Rabu, 24 Februari 2021

Penipuan Dalam Talian dan Pemangsa Di Antara Kebimbangan Keselamatan yang Dibincangkan di ‘Safer with Google’


Sempena ‘Safer Internet Month’, Google Malaysia menganjurkan Safer with Google, sebuah sesi meja bulat yang bertemakan keselamatan dalam talian, untuk membekalkan para ibu bapa dengan tip, peralatan, dan petua bagi memastikan keselamatan dalam talian anak mereka.


Panel ini dianggotai Ketua Pendidikan Keselamatan Dalam Talian Google, Lucian Teo dan Pengurus Kanan Bahagian Jangkauan dan Pembangunan Kapasiti CyberSecurity Malaysia, Lt Kol (Bersara) Mustaffa bin Ahmad.



Sebuah tinjauan yang dikendalikan baru-baru ini oleh kumpulan Trust Research di Google yang meliputi rantau Asia Pasifik, menunjukkan bahawa para ibu bapa dengan anak yang menghadiri sesi pembelajaran dalam talian lebih bimbang tentang keselamatan dalam talian anak mereka berbanding mereka dengan anak yang menghadiri sesi persekolahan secara bersemuka. Di Malaysia, 72% daripada para ibu bapa yang ditemu ramah dengan anak yang menghadiri sesi pembelajaran dalam talian menyatakan kebimbangan ini, lantaran pembelajaran dan pengajaran dari rumah beralih kepada dalam talian semasa pandemik Covid-19.


“Salah satu cerapan yang muncul dari kajian tersebut adalah bagaimana satu pertiga dari para ibu bapa tidak pernah membincangkan isu-isu keselamatan dalam talian bersama anak-anak mereka. Pada pendapat kami, ini merupakan sesuatu yang harus dilakukan dengan lebih kerap. Kita mungkin menganggap bahawa perkara ini perlu dididik oleh guru-guru atau orang lain, namun ia sebuah perbualan yang harus dilakukan oleh setiap ibu bapa bersama anak-anak mereka kerana semakin ramai dari mereka kini menggunakan internet di rumah,” kongsi Lucian.


Lucian juga menambah bahawa 38% peratus dari para ibu bapa di Malaysia telah menyenaraikan isu-isu berikut sebagai kebimbangan utama mereka: keselamatan maklumat anak yang merangkumi isu-isu seperti penipuan dan penggodaman akaun; anak-anak mereka menerima perhatian yang tidak diingini dari orang yang tidak kenali; dan anak-anak menonton kandungan dalam talian yang tidak sesuai.


Berkenaan cerapan yang merupakan satu kejutan buatnya, Lucian berkata bahawa 36% dari para ibu bapa di Malaysia meluahkan bahawa anak-anak mereka pernah menemui penipuan dalam tempoh setahun yang lepas - lebih dari sepertiga kanak-kanak telah menemui penipuan dalam talian dalam tahun yang lepas. Ini merangkumi penggodaman akaun, ditipu oleh seseorang atau dipaksa oleh seseorang untuk berkongsi maklumat seperti butiran kad kredit. Selain itu, 52% dari para ibu bapa yang ditinjau memikirkan bahawa anak-anak mereka berkongsi secara berlebihan dalam talian.


“Terdapat tiga cara utama untuk para ibu bapa menangani isu-isu tersebut. Pertama, lindungi identiti digital mereka dengan membantu mereka mencipta kata laluan yang kukuh di pelantar yang mempunyai reputasi yang selamat untuk pengguna. Kedua, ketahui siapa yang berbual dengan mereka. Pengasingan sosial boleh menjadi cabaran yang sukar dihadapi semasa Covid-19 dan anak-anak kita berhubung bersama kawan-kawan mereka melalui aplikasi pesanan dalam talian atau semasa bermain permainan dalam talian. Adalah penting untuk kita sedar siapa yang berinteraksi dengan mereka dalam talian.


“Dan ketiga, berikan kepada mereka kandungan yang sesuai dengan umur. Kami mempelajari bahawa 62% daripada para ibu bapa di Malaysia yang ditinjau menggunakan ciri-ciri keselamatan keluarga untuk membantu mengawal anak-anak mereka daripada kandungan yang mungkin kurang sesuai untuk anak mereka - seperti menggunakan SafeSearch dan Family Link di Google dan kawalan ibu bapa di YouTube Kids,” tambah Lucian.




