Khamis, 10 Februari 2022

5 Cara Google Melindungi Anda Dari Penipuan


Peristiwa-peristiwa dari tahun-tahun kebelakangan ini telah mengubah cara kita bekerja, belajar dan berinteraksi pada kadar yang cepat tatkala kita menyesuaikan diri untuk melakukan pelbagai perkara secara dalam talian. Walaupun ini telah mewujudkan kebimbangan dan risiko keselamatan tambahan, trend Year in Search 2021 kami menunjukkan bahawa ramai yang memikirkan tentang keselamatan dalam talian lebih dari sebelumnya, terutamanya mengenai cara untuk melindungi diri dari penipuan yang semakin berleluasa.

Hari ini, kami berkongsikan lima cara Google melindungi anda dari penipuan.

1. Penapis spam & pancingan data automatik Gmail menyekat 99.9 peratus e-mel yang mencurigakan atau berbahaya sebelum mereka sampai kepada anda

Kebanyakan serangan perisian hasad (malware dan pancingan data (phishing) bermula dengan e-mel. Gmail melindungi anda dari spam, pancingan data dan perisian hasad dengan lebih baik berbanding perkhidmatan e-mel lain.

Menggunakan pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan (KB), Gmail menganalisis corak dalam berbilion mesej untuk mengenal pasti ciri-ciri e-mel yang ditandakan sebagai spam, dan menggunakan penanda tersebut untuk menyekat 99.9% daripada e-mel yang mencurigakan atau berbahaya sebelum mereka sampai kepada anda. Malah, keupayaan penapisan spam KB kami menghalang hampir 10 juta e-mel spam setiap minit.

Tahukah anda? Pada tahun 2020, semasa kemuncak pandemik, kami melihat 18 juta perisian hasad dan e-mel pancingan data setiap hari yang berkaitan dengan COVID-19. Ini adalah tambahan kepada lebih daripada 240 juta mesej spam harian yang berkaitan dengan COVID.

2. Kami menjadikan Google cara yang lebih selamat untuk membuat carian dengan melindungi anda dari mendarat di laman web yang penuh spam dan penipuan

Pada tahun 2020, kami mengesan 40 bilion halaman spam setiap hari - termasuk laman web yang telah digodam atau dicipta bertujuan untuk mencuri maklumat peribadi anda - dan menyekat mereka daripada muncul dalam hasil carian anda.

Selain spam web tradisional, kami telah memperluaskan usaha kami untuk melindungi anda daripada jenis penyalahgunaan lain seperti penipuan. Sejak 2018, kami telah dapat melindungi ratusan juta carian Google setiap tahun dari berakhir di laman web yang cuba menipu anda dengan pemadatan kata kunci, logo jenama yang ditiru mereka atau nombor telefon penipuan yang mereka mahu anda dial.


Tonton video ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai spam web dan bagaimana Google menanganinya.


3. Kami memberi amaran kepada anda tentang laman web yang tidak selamat

Kadang-kala, dalam kegembiraan mempelajari lebih lanjut mengenai sesuatu topik, anda mungkin mengklik pada pautan yang membawa anda kepada tapak berbahaya tanpa menyedarinya. Tetapi dengan pelayaran Google Safe Browsing, kami dapat melindungi anda.

Buat masa ini, Safe Browsing melindungi lebih daripada empat bilion peranti. Ia memaparkan mesej amaran yang membolehkan anda mengetahui bahawa laman web yang anda cuba akses mungkin tidak selamat, melindungi anda serta maklumat peribadi anda dari kemungkinan perisian hasad dan pancingan data. Kami juga memberitahu pemilik laman web apabila laman web mereka telah digodam dan memberikan maklumat untuk membantu mereka menyelesaikan masalah tersebut.

4. Kami melindungi anda dari iklan yang tidak bagus dan mengelirukan

Menyediakan anda akses kepada maklumat yang berkualiti tinggi dan boleh dipercayai di Search juga meliputi iklan yang anda lihat semasa mencari produk, perkhidmatan dan kandungan. Untuk memastikan iklan tersebut bukan suatu penipuan atau disalahgunakan, kami sentiasa membangun dan menguatkuasakan dasar yang mengutamakan para pengguna.

Pada tahun 2020, kami menyekat atau memadam kira-kira 3.1 bilion iklan yang melanggar dasar kami dan menyekat tambahan 6.4 bilion iklan, di seluruh platform kami termasuk Search.

Tahukah anda? Kami telah menyekat lebih daripada 99 juta iklan berkaitan Covid daripada dipapar sepanjang tahun 2020, termasuk iklan-iklan yang mengiklankan ubat ajaib, pelitup muka N95 disebabkan kekurangan bekalan, dan dos vaksin palsu.

5. Kami melindungi peranti Android, aplikasi dan data anda dengan Google Play Protect

Google Play Protect dibina ke dalam peranti Android anda dan berfungsi secara berterusan di belakang tabir untuk memastikan peranti, data dan aplikasi anda selamat. Setiap hari, kami secara automatik mengimbas aplikasi pada telefon-telefon Android dan bekerja untuk mengelakkan aplikasi berbahaya daripada mencapai mereka, menjadikan Google Play Protect perkhidmatan perlindungan ancaman mudah alih yang paling banyak digunakan di dunia.