Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan pembaharuan semula pelantar pembelajaran digitalnya untuk guru-guru, pendidik dan pelajar. Dipanggil DELIMa, atau ‘Digital Educational Learning Initiative Malaysia’, pelantar tersebut merupakan hasil kerjasama sepanjang beberapa tahun antara KPM dan firma-firma teknologi global Google, Microsoft dan Apple.
Pelantar DELIMa menawarkan semua aplikasi dan servis yang diperlukan oleh para guru dan pelajar dalam sistem sekolah Malaysia, termasuk teknologi dan sumber-sumber yang membolehkan pembelajaran digital seperti Google Classroom, Microsoft O365 dan Apple Teacher Learning Center.
DELIMa, yang dapat diakses menerusi laman web moe-dl.edu.my, telah dibentuk berdasarkan prinsip panduan berikut:
- Pendemokrasian pelantar digital - menyediakan semua opsyen untuk guru dan murid untuk belajar dalam talian, menerusi ekosistem multi-teknologi.
- Pembelajaran sepanjang hayat – berpusatkan pelajar untuk pembelajaran digital.
- Transformasi Digital - KPM komited untuk mengubah pendidikan secara digital untuk keperluan masa depan Malaysia.
Pelantar tersebut mempunyai 1.7 juta purata pengguna aktif bulanan setakat ini, menjadikannya salah satu penyebaran nasional terbesar di dunia. Dengan 10,000 sekolah, 370,000 guru dan 2.5 juta pelajar dalam sistem tersebut, Malaysia sedang mengambil langkah-langkah besar ke hadapan dalam transformasi digital dan kesediaan masa hadapan negara.
Bersempena dengan pelancaran DELIMa, sebuah webinar yang dihadiri oleh komuniti pendidik Malaysia telah dianjur oleh KPM yang menampilkan ucaptama oleh Dr. Habibah binti Abdul Rahim, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia mengenai pembelajaran jarak jauh serta norma baru bagi pendidikan di Malaysia. Wakil-wakil negara dari Google dan Microsoft, serta Pendidik Terhormat Apple, juga menyentuh bagaimana teknologi memainkan peranan penting dalam transformasi digital Malaysia.
Webinar pelancaran DELIMa dirasmikan oleh Dr. Wagheeh Shukry bin Hassan, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pelantar Pembelajaran, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia..
Webinar pelancaran DELIMa mengetengahkan ucaptama oleh Dr. Habibah Abdul Rahim, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, mengenai penjenamaan dan pembaharuan pelantar pembelajaran digital tersebut.
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Dr. Habibah Abdul Rahim turut disertai oleh (ikut arah jam dari atas kanan) Marc Woo, Ketua Negara Google Malaysia; Dr. Helmi Norman, Pendidik Terhormat Apple, dan K. Raman, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, dalam sebuah panel yang dihoskan oleh Pakar Pendidikan UNICEF Azlina Kamal.