Selasa, 9 Februari 2021

Melindungi Warga Emas Ketika di Dalam Talian pada Hari Keselamatan Internet


Tatkala kita menyambut kedatangan Hari Keselamatan Internet dalam tahun pandemik global ini, kita diingatkan tentang pentingnya menjaga keselamatan ketika dalam talian semakin kita bergantung pada peralatan digital untuk kekal terhubung.

Sempena Hari Keselamatan Internet ini, kami telah mengenal pasti beberapa tip berguna bagi menggalakkan orang ramai membantu golongan yang lebih mudah terdedah kepada bahaya untuk menggunakan internet dengan lebih selamat. Google mengenal pasti beberapa tip berguna untuk membantu golongan warga emas dan kami juga telah meminta bantuan dari pakar-pakar kesihatan mental yang tertumpu kepada keselamatan digital, untuk berkongsi tip bagi cara-cara paling efektif untuk berbincang mengenai topik ini bersama mereka. Kita semua boleh memainkan peranan untuk melindungi orang tersayang. Dengan peralatan yang betul dan peningkatan kesedaran, kita boleh membantu mereka untuk membuat keputusan yang lebih bijak dan selamat dalam talian.

Tip 1: Lindungi akaun-akaun dalam talian anda

Langkah pertama untuk mencipta sebuah kata laluan yang kuat - mulakan dengan sebuah ayat yang mudah untuk diingati dan gunakan huruf pertama dari setiap perkataan, dalam bentuk huruf kecil dan besar di mana sesuai. Lihat contoh ini: I have two cats at home named Tom and Jerry akan memberikan anda kata laluan - IhtcahnTaJ. Jadikannya kata laluan yang lebih kuat dengan menggantikan huruf-huruf dengan nombor di mana sesuai. Menggunakan contoh yang sebelum ini, ia akan memberikan anda kata laluan berikut: Ih2c@hnT&J.


Setelah kata laluan dihasilkan, jangan risau jika anda tidak dapat mengingatinya - gunakan pengurus kata laluan seperti passwords.google.com untuk mencipta dan menyimpan kata-kata laluan tersebut! Dan ingat - jangan menggunakan semula kata-kata laluan anda.

Tip 2: Berjaga-jaga apabila berkongsi


Berjaga-jaga mengenai jumlah data peribadi yang dikongsi dalam talian. Oleh itu, kita harus bijak untuk berkongsi maklumat peribadi, seperti nama penuh atau alamat emel anda di forum awam atau ruangan dalam talian.


Jangan kongsikan maklumat akaun bank, PIN atau kata laluan anda bersama sesiapa pun. Satu-satunya ketika di mana anda perlu menaip masuk maklumat tersebut adalah apabila anda berada di sebuah laman web yang dipercayai dan dikenali, dan pernah mengakses secara terus sebelum ini. Untuk melindungi keselamatan anda sebaik mungkin, jangan klik pada pautan ke bank atau laman web lain jika ia dihantar kepada anda melalui emel atau pesanan teks. Sebaliknya, pergi terus ke laman tersebut dengan menaip masuk ke bar alamat atau lakukan carian untuk laman web tersebut.

Untuk ruangan sosial dalam talian pula, periksa tetapan perkongsian di media sosial dan perhatikan jika anda berkongsi secara umum, dengan orang-orang tertentu, atau secara peribadi.

Tip 3: Kenal pasti dan elakkan penipuan


Mengelak penipuan merupakan sesuatu yang mencabar bagi semua peringkat umur, jadi selalu ikuti tiga peraturan emas berikut: Jangan tergesa-gesa, Periksa, dan Berhenti! Jangan hantar.


Jangan tergesa-gesa. Para penipu seringkali cuba mendesak agar mereka dapat memintas naluri anda tentang situasi tersebut. Ambil masa anda dan tanyakan soalan untuk mengelakkan diri dari didesak masuk ke situasi yang lebih teruk.

Periksa. Lakukan kajian anda untuk memeriksa butiran yang anda terima. Jika anda menerima panggilan telefon yang tidak dijangkakan, batalkan panggilan tersebut. Kemudian cari bank, agensi atau organisasi yang kononnya telah memanggil anda dan hubungi mereka secara terus.

Berhenti! Jangan hantar. Tiada orang atau agensi yang berwibawa akan menuntut bayaran dengan segera. Seringkali, para penipu akan menyuruh anda membeli kad-kad hadiah - yang biasanya dibeli sebagai hadiah, bukannya sebagai bayaran - dan juga mengancam anda. Jadi jika anda rasakan bahawa bayaran tersebut mencurigakan, barangkali ia sememangnya mencurigakan.

Tip 4: Pastikan perbualan dalam talian positif dan penuh hormat


Ia sememangnya menggembirakan untuk melihat peluang-peluang yang telah ditawarkan oleh dunia dalam talian untuk warga emas berhubung dan bergaul dengan orang lain, sama ada menerusi media sosial atau pelbagai forum dalam talian yang lain. Namun begitu, terdapat kebarangkalian untuk interaksi tersebut bertukar negatif.


