Baru-baru ini, terdapat peningkatan ketara dalam bilangan penipuan dalam talian. Kami menyediakan tip-tip berikut untuk membantu anda mengenal pasti dan mengelakkan penipuan tersebut, agar anda boleh kekal lebih selamat ketika dalam talian.
1. Ketahui bagaimana para penipu boleh menghubungi anda
Para penipu sedang memanfaatkan peningkatan dalam komunikasi COVID-19 dengan menyamarkan penipuan mereka sebagai mesej yang sah mengenai virus itu. Di samping e-mel, penipu juga boleh menggunakan mesej teks, panggilan automatik dan laman web yang berniat jahat untuk menghubungi anda.
2. Sentiasa waspada tentang penyamaran
Para penipu mungkin menyamar sebagai sebuah organisasi yang sah seperti kerajaan atau badan bukan keuntungan. Jika seseorang yang anda tahu menghantar e-mel kepada anda tetapi mesej itu kelihatan ganjil, akaun mereka mungkin telah digodam. Jangan balas mesej atau klik sebarang pautan melainkan anda boleh mengesahkan e-mel tersebut adalah sah. Perhatikan perkara-perkara seperti permintaan segera untuk wang, cerita-cerita sedih tentang terkandas di luar negara, atau orang yang mendakwa telefon mereka dicuri dan tidak boleh dipanggil.
3. Berhati-hati dengan permintaan untuk maklumat peribadi atau kewangan
Jika anda menerima permintaan yang tidak dijangka untuk maklumat peribadi atau kewangan, ambil sedikit masa untuk menilai mesej tersebut. Para penipu akan sering meminta anda memasukkan maklumat log masuk, atau berkongsi butiran dan alamat bank dengan mereka. Mereka juga boleh meminta pembayaran melalui pemindahan bank atau mata wang maya.
4. Semak sebelum anda mengklik apa-apa
Pautan palsu sering meniru laman web terkenal dengan menambahkan perkataan atau huruf tambahan. Sekiranya ia mengatakan sesuatu seperti "Klik di sini," letakkan kursor anda di atas pautan atau tekan dengan lama teks tersebut untuk memeriksa URL jika terdapat kesilapan, dan berhati-hati untuk tidak klik. Kata-kata yang silap dieja atau huruf rawak dan nombor dalam URL atau alamat e-mel juga boleh menunjukkan ia satu penipuan.
5. Kukuhkan keselamatan akaun Google anda
Kami secara automatik melindungi privasi anda dengan keselamatan yang terkemuka dalam industri. Melakukan Pemeriksaan Keselamatan akan memberikan anda cadangan peribadi dan tindakan untuk membantu mengukuhkan keselamatan akaun Google anda. Lakukan pemeriksaan tersebut di sini.
Untuk perlindungan dalam talian tambahan, aktifkan pengesahan dua faktor - juga dikenali sebagai pengesahan 2 langkah - pada akaun anda. Ini menyediakan satu lagi lapisan keselamatan dengan menghendaki anda untuk melengkapkan dua langkah bagi mendapatkan akses ke akaun anda: contohnya, menggunakan sesuatu yang anda tahu (kata laluan anda) dan sesuatu yang anda ada secara fizikal (seperti telefon anda atau kunci keselamatan).