Khamis, 23 April 2020

Membantu anda mengelak risiko sekuriti dalam talian mengenai COVID-19



Ketika warga dunia diam di rumah akibat COVID-19, ramai yang berpaling kepada aplikasi dan alat komunikasi baharu untuk bekerja, belajar, mengakses informasi, dan kekal berhubung dengan orang tersayang.

Sementara platform digital sebegini tidak dinafikan berguna dalam kehidupan harian kita, ia juga boleh membuka pintu kepada risiko-risiko sekuriti baharu dalam talian. Sistem sekuriti Google telah  mengesan pelbagai penipuan baharu seperti memancing data e-mel yang cuba menipu pengguna supaya mengklik pautan palsu yang disamarkan sebagai pesanan-pesanan dari badan kebajikan dan NGO yang memerangi COVID-19, arahan dari “pihak pentadbir” kepada pekerja yang bekerja dari rumah, dan malah notis dari penyedia penjagaan kesihatan. Sistem kami juga telah mengesan laman-laman dipenuhi perisian hasad yang menyamar sebagai laman daftar masuk akaun media sosial popular, organisasi kesihatan, dan malahan juga peta coronavirus rasmi Universiti Johns Hopkins. Beberapa minggu kebelakangan ini, kami telah melihat 18 juta cubaan harian perisian hasad dan memancing data e-mel berkait COVID-19, di samping lebih 240 juta pesanan spam harian berkait COVID.

Demi melindungi anda dari risiko-risiko ini, kami telah melengkapkan produk-produk Google dengan perlindungan sekuriti termaju untuk mengenalpasti dan membanteras ancaman secara automatik sebelum ia sampai kepada anda. Model-model pembelajaran mesin kami pada Gmail telah mengesan dan menghalang lebih 99.9 peratus spam, pemancing data dan perisian hasad. Sekuriti terbina dalam kami juga melindungi anda semasa melayari internet, dengan memberi amaran sebelum anda mengakses tapak web palsu, mengimbas aplikasi-aplikasi di Google Play sebelum anda memuat turun, dan banyak lagi. Tetapi kami juga ingin membantu anda kekal selamat dimana sahaja dalam talian, bukan hanya pada produk-produk kami dan oleh itu kami kongsikan tips-tips, perkakas dan sumber-sumber mudah bersama anda.


Cakna akan penipuan COVID-19 dan menghindarinya

Memandangkan majoriti penipuan berkait COVID-19 datang dalam bentuk e-mel memancing data, penting untuk kita berhenti sejenak dan menilai sebarang e-mel COVID-19 sebelum mengklik pautan atau mengambil tindakan. Curigai permintaan maklumat peribadi seperti alamat kediaman anda atau maklumat perbankan. Pautan palsu seringkali memimik tapak web mantap dengan menambah perkataan atau huruf tambahan - periksa kesahihan URL dengan melayangkan kursor padanya (di atas meja) atau tekan lama (pada peranti mobil). Pelajari dengan lanjut di safety.google/securitytips-covid19.

Guna akaun e-mel syarikat anda untuk sebarang urusan kerja

Ketika bekerja dengan pelanggan perusahaan kami, kami dapat melihat bagaimana pekerja mampu membahayakan perniagaan syarikat apabila menggunakan akaun atau peranti peribadi masing-masing. Meskipun bekerja dari rumah, penting untuk mengasingkan e-mel kerja dan peribadi anda. Akaun syarikat dilengkapkan dengan ciri-ciri sekuriti tambahan yang melindungi maklumat sulit syarikat anda. Jika kurang pasti dengan perlindungan dalam talian syarikat, rujuk pakar IT anda demi memastikan ciri sekuriti yang betul diaktifkan, contohnya pengesahan dua-faktor.



Lindungi panggilan video anda pada aplikasi seminar video

Kawalan sekuriti yang terbina dalam Google Meet diaktifkan dengan tersedia, maka organisasi dan pengguna dilindungi secara automatik dalam kebanyakan kes. Namun, terdapat langkah-langkah yang boleh anda ambil pada sebarang aplikasi seminar video untuk menjadikan panggilan anda lebih selamat:


  • Jika mesyuarat anda menggunakan kod numerik yang pendek, aktifkan ciri kata laluan atau PIN. Lapisan tambahan pengesahan akan membantu memastikan hanya peserta jemputan sahaja memperolehi akses mesyuarat.

