Sissie Hsiao, Naib Presiden dan Pengurus Besar, pengalaman Gemini (dahulunya dikenali sebagai Bard) dan Google Assistant
Sejak pelancaran Bard pada tahun lepas, orang ramai di seluruh dunia telah menggunakannya untuk bekerjasama dengan AI dengan cara baharu - untuk menyediakan diri untuk temuduga kerja, menyahpepijat kod, meyumbang saran idea perniagaan baharu atau, seperti yang kami umumkan minggu lepas, mencipta imej yang menawan.
Misi kami dengan Bard adalah sentiasa untuk memberi anda akses terus kepada model AI kami, dan Gemini mewakili keluarga model kami yang paling berkebolehan. Untuk mencerminkan ini, Bard kini akan dikenali sebagai Gemini.
Anda kini boleh bersembang dengan Gemini dengan model Pro 1.0 kami dalam lebih daripada 40 bahasa di lebih daripada 230 negara dan wilayah. Dan kini, kami akan membawa dua pengalaman baharu kepada anda - Gemini Advanced dan sebuah aplikasi mudah alih - untuk membantu anda bekerjasama dengan Google AI dengan mudah.
Mengakses model AI yang paling berkebolehan kami dengan Gemini Advanced
Pada hari ini, kami akan melancarkan Gemini Advanced - satu pengalaman baharu yang memberi anda akses kepada Ultra 1.0, model AI kami yang terbesar dan paling berkebolehan. Dalam penilaian buta dengan penilai pihak ketiga kami, Gemini Advanced dengan Ultra 1.0 kini merupakan bot sembang yang paling disukai berbanding alternatif terkemuka.
Dengan model Ultra 1.0 kami, Gemini Advanced adalah jauh lebih berkebolehan dalam tugas yang sangat kompleks seperti pengekodan, penaakulan logik, mengikut arahan yang bernuansa dan bekerjasama dalam projek kreatif. Gemini Advanced bukan sahaja membolehkan anda untuk mengadakan perbualan yang lebih panjang dengan lebih butiran; ia juga boleh memahami konteks daripada gesaan anda sebelum ini dengan lebih baik. Sebagai contoh:
- Gemini Advanced boleh menjadi tutor peribadi anda - mencipta arahan langkah demi langkah, contoh kuiz atau perbincangan berulang-alik yang disesuaikan dengan gaya pembelajaran anda.
- Ia boleh membantu anda dengan senario pengekodan yang lebih maju, berfungsi sebagai tempat untuk berkongsi idea dan membantu anda menilai pendekatan pengekodan yang berbeza.
- Ia boleh membantu pencipta digital beralih daripada peringkat idea kepada ciptaan dengan menjana kandungan baharu, menganalisis arah aliran terkini dan mempercambahkan cara yang lebih baik untuk mengembangkan khalayak mereka.
Versi pertama Gemini Advanced ini mencerminkan kemajuan terkini kami dalam penaakulan AI dan ia akan terus bertambah baik. Selepas kami menambah ciri eksklusif baharu, pengguna Gemini Advanced akan dapat akses kepada keupayaan multimodal yang diperluaskan, lebih banyak ciri pengekodan interaktif, keupayaan analisis data yang lebih mendalam dan banyak lagi. Gemini Advanced boleh didapati hari ini di lebih daripada 150 negara dan wilayah dalam bahasa Inggeris, dan kami akan mengembangkannya kepada lebih banyak bahasa dari masa ke semasa.
Gemini Advanced kini tersedia sebagai sebahagian daripada pelan Premium Google One AI kami untuk $19.99 untuk setiap bulan, bermula dengan percubaan selama dua bulan tanpa sebarang kos. Pelan ini memberikan anda yang terbaik daripada Google AI dan kemajuan terkini kami, bersama dengan manfaat pelan Premium Google One yang tersedia, seperti 2TB storan. Tambahan lagi, pelanggan Premium AI tidak lama lagi akan dapat digunakan Gemini dalam Gmail, Docs, Slides, Sheets dan banyak lagi (dahulunya dikenali sebagai Duet AI).
