Khamis, 29 September 2022

4 kemas kini baharu yang menjadikan Maps kelihatan dan berasa lebih seperti dunia sebenar

Google Maps sentiasa menjangkau sempadan perkara yang boleh dilakukan oleh sebuah peta. Ciri-ciri seperti aliran trafik langsung mengubah cara kita bergerak dari titik A ke B, dan cerapan seperti maklumat kesibukan mengubah cara kita membuat keputusan tentang kemana hendak dituju. Di Search On, kami berkongsi cara kami membayangkan semula Google Maps sekali lagi, dengan visual dan peta intuitif yang membolehkan anda mengalami sesuatu tempat seolah-olah anda berada di sana — semuanya hasil kemajuan terbaharu dalam penglihatan komputer dan model ramalan.

Dapatkan pemeriksaan suasana sebelum anda melawat 💯✅

Jika anda melawat kejiranan baharu, mungkin sukar untuk mengetahui apa yang patut anda terokai, apa yang terbaru dan dimana terletaknya tarikan tersembunyi. Tidak lama lagi, dengan ciri suasana kejiranan baharu kami, anda akan dapat memilih kawasan kejiranan dan melihat tempat-tempat paling popular dihidupkan dengan foto dan maklumat berguna daripada komuniti Google Maps terus pada peta. Katakan anda sedang dalam perjalanan ke Paris — anda boleh mengetahui dengan cepat sama ada kawasan kejiranan itu berseni atau mempunyai suasana makanan yang menarik supaya anda boleh membuat keputusan termaklum tentang cara menghabiskan masa anda. Untuk menentukan suasana kejiranan, kami menggabungkan kecerdasan buatan dengan pengetahuan tempatan daripada pengguna Google Maps yang menambahkan lebih daripada 20 juta sumbangan pada peta setiap hari — termasuk ulasan, foto dan video. Suasana kejiranan mula dilancarkan secara global dalam beberapa bulan akan datang pada Android dan iOS.

Lihat tempat-tempat popular terus pada peta dengan suasana kejiranan.


Kini langsung: 250 pemandangan udara mercu tanda di seluruh 🌏

Di I/O, kami memperkenalkan immersive view, cara baharu sepenuhnya untuk meneroka dunia, membolehkan anda melihat pemandangan berbilang dimensi yang menakjubkan bagi suatu kawasan dengan maklumat kritikal seperti cuaca, trafik dan kesibukan jalan dipaparkan di atasnya. Hari ini, kami melancarkan lebih 250 pemandangan udara fotorealistik untuk mercu tanda global yang merangkumi segala-galanya daripada Menara Tokyo ke Acropolis — menandakan satu langkah penting ke arah peta yang lebih mendalam.


Lihat 250 pemandangan udara fotorealistik mercu tanda global.


Menggunakan pemodelan ramalan, immersive view mempelajari secara automatik arah aliran sejarah bagi sesuatu tempat untuk menentukan keadaan kawasan tersebut pada keesokan hari, minggu depan dan juga bulan depan. Jadi, jika anda melawat San Francisco dan ingin melawat Oracle Park, anda akan mempunyai semua maklumat yang anda perlukan untuk merancang hari anda. Anda akan dapat melihat di mana tempat letak kereta serta pintu masuk, dan jika cuaca akan menjadi sejuk pada hari perlawanan supaya anda boleh membawa jaket. Ingin mencari makanan untuk dimakan selepas perlawanan? Kami menjadikannya lebih mudah untuk berkunjung ke restoran berdekatan dengan keupayaan untuk meluncur ke paras jalan, mengintip ke dalam dan mengetahui betapa sibuknya tempat tersebut. Immersive view akan dilancarkan dalam beberapa bulan akan datang di Los Angeles, London, New York, San Francisco dan Tokyo pada Android dan iOS.



Lihat maklumat yang berguna, seperti tempat masuk dan tempat letak kereta.




Ketahui betapa sibuknya sesuatu tempat, keadaan cuaca dan juga lihat di dalamnya.

Alami keadaan sesuatu tempat pada hari dan masa tertentu.

Satu kejayaan untuk Live View 🙌

Selain membantu anda mengalami sesuatu tempat sebelum anda melawat, kami juga mengubah cara anda meneroka tempat tersebut ketika berada di sana. Tiga tahun lalu, kami mencipta semula cara kita mengorientasikan diri semasa berjalan dengan Live View, yang menindih anak panah dan arah betul-betul di atas dunia anda supaya anda tidak tersesat. Kini, kami mengembangkan teknologi asas tersebut — yang pertama seumpamanya tersedia secara meluas — untuk melancarkan ciri baharu yang dipanggil carian dengan Live View, yang membantu anda mencari perkara di sekeliling anda dengan lebih intuitif.

Angkat telefon anda untuk meneroka tempat berdekatan menggunakan carian dengan Live View.





Membantu syarikat dan pembangun beroperasi dengan lebih mampan ♻️

Baru-baru ini, kami melancarkan penghalaan mesra alam di A.S., Kanada dan Eropah, yang menggunakan model penghalaan baharu untuk membolehkan pemandu melihat dan memilih laluan paling menjimatkan penggunaan bahan api ke destinasi mereka, menggunakan cerapan daripada Makmal Tenaga Boleh Diperbaharui Kebangsaan, Jabatan Tenaga A.S. dan data daripada Agensi Alam Sekitar Eropah. Sejak dilancarkan di A.S. dan Kanada, penghalaan mesra alam telah membantu mengeluarkan anggaran setengah juta tan metrik pelepasan karbon — bersamaan dengan mengambil 100,000 kereta berasaskan bahan api dari jalan raya. Untuk memacu impak yang lebih besar, tidak lama lagi kami akan mengembangkan teknologi yang sama ini kepada pembangun pihak ketiga melalui Platform Google Maps.

Ini bermakna syarikat dari semua saiz dan industri — seperti perkhidmatan penghantaran atau perkongsian tunggangan — akan mempunyai pilihan untuk membenarkan penghalaan mesra alam dalam apl mereka dan mengukur penggunaan bahan api dan penjimatan untuk satu perjalanan, beberapa perjalanan, atau merentasi seluruh armada mereka untuk meningkatkan prestasi. Pemaju juga akan mempunyai keupayaan untuk memilih jenis enjin untuk mendapatkan anggaran yang paling tepat bagi bahan api atau kecekapan tenaga apabila memilih laluan mesra alam. Penghalaan mesra alam untuk pembangun akan tersedia dalam bentuk previu akhir tahun ini, di mana-mana sahaja ia boleh didapati di Google Maps.

Dengan pengumuman hari ini, kami sedang membina pengalaman Maps yang mengutamakan visual untuk membantu semua orang meneroka dan navigasi dunia dengan lebih semula jadi — di samping menuju ke sana dengan lebih mampan.