  • Apabila berkongsi jemputan mesyuarat, pastikan ciri “mengetuk” diaktifkan agar penganjur mesyuarat sendiri dapat menyaring dan menerima jemputan baharu sebelum mereka menyertai mesyuarat.

  • Jika anda menerima jemputan mesyuarat yang memerlukan pemasangan aplikasi seminar video baharu, sentiasa pastikan jemputan tersebut disahkan - dengan lebih perhatian diberikan kepada potensi penyamaran - sebelum memasang aplikasi.



Pasang kemaskini sekuriti apabila dimaklumkan

Ketika bekerja dari rumah, komputer kerja anda mungkin tidak mengemaskini teknologi sekuriti anda dengan automatik seperti ketika masih di pejabat dan terhubung kepada jaringan korporat anda. Penting untuk anda mengambil tindakan segera apabila terdapat sebarang gesaan mengemaskini sekuriti. Kemaskini ini akan menyelesaikan kerentanan sekuriti yang diketahui, yang mana cuba dicari dan dieksploit oleh penyerang dengan aktif.



Gunakan pengurus kata laluan untuk mencipta dan menyimpan kata laluan yang kukuh

Dengan segala aplikasi dan servis baharu yang anda gunakan bagi tujuan kerja dan persekolahan, menggunakan kata laluan tunggal untuk semua sememangnya amat menggoda. Malah, 66 peratus warga Amerika mengaku menggunakan kata laluan serupa merentas pelbagai akaun. Untuk memastikan maklumat peribadi anda kekal sulit, pastikan anda menggunakan kata laluan yang unik dan sukar untuk diteka setiap masa. Pengurus kata laluan seperti terbina dalam Android, Chrome, dan Google Account anda akan memudahkan perkara ini.


Lindungi Google Account anda

Jika anda menggunakan Google Account, anda berupaya menyemak dengan mudah sebarang isu sekuriti terkini dan mendapatkan cadangan diperibadikan untuk membantu melindungi data dan peranti anda dengan Pemeriksaan Sekuriti. Dalam perkakas ini, anda dapat mengaktifkan Pemeriksaan Kata Laluan untuk mengesan sama ada terdapat sebarang kompromi pada kata laluan anda di akaun laman pihak ketiga dan seterusnya melakukan penukaran jika perlu.

Anda juga patut mempertimbangkan pengesahan dua-langkah (juga dikenali sebagai pengesahan dua-faktor), yang berkemungkinan besar telah pun ditetapkan anda untuk perbankan dalam talian dan peranti seumpamanya demi sekuriti tambahan. Ia membantu menghalang sesiapa yang tidak sepatutnya mengakses akaun anda dengan mensyaratkan faktor kedua sebagai tambahan kepada nama pengguna dan kata laluan anda ketika mendaftar masuk. Untuk menetapkan tetapan ini bagi Google Account anda, sila lawati g.co/2SV. Jika merasakan anda berisiko menjadi tumpuan serangan - anda seorang wartawan, aktivis, ahli politik atau ahli profesional penyedia khidmat kesihatan berprofil tinggi - sertai Advanced Protection Program, yang merupakan tawaran sekuriti paling kuat kami di g.co/advancedprotection.



Bantu anak-anak anda kekal selamat dalam talian

Memandangkan sekolah di seluruh dunia kini ditutup, kanak-kanak berada dalam talian lebih kerap berbanding dahulu. Anda boleh membantu anak-anak anda mengenalpasti penipuan melalui bahan pendidikan di Be Internet Awesome dan dalam permainan pembelajaran interaktif, Interland. Anda boleh menggunakan Family Link untuk membuka akaun sesuai umur, mengawal muat turun aplikasi anak-anak anda, dan memantau aktiviti mereka.

Pasukan kami akan berterusan memantau evolusi ancaman sekuriti dalam talian berkait COVID-19 agar dapat sentiasa memaklumkan dan melindungi anda. Untuk tips tambahan meningkatkan sekuriti dalam talian anda, sila lawati Pusat Keselamatan kami.