Isnin, 4 September 2023

Google Cloud Next ‘23: Mengembangkan Duet AI, Rakan Usaha Sama Dikuasakan oleh AI, merentasi Google Workspace dan Google Cloud

Di Google Cloud Next ‘23, Google Cloud mengumumkan bahawa Duet AI kini akan menawarkan bantuan AI merentas rangkaian produk dan perkhidmatan Google Cloud yang lebih luas kepada pengguna awanan yang merangkumi pekerja, pembangun perisian, pengendali IT, pengamal data dan profesional keselamatan siber.


Duet AI merupakan rakan usaha sama AI always-on yang terintegrasi secara mendalam dalam Google Workspace dan Google Cloud. Duet AI in Google Workspace, kini tersedia secara umum, memberi setiap pengguna seorang pembantu menulis, seorang pakar hamparan, seorang pengurus projek, seorang pencatat nota untuk mesyuarat, dan seorang pereka bentuk visual yang kreatif. Duet AI in Google Cloud bekerjasama seperti seorang pakar pengekod, seorang jurutera kebolehpercayaan perisian, seorang pakar pangkalan data, seorang pakar penganalisis data dan seorang penasihat keselamatan siber – dan kini sedang mengembang keupayaan pratontonnya, dengan ketersediaan umum yang akan datang pada akhir tahun ini.


Thomas Kurian, CEO, Google Cloud, berkata: “Ia merupakan tahun yang menarik setakat ini untuk Google Cloud. Kami telah mencapai beberapa pencapaian penting, termasuk pada suku kedua 2023, mencapai kadar larian hasil tahunan sebanyak AS$32 bilion dan menyaksikan keuntungan suku kedua kami, semuanya berdasarkan kejayaan pelanggan kami merentas setiap industri. Kami mendedahkan Duet AI di Google I/O pada bulan Mei, memperkenalkan ciri berkuasa baharu merentas Workspace dan mempamerkan ciri pembangun seperti bantuan kod dan sembang di Google Cloud. Sejak itu, para penguji yang dipercayai di seluruh dunia telah mengalami kuasa Duet AI sambil kami berusaha mengembangkan keupayaan dan menyepadukannya merentasi pelbagai produk dan perkhidmatan di Workspace dan Google Cloud. Hari ini, dengan bangganya, kami ingin mengumumkan cara baru kami akan membantu setiap perniagaan, kerajaan dan pengguna mendapat manfaat daripada AI generatif dan teknologi awan terkemuka.”

Kini Tersedia: Duet AI in Google Workspace


Google Workspace merupakan alat produktiviti paling popular di dunia, dengan lebih daripada tiga billion pengguna dan lebih daripada 10 juta pelanggan berbayar yang bergantung padanya setiap hari untuk menyelesaikan tugasan. Sejak pelancaran Duet AI in Google Workspace, Google Cloud telah membawa pelbagai ciri untuk bertindak sebagai jurulatih, sumber inspirasi dan penggalak produktiviti pengguna. Ciri-ciri ini termasuk membantu untuk menulis dan memperhalusi kandungan di Gmail dan Google Docs, mencipta imej asli di Google Slides, menukar idea kepada tindakan dan data kepada cerapan dengan Google Sheets, dan memupuk hubungan yang lebih bermakna di Google Meet – sambil memastikan setiap pengguna dan organisasi mempunyai kawalan atas data mereka. Organisasi kini boleh mula menggunakan Duet AI in Google Workspace dengan percubaan tanpa kos.


Aparna Pappu, General Manager and Vice President, Google Workspace, berkata: “Kadangkala, ia terasa seperti kita tidak cukup masa dalam sehari – dengan begitu banyak e-mel, begitu banyak mesyuarat dan banyak item tindakan untuk disusuli, kerja boleh terasa menakutkan. Bagaimana jika anda mempunyai rakan kolaborasi masa nyata pintar yang boleh mengurangkan beban tersebut secara mendadak? Dengan Duet AI, anda boleh memberi tumpuan kepada perkara yang benar-benar penting sambil ia menguruskan hal-hal yang lain."


