Sabtu, 29 Julai 2023

Malaysia Airports dan Asia Mobiliti Menjalin Kerjasama Strategik dengan Google Cloud, Merangkul Awan Data Terbuka untuk Membentuk Semula Masa Hadapan Industri Pelancongan



Google Cloud hari ini mengumumkan kolaborasi strategik dengan Malaysia Airports Holdings Berhad dan Asia Mobiliti, yang kini telah menerima pakai awan data terbuka Google Cloud untuk menawarkan pengalaman pelancongan digital yang mampan.

Hampir genap setahun semenjak sekatan kemasukan COVID-19 Malaysia—seperti keperluan ujian dan kuarantin—dimansuhkan untuk ketibaan asing, dan kini Google Cloud melancarkan penyelesaian dan sumber baharu yang kini tersedia untuk membantu organisasi di Malaysia berinovasi secara cepat, selamat dan bertanggungjawab menggunakan kecerdasan buatan (AI) generatif, dan merebut peluang tatkala pulihnya industri pelancongan Malaysia.

Megawaty Khie, Pengarah Serantau, Indonesia dan Malaysia, Google Cloud, kata: Apabila kita mempertimbangkan impak ekonomi pelancongan, selalunya terdapat tumpuan pada sumbangan daripada bidang teras seperti penerbangan dan penginapan - dan ia adalah wajar. Analisis kami juga mengutarakan impak pelancongan terhadap sektor lain, dari perkhidmatan kewangan ke penjagaan kesihatan, ke runcit dan pengangkutan. Kami komited untuk memperkasakan syarikat-syarikat dari pelbagai industri dengan keupayaan pintar yang dipacu data untuk membuat keputusan perniagaan yang lebih bijak dan menjadi sebahagian daripada ekosistem bersepadu yang memberikan pengalaman pelancong bertaraf dunia. Kolaborasi kami dengan Malaysia Airports dan Asia Mobiliti, disokong oleh rakan-rakan kami CloudMile dan PointStar, akan meningkatkan kebolehan mereka untuk memberi perkhidmatan digital yang diperibadikan. Ini juga membina atas kerja sedia ada kami dengan Super App airasia untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) mengembangkan aliran pendapatan mereka.”



Kekal di Hadapan Permintaan Pelancongan yang Meningkat Semula

Di Malaysia, permintaan perjalanan udara antarabangsa masuk—penerbangan oleh bukan pemastautin ke sesebuah negara—telah mengalami peningkatan besar-besaran berdasarkan jumlah carian Google dari 1 Ogos 2022 hingga 30 Jun 2023. Pada 1 Ogos 2022 - hari Malaysia menarik balik sekatan COVID-19 yang masih ada, permintaan masuk menyaksikan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 1,180%. Kebangkitan semula ini berterusan sehingga separuh pertama 2023. Antara 1 Ogos 2022 dan 30 Jun 2023, permintaan masuk menyaksikan peningkatan keseluruhan tahun ke tahun lebih daripada 188%.

Permintaan perjalanan udara antarabangsa keluar Malaysia—penerbangan oleh penduduknya ke negara lain—diikuti oleh trend menaik yang serupa. Pada 1 Ogos 2022, permintaan keluar menyaksikan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 452%. Kebangkitan semula ini berterusan sehingga separuh pertama 2023. Antara 1 Ogos 2022 dan 30 Jun 2023, permintaan keluar menyaksikan peningkatan keseluruhan tahun ke tahun lebih daripada 149%.

Untuk kekal di hadapan lonjakan trafik penumpang masuk dan keluar dari lima lapangan terbang antarabangsa dan 17 lapangan terbang domestiknya di Malaysia, Malaysia Airports—dengan sokongan daripada CloudMile—telah memindahkan hartanah digitalnya ke infrastruktur terbuka, berskala, selamat dan cekap tenaga Google Cloud.

Hasilnya, Malaysia Airports mula mendapat manfaat daripada keupayaan penskalaan automatik dinamik Google Cloud, yang membolehkan sistem dan papan pemuka IT mereka untuk mengendali sehingga 10 kali ganda beban kerja biasa mereka dengan pengalaman pengguna yang lancar, sebelum mengecilkan secara automatik untuk mengurangkan kos apabila sumber pengkomputeran tambahan tidak diperlukan lagi. Dengan menggunakan perkhidmatan pengurusan pangkalan data Google Cloud untuk memecahkan silo data dalaman, Malaysia Airports meningkatkan kebolehannya untuk mengeluarkan maklumat lapangan terbang dan penerbangan masa nyata kepada berjuta-juta penumpang, sekali gus membolehkan mereka menikmati pengalaman yang lebih lancar semasa mendaftar masuk ke imigresen, semasa menaiki pesawat sehinggalah ke pengambilan bagasi.

