Aplikasi mudah alih merupakan nadi kehidupan seharian kita. Pada masa ini, lebih daripada 90% aplikasi di Google Play adalah percuma, menyediakan akses kepada kandungan dan perkhidmatan yang berharga kepada berbilion pengguna. Pengiklanan digital memainkan peranan penting dalam membolehkan perkara ini. Tetapi untuk memastikan ekosistem aplikasi yang sihat - memberi manfaat kepada pengguna, pemaju, dan perniagaan - industri ini harus mengubah cara pengiklanan digital berfungsi untuk meningkatkan privasi pengguna. Itulah sebabnya kami pada mulanya membangunkan ID pengiklanan untuk memberi para pengguna lebih banyak kawalan. Tahun lalu, kami memperkenalkan penambahbaikan kepada kawalan tersebut, tetapi kami percaya ia penting untuk pergi lebih jauh.
Khamis, 17 Februari 2022
Memperkenalkan Privacy Sandbox di Android
Hari ini, kami mengumumkan inisiatif berbilang tahun untuk membina Privacy Sandbox di Android, dengan matlamat untuk memperkenalkan penyelesaian pengiklanan baru yang berfungsi yang lebih peribadi. Khususnya, penyelesaian ini akan mengehadkan perkongsian data pengguna bersama pihak ketiga dan beroperasi tanpa pengenal silang-aplikasi, termasuk ID pengiklanan. Kami juga sedang meneroka teknologi yang mengurangkan kebarangkalian data dikumpul secara rahsia, termasuk cara yang lebih selamat untuk mengintegrasikan aplikasi dan kit pembangunan perisian (SDK) pengiklanan.
Privacy Sandbox di Android dibina berasaskan usaha kami yang sedia ada di web, menyediakan laluan yang jelas ke hadapan untuk meningkatkan privasi pengguna tanpa menjejaskan akses kepada kandungan dan perkhidmatan percuma.
Pendekatan sedia ada terbukti tidak berkesan
Kami menyedari bahawa platform lain telah mengambil pendekatan yang berbeza terhadap privasi iklan, memberi tumpuan kepada penyekatan alat sedia ada yang digunakan oleh pemaju dan pengiklan. Kami percaya bahawa - tanpa menyediakan jalan alternatif yang memelihara privasi terlebih dahulu - pendekatan sedemikian adalah tidak berkesan dan boleh membawa kepada hasil yang lebih buruk ke atas privasi pengguna dan pemaju perniagaan.
Matlamat kami dengan Privacy Sandbox di Android adalah untuk membangunkan penyelesaian pengiklanan yang berkesan dan meningkatkan privasi, di mana para pengguna tahu bahawa maklumat mereka dilindungi, dan para pemaju dan perniagaan mempunyai alat untuk berjaya di pelantar mudah alih. Walaupun kami mereka, membina dan menguji penyelesaian baru ini, kami merancang untuk menyokong ciri-ciri pelantar pengiklanan sedia ada selama sekurang-kurangnya dua tahun, dan akan memberikan notis yang mencukupi menjelang sebarang perubahan akan datang.
Bekerja dengan industri
Bermula hari ini, para pemaju boleh menyemak cadangan rekaan awal kami dan berkongsi maklum balas di laman web pemaju Android. Kami merancang untuk mengeluarkan pratonton pemaju sepanjang tahun ini, dengan pelancaran beta menjelang akhir tahun ini. Kami akan menyediakan kemaskini secara tetap mengenai rekaan dan garis masa, dan anda juga boleh mendaftar untuk menerima kemas kini.
Kami tahu bahawa inisiatif ini memerlukan input dari seluruh industri untuk berjaya. Kami telah mendengar dari banyak rakan-rakan kami tentang keinginan mereka untuk bekerja sama dalam memperbaiki privasi iklan di Android, dan menjemput lebih banyak organisasi untuk mengambil bahagian.
"Di Snap, kami telah menjadikan privasi sebuah keutamaan dan meletakkannya di teras perancangan produk kami. Kami teruja untuk bekerjasama dengan Google untuk membangunkan piawaian baru yang memelihara privasi untuk Android." - Snapchat
"Kami menyokong usaha Google untuk meningkatkan piawaian privasi di platform tersebut, sambil memudahkan para pengguna untuk memahami bagaimana data mereka digunakan. Hebat sekali untuk mereka mereka melibatkan para pemaju dalam proses awal untuk memastikan kita mempunyai masa untuk bertindak balas dan mengambil bahagian dalam perubahan yang penting seperti ini." - Rovio.
"Privasi pengguna adalah keutamaan bagi Duolingo dan kami menghargai proses yang dirancang Android untuk menerbitkan cadangan baru dan mendapatkan maklum balas daripada ekosistem." - Duolingo.
Kami juga komited untuk bekerja rapat bersama pihak pengawal selia. Kami telah menawarkan komitmen awam untuk usaha Privacy Sandbox kami di web, termasuk memastikan bahawa kami tidak memberikan layanan istimewa kepada produk iklan atau laman web Google. Kami akan menggunakan prinsip-prinsip ini untuk kerja-kerja Android kami juga, dan terus bekerja bersama Lembaga Pertandingan dan Pasaran UK dan lain-lain.
Privacy Sandbox di Android merupakan sebahagian penting dalam misi kami untuk meningkatkan tahap privasi pengguna, sambil memastikan agar para pemaju dan perniagaan dapat terus berjaya di pelantar mudah alih. Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan industri ini dalam perjalanan ini.