Jumaat, 9 April 2021

AAC Dream, Cikidot Channel dan Kupi Kupi GO berkongsi kisah perjalanan mereka menuju 1 juta pelanggan

 ‘Generasi YouTube: Sembang Sejuta’ mengetengahkan saluran-saluran yang mencabar batasan kreativiti, peka akan trend semasa, dan menjaga komuniti pengikut mereka

Tahun 2020 telah memperkenalkan kita kepada pelbagai cabaran yang tidak dijangka, dan ramai yang beralih ke YouTube - sama ada pencipta mahupun penonton - untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa dan mencari cara baru dan kreatif untuk berhubung sesama ahli komuniti setempat - sama ada dalam bentuk video yang berkaitan dengan makanan, senaman, atau hiburan - ataupun untuk mempelajari kemahiran baru bagi menjana pendapatan.

Dalam sesi maya Generasi YouTube (Gen YT) bertemakan "Sembang Sejuta", para pencipta kandungan YouTube Afiq Aiman dari AAC Dream, Zarol Zarif, Ecah Daud, dan Amri Aziz dari Cikidot Channel, serta Ekram Mahat dari Kupi Kupi GO berkongsi perjalanan YouTube masing-masing dan pandangan mengenai pencapaian mereka dalam meraih sejuta pelanggan di YouTube.

Afiq Aiman, seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda di UiTM dalam jurusan teknologi animasi kreatif, dikenali dengan kandungan animasi 3D, imej janaan komputer (CGI) dan kesan visual yang diilhamkannya dari permainan dan filem popular yang viral. Dia mengasah bakatnya menerusi pembelajaran kendiri, dan memetik juru-juru animator global seperti Corridor, Shutter Authority, Rate VFX serta bakat-bakat tempatan seperti Sofyank dan VS GAG sebagai inspirasi yang telah membantunya di sepanjang perjalanan.

Saluran Afiq, AAC Dream, terkenal dengan gabungan penceritaan kreatif, kecanggihan teknikal, dan trend semasa yang sempurna. Sama ada ia watak tempatan atau adiwira yang popular, Afiq memilih kandungan tersohor kini dan memberi nafas baru dengan membayangkan mereka dalam senario yang berbeza - bagaimana rupanya jika Titan Colossal diletakkan dalam treler ‘Godzilla vs Kong’? Atau bagaimana pula permainan Temple Run yang mengasyikkan itu akan kelihatan dalam dunia nyata?

"Terdapat begitu banyak kandungan yang sama di luar sana - anda benar-benar perlu memikirkan cara untuk pergi mengatasinya dan pergi lebih jauh agar kandungan anda tidak tenggelam dalam 'kesamaan'. Permainan dalam talian berbilang pemain 'Among Us' misalnya, menjadi sebuah ‘hit’ pada tahun lalu dan ramai yang membuat kandungan di sekitarnya - apa yang saya buat adalah animasi 3D berkenaan permainan popular ini dan kerana tidak ada yang benar-benar melakukannya, ia tidak mengambil masa yang lama sebelum kandungan saya dikenali ramai, ”kongsi Afiq.


Dengan 1.6 juta pelanggan buat masa ini, kesan visual dan CGI luar biasa ciptaan Afiq dinikmati sejumlah besar pengikut antarabangsa dari negara-negara seperti India, Indonesia, Vietnam, dan Mexico.

Juga bercakap mengenai mencabar batasan kreativiti adalah sekumpulan pencipta sepupu bertiga Zarol Zarif, Ecah Daud dan Amri Aziz dari Cikidot Channel. Walaupun mereka berasal dari genre yang sama sekali berbeza, mereka juga mengaitkan sebahagian besar kejayaan mereka kepada pemilihan trend semasa dan benar-benar mengembangkannya - semakin unik, mencabar, atau keterlaluan, semakin ramai peminat yang menyukainya.

"Anda harus meletakkan sesuatu di luar sana yang tidak akan difikirkan oleh orang lain - anda harus menjadi orang yang harus berfikir lebih awal dan memperkenalkan idea-idea baru ini. Kami cuba mengikuti trend - contohnya ketika orang-orang menyukai mi Samyang, kami juga mengikuti trend itu, tetapi kami melakukannya dengan menggandakan tahap kepedasan sebanyak tiga kali sambil memakannya di hadapan penonton kami. Saya rasa keberanian untuk bereksperimen adalah apa yang membuat penonton kami ternanti-nanti apa yang mungkin kita lakukan seterusnya,” kata trio itu.