Vijaykumar Dayinde, Ketua Pegawai Maklumat, Malaysia Airports Holdings Berhad, kata: “Sambil industri kami pulih daripada impak beberapa tahun kebelakangan ini, ia adalah kritikal untuk kami mencari kebolehan untuk mengoptimumkan kos dan meningkatkan operasi kami. PIlihan CloudMile sebagai rakan lama kami dan Google Cloud sebagai pembekal awan utama kami memberi kami kombinasi penyelesaian automatik dan kepakaran inovasi mendalam yang tepat untuk menyampaikan pengalaman penumpang digital yang berkualiti tinggi pada skala. Awan data terbuka Google Cloud akan membekalkan sebuah asas yang teguh dan fleksibel buat Malaysia Airports dalam memenuhi visi kami untuk menjadi sebuah kumpulan lapangan terbang global yang memperjuangkan ketersambungan dan kemampanan, dan berfungsi sebagai pintu masuk untuk para pelancong untuk meneroka dan menikmati Malaysia.

Lester Leong, Pengurus Negara, Malaysia, CloudMile, berkata: “Sistem bahagian belakang IT lapangan terbang—sebahagian besarnya tidak kelihatan tetapi penting untuk kejayaannya—mesti kekal padu dan selamat. Sebagai sebuah agensi perundingan penyelesaian teknologi awan dan AI terkemuka di Asia, CloudMile komited untuk bekerjasama dengan Google Cloud untuk menyampaikan penyelesaian yang dipercayai untuk meningkatkan pelancongan dan memberikan manfaat kepada komuniti tempatan. Prinsip sumber terbuka dan rekaan selamat Google Cloud akan membenarkan kami untuk mengintegrasikan teknologi dengan lancar seperti pengenalan biometrik dan platform e-dagang runcit pelancongan bagi pihak Malaysia Airports, sambil menyulitkan data merentasi sistem untuk memastikan kami menjaga privasi pengguna dan keselamatan data. Kami amat berbesar hati untuk menyokong perjalanan transformasi digital Malaysia Airports dan memainkan peranan dalam peningkatan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelancong antarabangsa.”



Pengangkutan dan Pelancongan Mampan Adalah Saling Berkait

Orang ramai semakin menyedari impak pelancongan terhadap alam sekitar, maka kemampanan telah menjadi pertimbangan penting apabila mereka merancang jadual perjalanan mereka. Untuk tempoh dari 16 Julai 2022 hingga 15 Julai 2023, pertanyaan carian berkaitan dengan “ekopelancongan” dan “pengangkutan mampan” di Malaysia masing-masing telah meningkat lebih daripada 700% dan lebih daripada 160%. Malah, hampir 4 dalam 10 pengguna digital di Malaysia telah mengisytiharkan bahawa mereka sanggup bayar lebih untuk produk atau perkhidmatan yang mampan.

Untuk membolehkan pengalaman pengangkutan yang lancar dan lebih mampan buat para pelancong di Malaysia, Asia Mobiliti sedang membina dan menjalankan platform mobiliti-sebagai-perkhidmatannya untuk perniagaan dan pengguna pada infrastruktur terbuka, berskala, selamat dan cekap tenaga Google Cloud.

Dengan sokongan daripada PointStar, Asia Mobiliti juga telah menggunakan alat analisis lanjutan dan risikan perniagaan Google Cloud untuk memberi pelanggan B2B mereka akses kepada cerapan masa nyata yang boleh membantu mereka bertindak balas terhadap keperluan penumpang dengan lebih baik. Dengan memanfaatkan kebolehan Asia Mobiliti untuk mendapat dan menganalisis data merentas mod pengangkutan yang berbeza dan meramalkan permintaan dengan tepat menggunakan algoritma pembelajaran mesin (ML) proprietarinya, pengendali lapangan terbang atau pengangkutan awam boleh, sebagai contoh, menawarkan perkhidmatan transit responsif permintaan (demand-responsive transit services, atau DRT) ke pusat membeli-belah atau hotel di bandar. Perkhidmatan DRT bermaksud sebuah kenderaan penumpang, seperti sebuah bas atau van, akan dihantar sebagai tindak balas kepada permintaan untuk mengoptimumkan penunggangan dan kos perjalanan, melalui laluan pintar untuk memastikan mereka mengambil laluan terpantas dan paling cekap bahan api.

