Khamis, 13 Mei 2021

Dapatkan pemberitahuan apabila nama perniagaan anda muncul di web

Syarikat-syarikat besar sering mempunyai seseorang yang memantau berita mengenai industri mereka, pesaing, khalayak sasaran atau maklum balas pelanggan untuk menghasilkan laporan cerapan. Bagi perniagaan kecil, ia sukar untuk mencari masa untuk berbuat sedemikian. Bahkan untuk membaca laporan trend terkemuka dan sumber berita industri utama boleh menjadi tugas yang memakan masa.

Artikel ini berkongsi lima cara untuk mengikuti berita yang anda perlukan dengan Google Alerts, alat percuma yang dapat menyampaikan cerapan yang anda mahukan, terus ke e-mel anda. Anda boleh mendaftar untuk menerima e-mel setiap kali topik yang menarik minat perniagaan anda muncul di Carian Google. Anda boleh memilih untuk mendapatkan pemberitahuan sekali sehari, atau seminggu sekali apabila kandungan baru dijumpai.

Pilih kekerapan untuk mendapatkan pemberitahuan.

Dapatkan pemberitahuan apabila orang ramai berkata-kata tentang perniagaan anda

Ia penting untuk mengetahui apa yang orang katakan mengenai anda dalam talian. Anda boleh melakukan carian di Google untuk perniagaan anda setiap hari, termasuk pada hujung minggu dan hari cuti. Atau anda boleh meluangkan hanya beberapa minit untuk menyiapkan Google Alerts dan mendapatkan hasil secara automatik setiap hari.

Contohnya, jika anda memiliki kedai haiwan peliharaan, Google Alerts mungkin menunjukkan kepada anda bahawa terdapat blogger yang memuji kedai anda. Setelah mengucapkan terima kasih, anda boleh meneroka cara untuk berkolaborasi dengan blogger tersebut mengenai promosi seperti pemberian hadiah atau acara untuk pembaca blog. Mengetahui bahawa influencer ini adalah peminat kedai anda boleh menjadi strategi pemasaran anda.

Ikuti perbincangan mengenai produk atau perkhidmatan anda

Apabila anda mempunyai produk terlaris atau perkhidmatan premium, gunakan Google Alerts untuk melihat sama ada produk anda disebut dalam talian. Anda boleh menetapkan seberapa banyak pemberitahuan yang anda mahukan, dan anda akan terus mengetahui apa sahaja yang muncul dalam Carian Google.

Sekiranya anda memiliki kedai haiwan peliharaan, anda mungkin ingin menerima pemberitahuan untuk mainan terlaris anda, "Scratch Scratch". Apabila pelatih terkenal mengesyorkan mainan itu, anda boleh menyiarkan ulasan beliau di kedai anda, di laman web anda, di media sosial dan dalam iklan. Anda juga boleh menghubungi pelatih dan meminta beliau menambahkan pautan ke platform e-dagang anda supaya orang ramai dapat membelinya dari anda semasa mereka membaca blog beliau.

Ikuti perkembangan terkini mengenai industri anda

Tetapkan Google Alerts untuk kata kunci industri umum supaya anda boleh mengikuti berita terkini. Anda boleh menetapkan pemberitahuan untuk spesifikasi yang anda mahukan. Anda juga dapat menapis negara, bahasa, dan sumber serta menambah kata kunci tambahan untuk memperhalusi hasil anda seperti yang anda lakukan di Carian Google.

Sebagai contoh, jika anda ingin mendapatkan berita mengenai perniagaan kedai haiwan peliharaan tempatan, anda boleh membuat pemberitahuan untuk "mainan kucing Kota Kinabalu". Dengan kata kunci tersebut anda akan belajar bila-bila masa seseorang memasukkan kata-kata itu dalam siaran mereka di dalam talian.

Pilih sama ada anda mahu memantau berita, blog, video, atau buku.


Lihat apa yang dilakukan oleh pelanggan perniagaan anda

Sekiranya perniagaan anda bekerjasama dengan perniagaan lain, anda boleh menetapkan pemberitahuan yang memberitahu anda apabila salah satu daripadanya muncul di berita. Anda mungkin menetapkan satu untuk nama syarikat, satu untuk nama kakitangan utama seperti CEO, dan juga untuk nama jenama produk atau perkhidmatan mereka. Mengetahui apa yang baru dalam perniagaan mereka dapat membantu anda memberikan mereka perkhidmatan dan tawaran yang bersesuaian.

Bayangkan kedai haiwan kesayangan anda mempunyai klinik veterinar tempatan yang membeli makanan dan mainan kucing dari anda. Kerana mereka adalah pelanggan utama, anda mungkin ingin mengetahui sekiranya mereka memenangi anugerah atau memperluas operasi mereka.

Cara menetapkan Google Alerts dalam beberapa minit

Mula menggunakan Google Alerts dengan langkah-langkah berikut:


  1. Layari google.com/alerts

  2. Lakukan carian sampelnuntuk pemberitahuan yang anda inginkan untuk melihat pratonton hasil yang anda akan dapat 

  3. Klik "Show Options" untuk memilih sumber, bahasa, negeri, sama ada anda mahukan semua hasil atau hanya yang terbaik, dan alamat e-mel di mana anda mahu hasilnya disampaikan 

  4. Klik "Create Alert" dan anda sudah siap!


Teliti hasil yang anda perolehi buat beberapa kali pertama. Sekiranya anda tidak mendapat apa yang anda inginkan, buat perubahan pada tetapan atau topik carian anda untuk meningkatkan kegunaannya. Anda boleh membuat seberapa banyak penyesuaian yang anda perlukan sehingga anda dapat hasil yang betul.


Untuk mendapatkan lebih banyak bantuan, berikut adalah artikel yang berguna: Cara Menggunakan Google Alerts


Google Alerts adalah alat yang berguna untuk mendapatkan berita dan maklumat perniagaan percuma yang dihantar terus kepada e-mel anda. Ia membantu anda mengikuti hasil terkini untuk carian mengenai syarikat, pelanggan, pesaing, industri, dan produk atau perkhidmatan anda. Anda boleh menggunakan pengetahuan itu dengan pelbagai cara, dari merancang promosi yang sesuai untuk pelanggan anda hingga menyiarkan berita terkini mengenai produk dengan ulasan baik di akaun media sosial anda. Semakin banyak yang anda tahu, semakin baik anda menjalankan perniagaan anda.