Jika sebuah perbualan bertukar negatif, elakkan dari terjerumus dalam kitaran membalas ulasan negatif tanpa henti. Sebaliknya, ubahkan mood dengan bersikap positif - dan apabila munculnya sesuatu yang menyinggung perasaan atau tidak sesuai, lapornya kepada pelantar tersebut untuk semakan.

Jika anda menemui situasi di mana orang lain diganggu ketika dalam talian, berusaha untuk menghubungi mereka untuk menawarkan sokongan anda.

Jika anda rasakan yang anda sendiri diganggu ketika dalam talian, cari ciri-ciri berikut di pelantar media sosial atau laman web perkongsian yang anda gunakan. Di antara pilihan yang boleh didapati adalah membisukan perbualan atau ulasan, menghalang pengguna yang menyebabkan anda berduka atau laporkan kejadian tersebut ke pelantar atau moderator pelantar media sosial.

Kami harap tip-tip yang telah kami kongsikan akan dapat menjadikan interaksi dan pergaulan anda di dalam talian lebih menyenangkan dan selamat buat anda.



Tip untuk seisi keluarga: Perbualan Bermakna bersama Warga Emas mengenai Keselamatan Dalam Talian

Kita semua boleh memainkan peranan untuk melindungi orang-orang yang tersayang. Dengan peralatan dan kesedaran yang betul, kita mampu mengajar dengan mudah cara-cara untuk membuat keputusan yang lebih tepat dalam talian - termasuklah untuk para warga emas. Dan walaupun perkongsian tip keselamatan dalam talian dapat membantu, ia lebih efektif untuk berbual mengenainya bersama mereka.

Oleh sebab itu, kami telah meminta bantuan pakar-pakar kesihatan mental, Dr. Annabel Chan dan Luke Bartlett yang tertumpu kepada keselamatan digital, untuk berkongsi tip-tip bagi cara paling efektif untuk mengadakan perbualan tersebut bersama warga emas. Berikut adalah cara untuk bermula:

  1. Kongsikan pengalaman anda. Tiada sesiapa yang suka berasa bodoh atau bagaikan seorang mangsa, yang boleh terjadi apabila seseorang baru menggunakan internet dan tidak biasa dengan konvensinya, atau tidak menyedari tentang jenis-jenis penipuan, skema, dan maklumat salah yang mungkin mereka temui dalam talian. Bersikap proaktif ketika berkongsi pengalaman anda sendiri sebagai pengguna baru internet, dan apa yang telah anda pelajari tentang  keselamatan dalam talian.


  1. Menunjuk lebih baik dari memberitahu. Periksa dengan mereka yang lebih berusia mengenai pengalaman mereka dengan teknologi, dan tawarkan diri untuk memimbing mereka melalui aplikasi atau proses yang mungkin tidak kenali atau membingungkan. Benarkan mereka untuk bereksperimen dalam talian dengan sokongan dan bantuan anda.


  1. Jadi sumber untuk mereka. Maklumat palsu yang disampaikan dengan kemas, atau diulang banyak kali, adalah lebih mudah untuk dipercayai - terutamanya bagi mereka yang tidak biasa menggunakan internet. Galakkan warga emas untuk memeriksa semula apa yang mereka baca dengan seseorang yang mereka percayai.


  1. Berikan mereka ruang dan masa untuk berkongsi kerisauan mereka. Apabila berlakunya sesuatu kejadian atau bencana besar, berita tergempar seringkali tidak lengkap atau mengelirukan dan boleh menyebabkan panik dikalangan pengguna yang dihujani dengan amaran dan pemberitahuan yang membimbangkan. Galakkan pengguna internet yang lebih tua untuk menunggu maklumat yang tepat sebelum memutuskan cara bertindak balas, dan beritahu mereka bahawa anda selalu ada untuk berbincang.


  1. Beritahu mereka bahawa ia bagus untuk berhenti seketika. Berkomunikasi dalam talian adalah berbeza dengan percakapan dalam kehidupan sebenar. Para pengguna lebih cepat naik angin dan sering bersikap tidak sopan, menjadikannya lebih mudah untuk bergaduh dan berdebat panjang. Sekiranya individu yang lebih tua dalam hidup anda kelihatan tertekan dengan interaksi dalam talian, galakkan mereka untuk berehat, dan ingatkan mereka bahawa mereka tidak perlu meneruskan sesebuah perbincangan jika ia tidak membantu.

  2. Teruskan berhubung dan berikan sokongan kepada mereka – dan tidak mengapa untuk tidak membincangkan topik-topik sensitif. Apabila seseorang yang kita sayangi menggemari teori konspirasi atau maklumat salah, ia akan menjadi sukar untuk bercakap dengan mereka. Walau bagaimanapun, pengasingan sosial dapat menjadikan seseorang lebih rentan dan lebih bergantung pada hubungan dalam talian mereka.


Itulah petua-petua untuk mengadakan perbincangan bermakna bersama warga emas mengenai keselamatan dalam talian mereka. Kami harap ia dapat memberi penerangan mengenai cabaran unik yang dihadapi oleh mereka semasa dalam talian dan membuka pintu kepada perbualan yang melindungi mereka ketika dalam talian.