Ramachandran Muniandy, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama, Asia Mobiliti, kata: “Konsep pelancongan dan mobiliti mampan adalah saling berkait. Di Asia Mobiliti, matlamat kami adalah untuk membantu mendigitalkan semua mod pengangkutan dan menghubungkannya antara satu sama lain, dengan itu membolehkan pengalaman pengangkutan pelbagai mod atas permintaan yang lancar. Walaupun para pelancong merupakan pengguna terbesar pengangkutan pelbagai mod, rakyat juga boleh mendapat manfaatnya. Sebuah sistem pengangkutan awam pelbagai mod yang berkesan mengurangkan keperluan untuk kenderaan persendirian atau penghunian tunggal, yang seterusnya mengurangkan kesesakan jalan raya dan pelepasan karbon. Memandangkan Google Cloud merupakan peneraju dalam sains data dan satu-satunya penyedia awan yang menguasakan infrastruktur dan perkhidmatannya menggunakan 100% tenaga boleh diperbaharui, ia merupakan pilihan yang jelas untuk membina platform kami pada awan data terbuka Google Cloud.”

Justin Lee, Ketua Pegawai Eksekutif, PointStar, kata: “Asia Mobiliti, setelah membangunkan tawaran mobiliti sebagai perkhidmatan dengan pantas dan cekap kos, dan membawanya ke pasaran, mengukuhkan nilai strategi inovasi yang mengutamakan awan untuk mana-mana usahawan yang mempunyai cita-cita untuk mencipta dan melancarkan perkhidmatan digital baharu yang menutup jurang sedia ada dalam industri, menskala penggunaannya untuk memberi perkhidmatan kepada jumlah pelanggan yang besar, dan menubuhkan syarikat mereka sebagai salah satu soonicorns Malaysia yang seterusnya. PointStar bangga kerana dapat menyokong perjalanan perkembangan Ram dan kumpulannya, terutamanya dalam usaha mereka untuk berkembang ke pasaran baharu dan mengubah sistem pengangkutan bandar untuk mencapai kemampanan dan kebolehdiaman jangka panjang. Kami percaya bahawa Asia Mobiliti akan terus menjadi rujukan positif untuk organisasi yang mungkin masih berasa ragu-ragu berkenaan prospek dan faedah membina perniagaan mereka menggunakan awan, analitik dan teknologi AI terbaik dalam kelasnya.”



Peluang Luar Biasa bagi Industri Berkaitan untuk Mempengaruhi Perkembangan Pelancongan

Dengan 7 dalam 10 pengguna digital bandar di Malaysia yang sudah menggunakan perkhidmatan pelancongan digital dan kategori ini dianggarkan untuk berkembang sebanyak 56% tahun ke tahun serta menyumbang sebanyak AS$8 bilion kepada ekonomi digital Malaysia menjelang tahun 2025, pemain dalam ekosistem pelancongan tidak boleh terlepas pandang kepentingan penawaran perkhidmatan digital yang sentiasa aktif, ringkas, diperibadikan dan selamat.

Trend carian Google dari tempoh 16 Julai 2022 hingga 15 Julai 2023 mencadangkan bahawa industri berkaitan boleh mengambil peluang yang dibentangkan oleh pemulihan industri pelancongan Malaysia. Sejak tahun lepas, pertanyaan carian berkaitan dengan “kad kredit pelancongan” dan “insurans pelancongan” di Malaysia masing-masing telah meningkat lebih daripada 750% dan lebih daripada 250%. Oleh itu, institusi kewangan mesti mencari cara untuk menyampaikan tawaran yang disesuaikan kepada para pelancong yang ingin mencari ganjaran eksklusif untuk perbelanjaan barangan dan perkhidmatan berkaitan pelancongan, atau mencari ketenangan fikiran daripada perubahan yang tidak dapat dijangka. Dengan pertanyaan carian berkaitan dengan “pelancongan perubatan” di Malaysia meningkat lebih daripada 60% sejak tahun lepas dalam tempoh yang sama, terdapat peluang untuk penyedia penjagaan kesihatan untuk melibatkan individu yang ingin melawat Malaysia untuk mendapatkan rawatan perubatan khusus dengan lebih baik.

