Tatkala banyak institusi pendidikan di seluruh dunia sedang menjalani, memanjangkan atau merancang penutupan disebabkan oleh COVID-19, kebanyakan populasi pelajar di dunia tidak dapat hadir ke sekolah. Di Malaysia dan di seluruh dunia, para pendidik menghadapi cabaran untuk mendidik dari jarak jauh pada skala yang tidak pernah dilihat sebelum ini, dan bagi sesetengah dari mereka, buat pertama kalinya.
Google dan Kementerian Pendidikan Malaysia telah mewujudkan sebuah hab sumber pembelajaran jarak jauh baru bagi Malaysia yang dipanggil ‘Teach From Home’, sebuah hab utama yang tertumpu kepada maklumat, tip, latihan dan peralatan daripada Google for Education bagi membantu para pendidik meneruskan sesi pengajaran, walaupun mereka tidak berada di dalam kelas. Hab ini mengandungi:
Koleksi bahan latihan mengenai cara untuk bermula,
Amalan terbaik untuk menjalankan pengajaran dengan atau tanpa keupayaan panggilan video,
Tip untuk menggalakkan penglibatan dan pembinaan komuniti, serta
Kit alat langkah-demi-langkah ‘Teach from Home’ yang boleh dimuat turun
Di samping itu, Google juga turut menawarkan ciri persidangan video premium Google Meet secara percuma untuk sekolah-sekolah dan institusi-institusi pendidikan sehingga 30 September, 2020. Ini termasuk kemampuan untuk menampung seramai 250 orang dalam satu panggilan yang sama, merakam sesi pelajaran, dan bersiaran secara langsung.
Suite produktiviti G Suite for Education juga percuma untuk semua institusi pendidikan yang layak. Bagi institusi pendidikan yang belum mendaftar, ikuti pautan ini ke laman Kementerian Pendidikan Malaysia. Bagi institusi pendidikan swasta yang bukan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dan belum lagi mendaftar, ikuti pautan ini yang mengandungi panduan untuk mencipta sebuah domain dan akaun bagi institusi pendidikan anda.
Untuk Malaysia, Google telah membina hab ‘Teach from Home’ ini dengan sokongan dan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia. ‘Teach From Home’ kini boleh didapati dalam Bahasa Melayu dan juga Bahasa Inggeris, sementara kit alat boleh dimuat turun dalam 18 jenis bahasa, yang akan disertai bahasa-bahasa lain juga dalam masa terdekat.