google Play Points supaya anda boleh memperoleh mata dan ganjaran dengan menggunakan Google Play. Sehingga hari ini, lebih 100 juta orang telah menyertai program ini.
- Permainan pada lebih banyak peranti: Kami menetapkan matlamat untuk menjadikan produk dan perkhidmatan kami berfungsi lebih baik bersama-sama. Tahun lepas, kami mengumumkan Google Play Games untuk PC secara beta di Hong Kong, Korea Selatan dan Taiwan — membolehkan permainan mudah disegerakkan merentasi telefon dan tablet Android, Chromebook dan komputer Windows anda.
- Sambutan untuk apl dan permainan kegemaran anda: Anugerah Terbaik Tahunan kami meraikan apl, permainan dan kandungan lain yang popular di Google Play. Selama beberapa tahun, kami telah mengembangkannya ke 19 negara dan menambah kategori baru seperti "Best Hidden Gems" (Permata Tersembunyi) dan “Best Apps for Good” (Apl Terbaik untuk Kebaikan). Kami juga memperkenalkan Anugerah Pilihan Pengguna supaya anda boleh mengundi aplikasi kegemaran anda dan mengiktiraf pembangun yang menghasilkan apl dan permainan yang anda gemari.
- Ruang yang selamat dan dipercayai: Google Play Protect, perlindungan perisian hasad kami yang terbina dalam Android, kini mengimbas dan mengesahkan lebih 100 bilion apl setiap hari untuk membantu memastikan peranti, data dan apl anda selamat. Dan pada awal tahun ini, kami melancarkan bahagian keselamatan Data baharu di mana pembangun dikehendaki memberikan lebih maklumat tentang bagaimana apl mereka mengumpul, berkongsi dan melindungi data.
- Bantuan untuk pembangun dari semua saiz: Setiap langkah, kami telah melabur dalam membantu komuniti pembangun kami mengembangkan perniagaan mereka — termasuk menyediakan perundingan perniagaan dan teknikal serta menyokong pembangun tempatan melalui usaha seperti program Indie Games kami. Lawati Blog Pembangun Android untuk membaca lebih lanjut tentang perjalanan kami bersama komuniti pembangun kami sepanjang dekad yang lalu.
- Sokongan untuk badan bukan berasaskan keuntungan: Anda boleh membuat derma amal melalui Google Play dan juga menggunakan Play Points anda untuk tujuan bantuan kebajikan, di mana 100% sumbangan anda disalurkan terus kepada badan bukan berasaskan keuntungan.
- Perwakilan yang lebih kukuh dalam permainan: Melalui penyelidikan, penglibatan belia dan perkongsian, inisiatif Change The Game oleh Google Play meraikan dan memperkasakan wanita sebagai pemain dan pencipta kandungan. Kami telah banyak mengambil ilham terutamanya dari kreativiti dan bakat peserta Cabaran Reka Bentuk selama beberapa tahun ini.
- Sumber untuk ibu bapa: Tab Kanak-kanak dalam Google Play membantu ibu bapa mencari dengan mudah dan memilih apl yang diluluskan oleh para guru, manakala Google Kids Space — mod kanak-kanak yang terdapat di beberapa tablet Android — menampilkan apl, buku dan video untuk diterokai oleh anak-anak anda. Family Link juga memberi ibu bapa alatan yang mereka perlukan untuk terus melibatkan diri dan membantu menguruskan pengalaman dalam talian anak-anak mereka.
- Pelaburan dalam ekonomi tempatan: Kerjasama dengan komuniti pembangun kami telah membantu dalam membawakan apl dan permainan yang lebih baik kepada orang ramai di seluruh dunia, mencipta pekerjaan baru dan menyokong ekonomi tempatan. Malah, di Amerika Syarikat sahaja, Google Play dan Android telah membantu mewujudkan lebih 2 juta pekerjaan.
- Wajah baharu: Untuk menyempurnakan dekad ini, kami memperkenalkan logo baharu yang lebih mencerminkan keajaiban Google dan sepadan dengan penjenamaan yang dikongsi oleh kebanyakan produk-produk berguna kami — Search, Assistant, Photos, Gmail dan banyak lagi.