Isnin, 25 Januari 2021

Pelancaran Go Digital ASEAN: Kemahiran Digital untuk Menangani Kesan Ekonomi COVID-19 di Malaysia, dengan sokongan geran $3.3 juta daripada Google.org

Badan filantropi Google, Google.org, dengan kerjasama The Asia Foundation dan Jawatankuasa Penyelaras ASEAN untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (ACCMSME) akan melatih sehingga 200,000 orang dari kawasan luar bandar dan masyarakat yang kurang berkemampuan. Dengan geran $3.3 juta daripada Google.org, program tersebut bermatlamat untuk menutup jurang digital di seluruh ASEAN, selaras dengan visi yang ditetapkan oleh Agenda Tindakan ACCMSME berdasarkan Digitalisasi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana ASEAN melalui Pembangunan Kapasiti. 


Di Malaysia, rakan pelaksana terpilih, International Youth Center dan Startup Malaysia, akan menggunakan sebahagian daripada dana tersebut untuk menghasilkan modul latihan literasi digital dengan tujuan untuk melatih 15,000 belia dan pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PKS), dengan 50% daripadanya adalah wanita. Latihan akan tertumpu pada kemahiran seperti membuat profil dalam talian di platform rangkaian profesional, menjalankan perniagaan dalam talian melalui media sosial, dan menggunakan portal pekerjaan untuk meningkatkan kebolehkerjaan. 


"Perniagaan kecil adalah nadi ekonomi dan komuniti setiap negara. Keadaan yang sukar sekarang telah menguatkan desakan menyokong aspirasi digitalisasi mereka. Saya berbangga dapat menyokong The Asia Foundation dan ACCMSME, yang sama-sama berkongsi semangat kami untuk membantu perniagaan tempatan untuk berjaya, berkembang dan mencipta peluang untuk ekonomi tempatan." jelas Marc Woo, Pengarah Urusan Google Malaysia.


YB Dato Sri Dr Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, yang melancarkan program di Malaysia berkata, "Kerjasama antara Jawatankuasa Penyelaras ASEAN untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (ACCMSME) dan The Asia Foundation, dengan sokongan Google.org, menyumbang kepada pengembangan kapasiti perusahaan ASEAN dalam digitalisasi dan akan membantu mewujudkan integrasi digital rantau ini seperti yang diharapkan oleh ASEAN Digital Intergration Framework (DIF)."


David D. Arnold, Presiden The Asia Foundation mengatakan, “Kami berbesar hati dapat mengaktifkan kolaborasi pertama seumpama ini - mengumpulkan kepakaran dan pendekatan daripada sektor kerajaan, perniagaan, dan NGO — untuk membantu merapatkan jurang digital. Di kampung dan di bandar-bandar kecil di rantau ini, pejabat tempatan The Asia Foundation akan memimpin rangkaian komuniti pelatih dan sukarelawan untuk membantu pemilik PKS dan pekerja guna tenaga tidak penuh (underemployed) ke dalam ekonomi digital.


Kejayaan kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam melaksanakan integrasi digital ini di rantau ini akan membantu merapatkan jurang literasi digital dan boleh membawa peluang dan ganjaran baru bagi PKS di Malaysia dan ASEAN.


Ucapan yang dirakam oleh Menteri, serta wakil dari Google.org dan The Asia Foundation, dipaparkan di laman web Go Digital ASEAN Malaysia.