Jumaat, 10 Februari 2023

Soalan teratas mengenai privasi iklan Google - dijawab


Setiap hari, seluruh dunia menggunakan internet untuk mencari, belajar, meneroka dan berhubung. Anda mungkin tertanya-tanya kenapa anda melihat iklan tertentu dalam talian, cara data anda digunakan untuk iklan dan bagaimana anda boleh mengawal privasi anda.
Jika anda mendapati diri anda bertanya soalan sebegini, anda tidak bersendirian. Pada tahun 2022, carian untuk privasi iklan berada pada tahap tertinggi. Sebuah kajian 2022 yang kami lakukan menunjukkan bahawa 80% pengguna bimbang tentang keadaan privasi dalam talian mereka. Kami tahu terdapat banyak maklumat yang tersedia ada di luar sana dan ia seakan penuh dengan misteri. Jadi hari ini, kami akan menjawab beberapa soalan lazim anda.


1. Mengapakah Google menyiarkan iklan?
Iklan membiayai pelbagai jenis produk Google berguna yang disukai ramai dan gunakan setiap hari seperti Google Maps, Gmail, YouTube atau Google Search. Hasil pengiklanan merupakan cara penting untuk membiayai perniagaan bagi pencipta kandungan dan penerbit, tanpa mengenakan bayaran langsung kepada anda, bermakna lebih ramai orang dapat mengakses kandungan berkualiti dalam talian. Iklan juga memainkan peranan besar dalam dunia luar talian, memberikan peluang kepada pemilik perniagaan kecil untuk mencapai pelanggan, dekat atau jauh.


2. Mengapakah Google menggunakan maklumat saya untuk memaparkan iklan kepada saya?
Kami tidak selalu menggunakan maklumat anda untuk memaparkan iklan yang berkaitan, tetapi Google mungkin menggunakan maklumat anda untuk memilih iklan yang kami fikir sejajar dengan minat anda atau untuk membantu anda menemui sesuatu yang baharu. Sebagai contoh, jika anda sedang mengkaji pembelian kereta baharu, ia adalah lebih berguna untuk melihat iklan yang memaparkan promosi daripada pengedar kereta tempatan daripada melihat iklan generik mengenai perabot balkoni atau makanan haiwan kesayangan. Anda sentiasa dapat mengawal maklumat anda dengan alat privasi yang mudah digunakan dan ia adalah pilihan anda sama ada untuk berkongsi maklumat anda dengan Google dan memutuskan cara maklumat itu akan digunakan untuk pengiklanan.


3. Apakah maklumat yang digunakan oleh Google untuk memperibadikan iklan yang saya lihat?
Kami menggunakan aktiviti anda di Google – seperti laman web yang anda lawati, aplikasi yang anda gunakan dan perkara yang anda cari – untuk menyampaikan pengalaman yang lebih baik dan berguna merentas produk kami, termasuk iklan. Kami tidak sesekali akan menggunakan maklumat sensitif anda seperti kesihatan, bangsa, atau agama untuk menyesuaikan iklan yang anda lihat. Bergantung pada tetapan anda, kami mungkin akan memaparkan kepada anda iklan yang diperibadikan berdasarkan minat anda. Contohnya, jika anda mencari “basikal gunung”, anda mungkin melihat iklan untuk peralatan sukan apabila anda menonton video di YouTube. Anda boleh menukar tetapan ini pada bila-bila masa.


4. Di manakah saya boleh melihat maklumat yang digunakan oleh Google untuk menyiarkan iklan kepada saya?
Anda boleh melihat maklumat yang digunakan untuk memperibadikan iklan yang anda lihat di Google Search, YouTube dan Discover dalam Akaun Google anda (contohnya, MyActivity). Kami tahu bahawa para pengguna mahukan kawalan ke atas pengalaman iklan mereka. Kini, dengan Pusat Iklan Saya, anda boleh melihat topik dan jenama iklan tertentu yang dikaitkan dengan akaun anda. Anda boleh memilih maklumat khusus yang anda mahu atau tidak mahu digunakan untuk memperibadikan iklan anda. Dan anda juga boleh memberitahu kami jika anda tidak mahu sama sekali melihat kategori sensitif tertentu, seperti perjudian atau alkohol.


5. Adakah Google menjual maklumat peribadi saya kepada pengiklan?
Tidak. Kami tidak pernah menjual maklumat peribadi anda kepada sesiapa. Para pengiklan boleh memilih parameter khusus seperti demografi atau kawasan geografi yang ingin mereka sasarkan dengan iklan mereka dan mereka boleh mencapai khalayak berdasarkan kumpulan pengguna yang mempunyai ciri-ciri serupa atau pengguna yang mempunyai hubungan langsung dengan mereka.


6. Adakah Google membaca e-mel saya atau mendengar panggilan telefon saya untuk memaparkan iklan kepada saya?
Tidak, kami tidak akan sesekali menyesuaikan iklan anda berdasarkan apa yang anda katakan melalui telefon dan kandungan anda dalam Drive, Gmail dan Photos tidak pernah digunakan untuk tujuan iklan. Terdapat beberapa sebab mengapa anda mungkin melihat iklan untuk produk selepas membincangkannya, termasuk jenis laman web yang anda lawati, aplikasi yang telah anda gunakan atau masa atau hari yang diketahui sangat berkaitan untuk pengguna produk tertentu berdasarkan data jualan lalu. Atau anda mungkin mempunyai aktiviti di laman web lain yang menghalakan anda kepada laman web atau aplikasi yang mungkin berkaitan dengan minat anda.
Jika iklan disiarkan oleh Google, anda boleh melihat sebab anda melihat iklan tertentu dengan mengklik pada tiga titik menegak untuk memuatkan panel Pusat Iklan Saya dan kemudian melihat bahagian “mengapa anda melihat iklan ini”.

 

7. Bolehkah saya berhenti melihat iklan yang diperibadikan? 
Ya, anda boleh memilih untuk menghidupkan atau mematikan iklan yang diperibadikan untuk Google dan laman web rakan kongsi yang menggunakan Google untuk memaparkan iklan. Jika anda memilih untuk tidak melihat iklan yang diperibadikan, anda masih akan melihat iklan, tetapi iklan tersebut akan menjadi kurang relevan.


Lihat Pusat Iklan Saya untuk memilih pengalaman yang sesuai untuk anda, dan perhatikan lebih banyak ciri privasi yang akan datang dalam masa beberapa bulan.