Secara bersendirian, masing-masing mempunyai pengikut mereka sendiri. Zarol misalnya merupakan bekas peserta Akademi Fantasia manakala Amri pula telah menimba pengalaman sebagai pengacara dan pelakon di kaca TV. Tetapi ketiga-tiga mereka menyatakan bahawa walaupun artis dan personaliti terkenal mungkin memiliki kelebihan jika memilih untuk berkarya di YouTube, ia tidak menjamin kejayaan buat mereka. Mereka harus berfikir seperti seorang pencipta kandungan, dan mengingati bahawa para penonton YouTube menghargai konsistensi dan kandungan yang membolehkan mereka berhubung rapat bersama para pencipta.


Para penonton Cikidot Channel terdiri daripada golongan muda, jadi mereka selalu berusaha untuk mengenal pasti cabaran-cabaran baru untuk menghiburkan penonton mereka. Ini berserta dengan kandungan mesra keluarga mereka telah mengumpulkan mereka lebih daripada 1.01 juta pelanggan setakat ini.

Juga di dalam panel tersebut adalah pencipta Dusun Sabah, Ekram Mahat dari saluran Kupi Kupi GO yang strateginya adalah untuk memberi tumpuan kepada komuniti pengikutnya. Sama ada dengan memperhatikan reaksi penonton terhadap kandungannya atau melakukan pemberian hadiah, Ekram telah mewujudkan identiti unik bagi pengikutnya (dikenali sebagai GOER) untuk membantu memberi mereka sebuah komuniti milik mereka sendiri.

"Bagi saya, kuncinya adalah untuk memberi tumpuan kepada komuniti anda - kerana komuniti anda akan ada untuk anda dan menyokong anda walaupun anda berpindah ke pelbagai platform lain. Ketika saya menghadapi masalah untuk diterima di platform arus perdana pada masa lalu, komuniti saya mempertahankan saya daripada komen negatif. Ini bukan sesuatu yang harus anda abaikan dan merupakan bahagian kritikal YouTube," Ekram berkongsi.


Kupi Kupi GO, yang kini mempunyai 1.08 juta pelanggan, telah melalui beberapa proses penambahbaikan sebelum ia berjaya seperti sekarang.

Saluran hiburan berinformasi Ekram meneroka perkara pelik dan luar biasa. Apa yang mendorongnya untuk mendirikan saluran ini beberapa tahun yang lalu adalah minat semula jadinya dalam bidang keusahawanan digital. Setelah memerhatikan bagaimana pencipta kandungan di Amerika Syarikat mampu menjana pendapatan dari platform ini, dia melihat peluang untuk mencubanya sendiri. Dia mengambil masa dua tahun sebelum dia menyaksikan sendiri aliran pendapatan yang masuk, tetapi dia gembira melihat usahanya membuahkan hasil.

Para pencipta juga ditanya mengenai perkara yang telah mereka lakukan untuk terus berkarya dan memastikan kandungan mereka bagus untuk pertumbuhan pelanggan. Bagi Afiq, ia berkait dengan penghasilan elemen-elemen video seperti memberikan judul video yang bersesuaian dengan animasi dan membuat lakaran kecil yang mampu menarik minat penonton baru.

Selain meningkatkan kualiti kandungan mereka, Cikidot Channel berkongsi bahawa lebih banyak kolaborasi bersama personaliti YouTube lain dan juga artis-artis adalah membantu. Penampilan mereka di saluran dan platform lain memberi mereka pengiktirafan yang lebih tinggi di kalangan khalayak yang lebih luas dan menarik minat terhadap saluran mereka.

Bagi Ekram, pendekatannya adalah untuk terus memberi tumpuan kepada kandungan dan komunitinya untuk menarik perhatian khalayak yang relevan. Walaupun pada peringkat permulaan, dia telah menghadapi cabaran untuk diterima oleh pasaran arus perdana, jumlah penontonnya sekarang adalah sangat lokal, dengan 70% penontonnya dari Semenanjung Malaysia.


Kejayaan ketiga-tiga saluran ini bukannya tanpa cabaran, tetapi mereka cepat belajar, menyesuaikan diri dan bertindak balas terhadap apa yang tidak berfungsi untuk mereka. Layari saluran mereka untuk melihat ciptaan terbaru mereka: AAC Dream, Cikidot Channel, dan Kupi Kupi GO.