Tambahan lagi, pertanyaan carian berkaitan dengan “visa nomad digital” di Malaysia telah meningkat lebih daripada 350% dalam tempoh yang sama. Syarikat-syarikat dalam industri seperti hartanah dan hospitaliti, makanan dan barang runcit, perkhidmatan kewangan, dan penjagaan kesihatan patut memahami kategori pengguna yang baru muncul ini dengan lebih mendalam dan pertimbangkan untuk mereka bentuk produk dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan khusus mereka. Ini mungkin termasuk menawarkan ruang kerja bersama, pilihan perumahan jangka pendek, penghantaran atas permintaan, insurans kesihatan rentas sempadan, dan akaun simpanan pelbagai mata wang.



Memperkenalkan Kursus Kemahiran, Model dan Alat Bergred Perusahaan, dan Program Permulaan AI

Untuk membolehkan organisasi merentas industri berinovasi menggunakan AI generatif dengan cepat, selamat dan bertanggungjawab, dan merebut peluang perkembangan baharu tatkala pulihnya industri pelancongan Malaysia, Google Cloud telah melancarkan penyelesaian dan sumber AI generatif baharu untuk perniagaan di Malaysia.

Untuk memberi para individu lebih akses kepada kerjaya dalam bidang AI generatif, Google Cloud telah menyediakan 10 kursus pembangunan kemahiran AI generatif secara percuma melalui Program Galakan Kemahiran Awannya. Perjalanan pembelajaran baharu ini membantu pelajar memahami perbezaan antara AI generatif dan jenis-jenis AI lain, cara untuk menyesuaikan model AI generatif yang telah dilatih untuk digunakan dalam aplikasi, cara untuk menggunakan AI secara bertanggungjawab, dan banyak lagi. Selepas memperolehi kemahiran AI generatif asas, para pelajar boleh meneruskan perjalanan pembelajaran lain yang berkaitan dengan ML dan sains data atau memperoleh sijil IT yang diiktiraf industri melalui platform Cloud Skills Boost. Rakyat Malaysia kini boleh merebut peluang untuk membina dan menunjukkan kemahiran mereka yang berkaitan dengan AI awan kepada bakal majikan.

Dalam tempoh empat bulan yang lalu, Google Cloud telah memperkenalkan pelbagai teknologi untuk membolehkan tahap inovasi baharu dengan AI generatif. Kini, ia telah mengumumkan ketersediaan umum sokongan AI Generatif pada Vertex AI untuk membantu organisasi mempercepatkan perjalanan AI mereka.

Ini termasuk sebuah Model Garden yang memberi akses kepada saintis data dan pengguna AI dalam perusahaan kepada model AI generatif yang dilatih, dan Generative AI Studio untuk membantu mereka menyesuaikan model-model ini dan menggunakannya dalam aplikasi dan laman web dalaman atau yang berhadapan dengan pengguna. Model Garden menghoskan lebih daripada 60 model dari Google dan rakan-rakannya. Ini termasuk model untuk meringkaskan dan menterjemahkan teks dalam pelbagai bahasa (iaitu PaLM 2 for Text), mengekalkan perbualan yang berterusan (iaitu PaLM 2 for Chat), menukarkan audio kepada teks (iaitu Chirp), mencipta imej bergred studio dari penjelasan teks (iaitu Imagen), dan menjana dan membetulkan kod perisian (iaitu Codey).

Google menilai model-modelnya dengan teliti untuk memastikan mereka memenuhi Prinsip AI Bertanggungjawabnya. Apabila menggunakan Vertex AI, para pelanggan mempunyai kawalan sepenuhnya atas data mereka: ia tidak perlu dikeluarkan dari penyewa awan pelanggan, disulitkan dalam transit dan dalam keadaan tidak aktif, dan tidak dikongsi atau digunakan untuk melatih model Google.

Akhir sekali, untuk menyokong lebih banyak syarikat permulaan Malaysia yang bermula dari wang benih  ke Siri A yang menggunakan AI sebagai teknologi teras untuk membangunkan produk atau penyelesaian utama, Program Awan untuk Syarikat Permulaan Google kini tersedia untuk menampung kos awan mereka sehingga AS$350,000 untuk lebih daripada dua tahun.

“Priceline, sebagai contoh, telah mengukuhkan dirinya sebagai peneraju industri dalam penggunaan AI generatif untuk mencipta pengalaman pelancongan yang ditingkatkan untuk para pelanggan dan meningkatkan aliran kerja untuk para pekerja. Melalui kursus kemahiran, model yang dilatih, alat mesra pembangun, dan sokongan untuk syarikat permulaan yang tersedia di Malaysia, Google Cloud memperkasakan organisasi untuk membina dan mengguna aplikasi AI generatif mereka sendiri dengan mudah dan laju, sambil melindungi data, aplikasi, dan pengguna mereka,” kata Khie.