“Bayangkan anda seorang penganalisis kewangan dan anda mendapat e-mel pada pukul 5 petang dari bos anda yang meminta anda untuk membuat sebuah pembentangan mengenai prestasi suku ketiga menjelang 8 pagi keesokannya. Daripada sibuk menghasilkan ramalan di Sheets, Docs Untung Rugi, Slides Kajian Perniagaan Bulanan dan membaca e-mel daripada ketua jualan serantau, anda tidak lama lagi akan boleh meminta Duet AI untuk membuat tugasan tersebut dengan gesaan seperti “cipta ringkasan mengenai prestasi suku ketiga.” Duet AI boleh mencipta pembentangan baharu, lengkap dengan teks, carta dan imej, berdasarkan kandungan relevan anda di Google Drive dan Gmail. Permintaan saat-saat akhir yang perlukan anda bekerja sepanjang malam, kini boleh diselesaikan sebelum waktu makan malam,” tambah Pappu.


Kapsyen: Duet AI in Google Workspace boleh mengurangkan beban kerja dengan menjana ringkasan dari dokumen sumber relevan anda dan mencipta pembentangan secara automatik di Slides.


Gelombang inovasi AI seterusnya di Google Workspace


Google Cloud juga mengumumkan peningkatan baharu kepada Duet AI in Google Workspace: Duet AI in Google Meet dan Duet AI in Google Chat.

Untuk bantu pekerja melibatkan diri dengan lebih baik semasa mesyuarat, Duet AI in Google Meet menghilangkan beban mengambil nota dan menghantar nota imbas kembali. Ia boleh mengambil nota, item tindakan dan coretan video dalam masa nyata dengan ciri “ambil nota untuk saya” dan menghantar ringkasan kepada para peserta selepas mesyuarat itu. Ia juga boleh membantu mereka yang lewat untuk mendapat tahu “ringkasan setakat ini,” yang akan memberikan gambaran pantas tentang semua maklumat yang terlepas. Untuk pengguna yang tidak boleh menghadiri mesyuarat tersebut tapi ingin berkongsi input, ciri “hadir untuk saya” membolehkan Duet AI untuk menghadiri mesyuarat itu bagi pihak mereka, menyampaikan mesej mereka dan memastikan mereka mendapat nota imbas kembali.

Bahagian paling penting dalam mana-mana mesyuarat adalah untuk dilihat, didengar dan difahami dengan jelas, tetapi kadangkala pelbagai perkara boleh mengganggu sesuatu penglibatan, seperti kualiti kamera dan bunyi, sambungan internet yang perlahan atau halangan bahasa. Duet AI in Google Meet boleh bantu memastikan peserta mesyuarat tampil kelihatan dan didengari dalam cara yang terbaik dengan penampilan studio, pencahayaan studio dan bunyi studio. Dengan pelancaran automatic translated captions untuk 18 bahasa, termasuk Bahasa Cina Ringkas, Bahasa Cina Tradisional, Bahasa Indonesia, Bahasa Thai dan Bahasa Vietnam, Google Meet akan mengesan apabila bahasa lain sedang dituturkan dan akan memaparkan terjemahan dalam masa nyata secara automatik.


Kapsyen: Duet AI in Google Workspace boleh menjadikan mesyuarat anda yang seterusnya lebih produktif dengan ringkasan mesyuarat dan item tindakan yang dijana secara automatik untuk anda hantar sebagai nota imbas kembali kepada peserta.


Bukan setiap perbualan memerlukan mesyuarat, dan kadangkala kolaborasi akan berlaku pada bila-bila masa sahaja. Para pekerja mungkin hanya memerlukan beberapa minit untuk berhubung dengan pasukan mereka atau menyelesaikan masalah. Google Chat kini memudahkan proses tersebut dengan antara muka pengguna baharu, pintasan baharu, dan carian yang dipertingkatkan supaya para pengguna boleh kekal dimaklumkan tentang perbualan mereka. Mereka juga kini boleh bersembang terus dengan Duet AI untuk bertanya soalan mengenai kandungan mereka, mendapat ringkasan daripada dokumen yang dikongsi dalam sebuah ruang dan pastikan mereka tidak terlepas dari sebarang perbualan.


Apabila para pengguna perlu berbincang dalam masa nyata, mereka boleh menukar kepada suara dengan cepat dengan Huddles di Google Chat, betul-betul dari ruang kolaborasi mereka. Huddles merupakan perhimpunan dadakan mengutamakan audio yang dikuasakan oleh Google Meet yang boleh membantu pasukan yang berada di lain-lain tempat berkumpul dalam masa nyata tanpa perlu menyertai mesyuarat berjadual yang berasingan. Tambahan lagi, dengan sokongan untuk sehingga 500,000 peserta, ia kini lebih mudah untuk organisasi membina komuniti yang lebih besar merentas Google Chat.


