Selasa, 15 Disember 2020

Bagaimana program pemecut membantu empat sahabat membangunkan pelantar transaksi harta tanah yang menyeluruh



MHub merupakan projek sulung TRB Ventures Sdn Bhd yang diusahakan oleh empat orang sahabat -  Quek Wee Siong, Joshua Ong, Jason Ding dan Jon Saw - bermula pada tahun 2015. Semuanya tercetus apabila Quek menemui halangan demi halangan dalam perjalanannya untuk membeli harta tanah, seperti proses-proses manual, jurang maklumat dalam masa nyata dan komuniti-komuniti yang kurang menarik. Mengakui bahawa terdapat adaptasi teknologi yang perlahan di kalangan pihak-pihak berkepentingan dalam industri harta tanah, mereka melihat situasi ini sebagai peluang untuk merapatkan jurang-jurang tersebut menerusi penggunaan aplikasi, membina satu demi satu apl untuk mempercepat dan memudahkan proses-proses yang diperlukan bagi menyempurnakan sebuah transaksi harta tanah.





Cabaran

Membangunkan apl bagi menyokong keseluruhan transaksi harta tanah dari mula bukanlah sesuatu yang mudah kerana proses pendigitalan dalam industri tersebut masih berada pada tahap yang rendah, lantas menawarkan hanya beberapa titik rujukan bagi MHub untuk memulakan projek mereka. Ini turut bermakna bahawa mereka harus meyakinkan pelbagai pihak berkepentingan untuk mengadaptasi idea tersebut dan beralih arah dari proses transaksi harta tanah yang konvensional. Dalam industri yang sangat terkawal, MHub tekad untuk mendekati idea ini secara holistik dan menawarkan penyelesaian yang menambahbaikkan proses transaksi harta tanah secara menyeluruh - bermula dengan pemaju harta tanah dan kemudian ejen-ejen hartanah, pegawai-pegawai bank, para peguam dan juga pembeli, kesemuanya merupakan sebahagian dari perjalanan penjualan harta tanah.



Pendekatan

Walaupun MHub telah membangunkan sebuah rancangan untuk menangani titik-titik masalah dalam transaksi harta tanah, mereka masih perlu mempelajari cara-cara untuk membangun dan mengurus sebuah syarikat permulaan teknologi berskala. Mereka pernah mengambil bahagian dalam beberapa program pemecut, seperti program Global Accelerator oleh MaGIC dan Cyberview Living Lab pada tahun 2017, di mana mereka mempelajari bagaimana untuk menangani bahagian-bahagian yang tidak dikenali dan memperluaskan rangkaian mereka bersama syarikat-syarikat permulaan lain yang serupa.





Baru-baru ini, mereka telah disenarai pendek dari 600 lebih aplikasi merentasi lebih dari 10 buah negara untuk menjadi satu-satunya wakil Malaysia untuk mengambil bahagian dalam program Google for Startups Accelerator di mana mereka didedahkan kepada para pengasas dari seluruh dunia dengan gaya pemikiran yang sama dan dapatkan sokongan bimbingan satu-sama-satu dari pakar produk Google. Pembelajaran tersebut telah membolehkan mereka untuk mengaplikasikan amalan terbaik piawaian global ke dalam operasi keseluruhan mereka, dari pengambilan pekerja ke pembangunan budaya syarikat yang betul, memimpin pasukan dengan lebih efektif, menetapkan OKR, dan membina produk dan perkhidmatan yang membantu perniagaan untuk terus berkembang.



Hasil

Sehingga ke hari ini, MHub telah berjaya merekod transaksi harta tanah bernilai RM93 bilion dan kini merupakan pelantar transaksi harta tanah hujung-ke-hujung yang paling pantas berkembang di Malaysia. Mereka juga telah berjaya menawan sebanyak 30% bahagian pasaran dalam pasaran harta tanah utama, dan telah menjadi pelantar pilihan bagi 10 dari 15 pemaju harta tanah terkemuka Malaysia. Kumpulan aplikasi MHub juga telah berjaya menarik seramai 10,000 orang pengguna.