Isnin, 8 Mac 2021

Pelancaran ‘Google.org Impact Challenge Women & Girls’: komitmen kami buat wanita dan kanak-kanak perempuan di seluruh dunia

Apabila para wanita dan kanak-kanak perempuan memiliki sumber dan peluang untuk mengubah potensi mereka menjadi kuasa, ia dapat mengubah lintasan hidup mereka dan memperkasakan seluruh masyarakat. Tetapi walaupun kita telah mencapai tahap tertentu dalam membantu para wanita dan kanak-kanak perempuan terus maju di seluruh dunia, pencapaian tersebut sesuatu yang rapuh, belum selesai, dan diancam dalam cara yang unik oleh pandemik.

Untuk menangani masalah ini, ‘Google.org Impact Challenge for Women and Girls’ peringkat global dilancarkan hari ini. Melalui inisiatif ini, Google.org akan menawarkan dana keseluruhan berjumlah $25 juta kepada organisasi bukan keuntungan dan organisasi sosial di Malaysia dan seluruh dunia yang sedang berusaha untuk memajukan pemerkasaan ekonomi wanita dan kanak-kanak perempuan, dan mewujudkan jalan untuk mereka menuju kemakmuran. Penerima ‘Impact Challenge’ yang terpilih juga akan menerima bimbingan dari para Googler, Ad Grants, dan sokongan tambahan untuk menghidupkan idea mereka. Cabaran ini diumumkan awal hari ini dari India oleh Ketua Pegawai Eksekutif Google, Sundar Pichai dan Presiden Google.org, Jacquelline Fuller.



Realiti membimbangkan yang memerlukan tindakan tegas

Sebelum COVID-19, penyertaan para wanita dalam pasaran buruh sudah 26% lebih rendah daripada golongan lelaki. Sehingga September 2020, pekerjaan wanita disasarkan menjadi 19% lebih berisiko berbanding lelaki, dan dianggarkan 11 juta lebih ramai wanita daripada lelaki akan hidup dalam kemiskinan pada tahun 2030. Wanita juga menanggung jumlah pekerjaan rumah tangga tidak berbayar yang tidak seimbang, dan dianggarkan 20 juta kanak-kanak perempuan di seluruh dunia berisiko untuk tidak kembali ke sekolah. Pemotongan pekerjaan, kehilangan pendapatan, dan kurangnya akses ke pendidikan akan mencegah kemajuan ekonomi wanita dan kanak-kanak perempuan, terutamanya yang berasal dari masyarakat yang tidak dilindungi, untuk generasi-generasi yang akan datang.

Di APAC, para wanita dan lelaki memulakan perniagaan disebabkan keperluan pada kadar yang hampir sama, tetapi terdapat jurang jantina yang ketara di beberapa negara, walaupun ia tidak selalu ke arah yang sama. Di Indonesia dan Malaysia, lebih daripada 80% usahawan wanita didorong oleh peluang, sementara usahawan lelaki pula hampir dua kali lebih berkemungkinan untuk didorong oleh keperluan.

Walaupun begitu, para wanita mempunyai peluang terhad - untuk belajar dari pengalaman orang lain, mengembangkan hubungan perniagaan yang berguna, dan mendapatkan maklumat pasaran - kerana akses ke rangkaian perniagaan yang selalunya ketinggalan berbanding lelaki. Satu kajian menunjukkan bahawa pemilik perniagaan wanita di Malaysia, Filipina, dan Thailand yang berinteraksi dengan persatuan perniagaan adalah 24% lebih cenderung melaporkan rancangan untuk meningkatkan skop perniagaan mereka dalam 3 tahun, tetapi lebih dari satu pertiga daripada pemilik perniagaan wanita di negara-negara tersebut sama sekali tidak pernah berinteraksi dengan persatuan ini (berbanding dengan 26% lelaki yang tidak pernah melakukannya).

Usahawan wanita juga menghadapi diskriminasi daripada pelanggan dan bakal rakan niaga lelaki yang lebih suka berhubung dengan lelaki. Di Malaysia, ia mungkin boleh diterima secara sosial untuk seorang wanita mendirikan perniagaan, tetapi mereka menghadapi diskriminasi ketika menjalankan perniagaan yang berurusan dengan pembekal dan pelanggan lelaki. Atas sebab ini, ahli keluarga lelaki sering mengambil alih perniagaan wanita setelah ia berkembang sehingga ke tahap tertentu.



Sertai dengan idea anda

Kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan bahawa generasi-generasi wanita dan kanak-kanak perempuan dari semua lapisan masyarakat dapat hidup dalam sebuah dunia di mana mereka dilayan sama rata dan mencapai potensi mereka yang sepenuhnya. Sepanjang lima tahun yang lalu, Google.org telah memberikan lebih daripada $55 juta kepada organisasi bukan keuntungan yang menyokong ekuiti jantina dan akses kepada peluang untuk para wanita dan kanak-kanak perempuan di seluruh dunia - ini termasuklah pemberian kami baru-baru ini sebanyak $3.3 juta kepada The Asia Foundation untuk melengkapkan sehingga 120,000 wanita dari komuniti yang kurang terlindung di seluruh Malaysia dan Asia Tenggara dengan kemahiran dan alat digital kritikal melalui inisiatif Go Digital ASEAN untuk memperluaskan penyertaan dalam ekonomi digital, serta Biasiswa Generasi Google untuk para wanita dalam bidang sains komputer yang akan ditutup pada 29 Mac, 2021. ‘Impact Challenge’ baru ini terus membina di atas usaha-usaha kami yang sebelum ini.

Sebuah panel pakar global yang terdiri daripada pemimpin wanita dari lebih dari 15 negara akan memberi nasihat mengenai pemilihan idea projek yang paling berani dan bernas. Mereka dilengkapi dengan kepakaran yang mendalam dalam dasar awam global, advokasi, penyelidikan, perniagaan, teknologi dan banyak lagi. Beberapa nama terkenal di panel tersebut termasuk Phumzile Mlambo-Ngcuka, Pengarah Eksekutif Wanita PBB; Amanda Gorman, Pemenang Penyair Pemuda Nasional AS Pertama; Shakira, Artis Global dan Filantropis, untuk menamakan beberapa.

Individu dan organisasi yang layak beserta idea berani yang dapat mengubah peluang ekonomi untuk para wanita dan kanak-kanak perempuan boleh memohon atau mempelajari lebih lanjut di g.co/womenandgirlschallenge sehingga Sabtu, 10 April, 7:59 pagi waktu Malaysia.

Kami berharap agar sokongan ini dapat mendorong para inovator sosial di Malaysia dan di seluruh dunia untuk berfikir secara besar-besaran tentang cara-cara mereka dapat menggunakan teknologi untuk membantu wanita dan kanak-kanak perempuan untuk terus berkembang maju.