Menjaga privasi dan keselamatan pengguna sentiasa menjadi prinsip asas Google Workspace. Duet AI terus berpegang pada janji ini. Setiap pengguna boleh berasa tenang kerana interaksi mereka dengan Duet AI adalah peribadi. Tiada pengguna lain yang akan dapat melihat data mereka dan Google tidak akan menggunakan data mereka untuk melatih modelnya tanpa kebenaran mereka. Membina atas komitmen teras ini, Google Workspace baharu-baharu ini melancarkan keupayaan baharu untuk membantu mencegah ancaman siber, menyediakan kerja yang lebih selamat dengan kawalan terbina dalam amanah sifar, dan menyokong kedaulatan digital dan keperluan pematuhan organisasi dengan lebih baik.


Kapsyen: Antara muka pengguna baharu dan Huddles di Google Chat boleh memudahkan untuk berhubung dengan pasukan anda dan berkumpul dalam masa nyata untuk perhimpunan dadakan.


Cara baharu untuk awan bagi pembangun, pengendali IT, pengamal data dan profesional keselamatan siber


Selain daripada Google Workspace, Duet AI kini boleh membekalkan bantuan AI merentas produk dan perkhidmatan luas Google Cloud – sebagai pembantu kod untuk membantu pembangun menulis kod dengan lebih cepat, sebagai penasihat pakar untuk membantu pengendali menyelesaikan masalah aplikasi dan infrastruktur dengan cepat, sebagai penganalisis data untuk memberikan cerapan dengan cepat dan lebih baik, dan sebagai penasihat keselamatan untuk mengesyorkan amalan terbaik untuk membantu mencegah ancaman siber.


Kemajuan untuk Duet AI dalam Google Cloud termasuk:


  • Pembangunan perisian: Duet AI membekalkan bantuan pakar merentas keseluruhan kitaran hayat pembangunan perisian, membolehkan pembangun untuk kekal dalam keadaan aliran lebih lama dengan meminimumkan penukaran konteks untuk membantu mereka menjadi lebih produktif. Selain daripada pelengkapan kod dan penjanaan kod, ia boleh membantu dengan pemfaktoran semula kod dan membina API menggunakan gesaan bahasa semula jadi yang mudah.


  • Operasi aplikasi dan infrastruktur: Pengendali boleh bersembang dengan Duet AI dalam bahasa semula jadi merentas pelbagai perkhidmatan dalam Google Cloud Console untuk mendapatkan maklumat "bagaimana" tentang konfigurasi infrastruktur, amalan terbaik penggunaan dan pengesyoran pakar tentang pengoptimuman kos dan prestasi dengan cepat.


  • Analisis Data: Duet AI di BigQuery menyediakan bantuan kontekstual untuk menulis pertanyaan SQL serta kod Python, menjana blok fungsi penuh dan kod, mencadangkan pelengkapan kod secara automatik dan menerangkan penyataan SQL dalam bahasa semula jadi serta boleh menjana pengesyoran berdasarkan skema dan metadata anda. Duet AI di Looker membolehkan pertanyaan perbualan pantas dan ringkas yang memperkasakan pengguna bukan teknikal untuk “bercakap” dengan data perniagaan mereka - sama seperti cara anda “tanya Google” sebarang soalan, dapat jawapan dan memperhalusi hasil menjadi visual dan laporan.




“Para pelanggan sudah mula mendapat nilai daripada Duet AI in Google Cloud: L’Oréal kini boleh mencapai keputusan perniagaan yang lebih baik dan lebih pantas daripada data mereka, dan Turing, dalam peringkat ujian awal, sedang melaporkan keuntungan produktiviti kejuruteraan sebanyak satu pertiga. Duet AI memberikan cadangan kontekstual dari model bahasa besar dan bimbingan pakar PaLM 2, dilatih dan ditala dengan kandungan khusus untuk Google Cloud, seperti dokumentasi, kod sampel dan amalan terbaik Google Cloud. Tambahan lagi, Duet AI direka menggunakan pendekatan komprehensif Google untuk membantu melindungi keselamatan dan privasi pelanggan, serta prinsip AI kami. Dengan Duet AI, your data is your data. Kod anda, input anda dalam Duet AI, dan cadangan yang dihasilkan oleh Duet AI untuk anda tidak akan digunakan untuk melatih sebarang model yang dikongsi atau digunakan untuk membangunkan sebarang produk,” tambah Kurian.