Disebabkan Malaysia dan negara-negara jiran lain sedang bergelut dengan lonjakan kes COVID-19, Google hari ini telah mengumumkan pemberian dana geran baharu dan sokongan lain berjumlah USD$7.5 juta bagi membantu meredakan krisis pandemik yang sedang berlaku.
Sebagai sebahagian daripada komitmen baharu ini, Google.org, cabang filantropi Google, membekalkan geran berjumlah USD1.5 juta kepada UNICEF untuk menyokong usaha tindak balas COVID-19 di lima negara termasuk Malaysia, Thailand, Vietnam, Filipina dan Pakistan. UNICEF juga akan meneruskan sokongan kepada kerajaan dan komuniti untuk menyekat penyebaran virus sekaligus meminimumkan tahap kesakitan dan kematian, termasuk dengan meningkatkan tahap jangkitan dan kematian untuk menghadapi kemungkinan gelombang baharu COVID-19 pada masa hadapan.
Mengumumkan komitmen baharu ini, Marc Woo, Pengarah Urusan Google Malaysia, berkata, “Lonjakan kes COVID-19 telah menyebabkan tekanan yang besar terhadap sistem penjagaan kesihatan kita, dan geran Google.org kepada UNICEF ini bertujuan untuk memperkukuh sokongan kami kepada Malaysia dalam masa yang penting ini. Kami juga akan terus memberi tumpuan untuk memastikan akses kepada maklumat yang tepat pada masanya sentiasa ada, serta peralatan untuk kekal termaklum, terhubung, dan selamat bagi semua warga Malaysia tersedia”
“Kami amat berterima kasih atas sumbangan Google.org kepada UNICEF sambil kami meneruskan tindak balas tanpa lelah terhadap pandemik global ini dengan memberikan akses vaksin yang adil serta perkhidmatan kepada populasi yang terpilih yang bertumpu kepada golongan yang paling berisiko,” kata Karin Hulshof, Pengarah Rantau, Asia Timur dan Pasifik, UNICEF. “Hanya sebuah tindak balas sedunia sahaja yang benar-benar dapat melindungi dan memastikan masa hadapan yang selamat bagi setiap kanak-kanak, dan komuniti yang didiami mereka - dan kami akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan kami dan bergantung pada kepakaran, penyelesaian inovatif dan dana yang fleksibel mereka untuk membantu mengurangkan kesan di rantau ini dan seterusnya,” tambahnya.
Selain daripada memberi geran kepada UNICEF, Google.org juga akan memberi USD$1 juta tambahan kepada Persekutuan Palang Merah Antarabangsa dan Persatuan Bulan Sabit Merah (IFRC) untuk memenuhi keperluan bekalan oksigen dan peralatan perubatan yang mendesak di Indonesia. Tambahan lagi, Google.org akan membekalkan Geran Pengiklanan berjumlah USD$5 juta kepada agensi-agensi kerajaan tempatan dan organisasi di serata Asia Tenggara, termasuk Malaysia, untuk menjalankan kempen-kempen informasi kesihatan awam secara percuma. Sejak tahun lalu, Google telah membekalkan Geran Pengiklanan berjumlah lebih daripada USD$27 juta untuk menyokong kerajaan-kerajaan tempatan termasuk Pertubuhan Kesihatan Dunia yang telah menyampaikan lebih daripada 343 juta pengumuman perkhidmatan awam (PSA) untuk menjangkau khalayak dengan mesej tentang cara untuk kekal selamat dan fakta mengenai vaksin.