Kami terus mengambil pendekatan yang berani dan bertanggungjawab untuk membawa teknologi ini ke seluruh dunia. Dan, untuk mengurangkan isu seperti kandungan yang tidak selamat atau berat sebelah, kami telah menggabungkan keselamatan dalam produk kami menurut Prinsip AI kami. Sebelum melancarkan Gemini Advanced, kami telah menjalankan pemeriksaan amanah dan keselamatan yang meluas, termasuk membentuk satu pasukan profesional luar untuk mencontohi taktik, teknik dan prosedur penyerang sebenar. Kami telah memperhalusi model asas menggunakan penalaan halus dan pembelajaran pengukuhan, berdasarkan maklum balas manusia.
Gunakan Gemini dengan mudah menggunakan telefon anda
Kami juga mendapati bahawa anda mahukan cara yang lebih mudah untuk mengakses Gemini menggunakan telefon anda. Jadi hari ini, kami akan mula melancarkan pengalaman mudah alih baharu untuk Gemini dan Gemini Advanced dengan aplikasi baharu pada Android dan dalam aplikasi Google pada iOS.
Dengan Gemini dalam telefon anda, anda boleh taip, cakap atau tambah imej untuk semua jenis bantuan tidak kira di mana jua: Anda boleh mengambil gambar tayar pancit anda dan meminta arahan, menjana imej tersuai untuk jemputan majlis makan malam anda atau meminta bantuan menulis mesej teks yang sukar. Ini merupakan langkah pertama yang penting dalam pembinaan pembantu AI yang sebenar — yang boleh berbual, berbilang mod dan berguna.
Android
Pada Android, Gemini merupakan jenis pembantu baharu yang menggunakan AI generatif untuk bekerjasama dengan anda untuk menyelesaikan tugas.
Jika anda memuat turun aplikasi Gemini atau mengikut serta melalui Google Assistant, anda akan boleh mengaksesnya daripada aplikasi itu atau di tempat lain di mana anda biasa aktifkan Google Assistant - menekan butang kuasa atau meleret sudut pada telefon terpilih atau menyebut "Hey Google." Ini akan membolehkan pengalaman tindanan baharu yang menawarkan akses mudah kepada Gemini serta bantuan kontekstual terus pada skrin anda — jadi anda boleh, sebagai contoh, menjana kapsyen untuk gambar yang anda baharu ambil atau bertanya soalan tentang artikel yang anda sedang membaca. Banyak ciri suara Google Assistant akan tersedia melalui aplikasi Gemini — termasuk menetapkan pemasa, membuat panggilan dan mengawal peranti rumah pintar anda — dan kami sedang berusaha untuk menyokong lebih banyak lagi pada masa hadapan.
iOS
Pada iOS, kami akan melancarkan akses ke Gemini terus daripada aplikasi Google dalam minggu-minggu yang akan datang. Hanya ketik pada Gemini dan bersembang dengan Gemini untuk menyerlahkan kreativiti anda, mencipta imej tersuai, mendapatkan bantuan menulis siaran sosial dan juga merancang malam temu janji terus daripada aplikasi Google. Kami tidak sabar untuk anda mencubanya.
Gemini akan dilancarkan pada telefon Android dan iOS di Amerika Syarikat dalam bahasa Inggeris pada hari ini, dan ia akan tersedia sepenuhnya dalam minggu-minggu akan datang. Mulai minggu hadapan, anda akan dapat mengaksesnya di lebih banyak lokasi dalam bahasa Inggeris, dan dalam bahasa Jepun dan Korea, dengan lebih banyak negara dan bahasa akan datang tidak lama lagi.
Cuba kemas kini terkini kami — dan kongsi maklum balas anda untuk membantu kami meningkatkan pengalaman anda.