Rabu, 1 Julai 2020

Pergi ke masa lampau bersama dinosaur AR di Search


Dinosaur mungkin telah memerintah Bumi jutaan tahun yang lalu, tetapi dengan realiti bertambah (augmented reality, atau AR), anda boleh menukarkan kediaman anda menjadi sebuah “Jurassic World.” Kami telah bekerjasama dengan Universal Brand Development, Amblin Entertainment dan Ludia untuk menghidupkan 10 dinosaur dari francais filem “Jurassic World,” menerusi Google Search. Lihat T.Rex gergasi yang berdiri megah di ruang tamu anda atau dongak lebih atas untuk melihat Brachiosauras yang berdiri jauh lebih tinggi dari pokok-pokok di sekitar anda.

Buat carian untuk seekor dinosaur di Google menggunakan peranti mudah alih dan ketik pada “View in 3D” untuk memutar atau menzum masuk dan melihatnya secara dekat. Anda kemudian boleh membawa masuk dinosaur tersebut ke persekitaran anda menggunakan AR dan mengubah saiznya untuk memahami saiznya berbanding dengan objek-objek di sekeliling anda. Pada peranti Android, pasangkan audio untuk mendengar bunyi tapak kaki dan ngauman setiap dinosaur.

Dinosaur dari “Jurassic World” yang boleh dilihat secara AR termasuk: Tyrannosaurus Rex, Velociraptor, Triceratops, Spinosaurus, Stegosaurus, Brachiosaurus, Ankylosaurus, Dilophosaurus, Pteranodon, dan Parasaurolophus.





Sebalik tabir penciptaan dinosaur AR dari “Jurassic World” 

Menggunakan teknologi dari permainan “Jurassic World Alive” oleh Ludia, dinosaur AR tersebut merupakan antara model paling realistik yang pernah dihasilkan. Tonton video ini untuk melihat bagaimana Brachiosaurus AR dihasilkan, termasuk pemodelan 3D, tekstur dan animasi.


“Untuk menghasilkan dinosaur 3D, artis-artis konsep kami menjalankan kajian awal untuk mendapatkan maklumat tentang setiap makhluk,” kata Camilo Sanin, Ketua Penciptaan Watak di Ludia. “Kami bukan sahaja menerapkan hasil kajian dari pelbagai jenis rujukan, tetapi artis-artis kami telah turut bekerjasama dengan pakar paleontologi dan kumpulan ‘Jurassic World’ untuk memastikan aset yang dicipta adalah setepat dan serealistik yang mungkin. Walaupun ia butiran kecil, seperti ketidakselarasan warna dan corak kulit, ia penting.”

Tidak seperti haiwan-haiwan AR Google yang lain, seperti anjing atau harimau, dinosaur mengetengahkan sebuah cabaran teknikal baru: saiz besar mereka. Ciri auto-skala baru pada Android kini boleh mengira secara automatik jarak di antara telefon anda dan permukaan di persekitaran anda dan mengubah saiz dinosaur tersebut agar ia muat pada skrin telefon anda. Jika anda ketik pada “View actual size,” teknologi penjejakan AR akan mengubah kedudukan dinosaur di dalam persekitaran anda secara automatik agar ia mempunyai ruang untuk muncul.

Ciri auto-skala baru pada Android






Bagaimana untuk mengakses dan kongsi

Pada Android, lakukan carian untuk “dinosaur” atau salah satu dari 10 dinosaur menerusi apl Google atau sebarang pelayar Android dan ketik pada “View in 3D.” Anda boleh melihat kandungan 3D pada peranti yang mempunyai Android 7 ke atas dan anda boleh melihat kandungan AR pada peranti dengan kebolehan ARCore. Teroka setiap dinosaur dengan mudah menggunakan format karusel.


Pada iOS, lakukan carian untuk “dinosaur” atau salah satu dari 10 dinosaur menerusi apl Google atau Google.com menggunakan Chrome atau Safari. Kandungan 3D dan AR boleh dilihat pada peranti yang mempunyai iOS 11 ke atas.

Anda boleh juga menghasilkan video AR - atau menghasilkan semula babak-babak kegemaran anda dari filem-filem “Jurassic World” - menggunakan pilihan merakam. Jangan lupa untuk tgambar dan video anda di media sosial menggunakan #Google3D dan #JurassicWorld. Selamat mengembara (ke masa lampau)!