Lt Kol Mustaffa berkongsi antara cabaran-cabaran paling besar yang dihadapi kanak-kanak Malaysia sambil berkongsi inisiatif-inisiatif yang dikelolakan CyberSecurity Malaysia bagi membantu para ibu bapa dalam zaman keibupabaan digital ini.


Salah satu masalah yang diperhatikan di kalangan kanak-kanak remaja atau yang lebih berusia adalah penggunaan internet yang tidak diselia, yang mendorong kepada penyertaan mereka dalam perbincangan dan forum yang tidak sesuai untuk umur mereka. Ini akan mendorong mereka untuk memikirkan hal-hal seperti persahabatan, perhubungan, dan juga perhubungan seksual, yang telah juga mendorong kepada berlakunya penganiayaan fizikal selepas mereka berkongsi maklumat peribadi atau berjumpa secara bersemuka dan mempertaruhkan keselamatan mereka dan keluarga mereka,” kongsi Lt Kol. Mustaffa.


“Risiko lain adalah peningkatan purata waktu skrin bagi kanak-kanak ketika pandemik ini. Kami pernah menyaksikan purata sebanyak 5 - 8 jam sehari namun ia telah meningkat sebanyak 12 jam sehari. Kebergantungan yang melampau pada peranti mereka boleh mendorong kepada tingkah laku antisosial dan kanak-kanak akan juga tidak dapat berinteraksi dengan baik dalam dunia sebenar,” tambah beliau.


Bagi membantu mengurangkan risiko-risiko tersebut, CyberSecurity Malaysia telah melancarkan inisiatif CyberSAFE yang mengetengahkan isu-isu sosial dan teknologi yang dialami pengguna Malaysia, berkongsi amalan-amalan terbaik dan juga panduan untuk menggunakan internet secara selamat dan positif. Mereka juga menganjurkan CyberSAFE Awareness Talks (CSAT) yang merangkumi pelbagai topik-topik khas yang berkaitan.


Lt Kol Mustaffa juga berkongsi bagaimana ibu bapa boleh menggalakkan anak mereka untuk membentuk penilaian mereka sendiri mengenai apa yang mungkin boleh menjadi ancaman dalam talian. Antaranya adalah mendidik anak-anak mengenai pelbagai jenis ancaman dalam talian dan menunjukkan contoh teladan yang baik sebagai seorang pengguna internet yang bertanggungjawab.


Sesi ini diakhiri dengan tip dan nasihat daripada para peserta panel untuk para ibu bapa bagi membantu anak mereka dengan literasi media.


Lucian berkongsi tentang program Be Internet Awesome oleh Google yang para ibu bapa boleh perkenalkan kepada anak-anak bagi membantu mereka mempelajari bagaimana untuk berkomunikasi secara bertanggungjawab dan mengesahkan sumber-sumber dalam talian. Salah satu sumber berguna yang boleh diakses melalui laman web program tersebut merupakan sebuah permainan interaktif yang dipanggil Interland agar kanak-kanak dapat mempelajari tentang keselamatan dalam talian dalam cara yang menyeronokkan.


Lt Kol Mustaffa pula berkongsi bahawa, selain celik media, para ibu bapa perlu juga memupuk kefasihan digital di kalangan anak-anak mereka. Ini dapat dikecapi dengan mendidik anak-anak untuk bukan sahaja mengetahui tentang keselamatan internet, tetapi juga memainkan peranan dalam membentuk ruang digital yang bermakna dan positif ketika berinteraksi dalam talian.



Hari Keselamatan Internet disambut serata dunia dan kebiasaannya pada suatu tarikh di bulan Februari, tetapi Google mendedikasikan tempoh sebulan ke arah mempromosikan sebuah internet yang selamat untuk semua. Untuk tip-tip keselamatan bagi semua, ikuti laman rasmi Twitter Google Malaysia sepanjang bulan ini. Ibu bapa yang mempunyai anak-anak remaja boleh melihat sumber-sumber Google dan ASEAN Foundation menerusi ASEAN Online Safety Academy yang direka untuk menyajikan suatu pengalaman dalam talian yang selamat dan positif untuk belia di seluruh rantau ini.


Lawati laman rasmi CyberSecurity Malaysia untuk statistik berguna dan maklumat tentang ancaman dan isu-isu siber yang membelenggu warga Malaysia.


Untuk menonton ulang tayang penuh siaran langsung Safer with Google di YouTube, klik di sini.