Khamis, 7 April 2022

'Generasi YouTube' meraikan pencipta kandungan wanita Malaysia yang memberi inspirasi kepada penonton mereka dalam "Pemangkin Perubahan"

Wanita yang diperkasakan mempunyai potensi untuk menjadi pemangkin kepada perubahan yang hebat dan mentakrifkan semula naratif sekitar kewanitaan - sama ada dengan memberi suara kepada mereka yang tidak bersuara, atau memberi inspirasi kepada orang lain untuk mengejar perkara baharu dan berbeza.

Mengambil inspirasi daripada tema Hari Wanita Antarabangsa tahun ini iaitu 'Mengubah Persepsi Berat Sebelah’ (Breaking the Bias)' tahun ini, YouTube Malaysia mengetengahkan empat pencipta kandungan wanita tempatan – Beng Lim daripada saluran Bengtures, Haze Long, Kambing Golek dan Shalini Devi Ganeson daripada saluran Shalini Views – dalam Generasi YouTube (GenYT) maya yang bertemakan "Pemangkin Perubahan" (Catalysts for Change), di mana mereka berkongsi usaha yang dilakukan untuk mencipta dan membangunkan jenama kandungan mereka tersendiri mereka, serta suka duka perjalanan YouTube mereka sebagai wanita.

Pemangkin perubahan: (atas, dari kiri) Haze Long, Beng Lim dari saluran Bengtures, (bawah, dari kiri) Kambing Golek dan Shalini Devi Ganeson dari saluran Shalini Views.

Beng Lim merupakan salah seorang daripada segelintir wanita dalam dunia automotif tempatan di YouTube. Kandungan gaya vlognya mempersembahkan ulasan-ulasan kereta lama dan baru, pengalaman pemilikan keretanya sendiri yang kadangkala termasuk petua DIY, dan acara automotif di mana peminat kereta wanita masih lagi merupakan golongan minoriti. Salurannya Bengtures telah mendapat tontonan dari luar Malaysia, dengan para penonton yang datang dari negara-negara Asia Tenggara lain, Amerika Syarikat, dan juga Brazil.

“Saya memang suka memandu. Setiap kali saya berasa tertekan, saya akan mengambil kunci saya dan memandu ke mana sahaja jalan membawa saya. Malah saya hampir memandu ke Ipoh apabila saya menyedari yang saya telah memandu separuh negara. Itulah sebabnya automotif adalah perkara yang saya pilih untuk lakukan. Dari segi tawaran saluran saya, saya lebih suka melakukan gaya ulasan yang lebih bersahaja, menambahkan beberapa elemen gaya hidup pada kandungan ulasan kereta biasa yang sepatutnya. Saya mahu orang lain untuk melihat diri mereka dalam diri mereka yang memandu jentera tertentu, dan bukannya hanya melihat kereta,” kongsi Beng.

Sebagai seorang wanita dalam industri yang didominasi golongan lelaki, Beng berkata bahawa ramai yang cepat mengkritik cara dia mencipta kandungannya pada awal perjalanan YouTubenya, dan mereka memintanya untuk melakukan gaya ulasan kereta dalam cara tertentu atau meniru saluran lain. Tetapi dia tekad untuk meneroka gayanya sendiri, dan sebaik sahaja dia mendapati rentaknya dalam proses penciptaan kandungan, ia menjadi lebih jelas untuknya. Walaupun setelah lima tahun sebagai pencipta kandungan dengan kiraan langganan melebihi 30,000, dia masih membaca semua komennya - positif dan negatif - dan mengubahnya menjadi kritikan yang membina.


Sebagai pencipta kandungan sepenuh masa, Beng sentiasa memikirkan cara untuk menambah nilai pada salurannya dan untuk meningkatkan kualiti kandungannya.


Sebagai seorang bekas jurusolek yang mana perjalanan kreatifnya telah membawanya ke dalam dunia rekaan laman web dan blog, sehingga ke kerjaya sebagai pelukis profesional, Haze Long berasa terdorong untuk memberi kembali kepada komuniti artis melalui salurannya. Dia secara konsistennya memuat naik tutorial ke YouTube, dan juga menjadikan sumber-sumber yang dia gunakan mudah diakses oleh semua orang dan secara percuma.

“Apabila saya mula memuat naik video tutorial saya, saluran saya mendapat tarikan dan orang ramai menuntut lebih banyak lagi. Semasa permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya lebih memfokuskan pada saluran saya dan apabila saya akhirnya mendapat tarikan daripada YouTube, ia amat memberangsangkan dan memberi saya inspirasi untuk terus mencipta kandungan di YouTube. Sambutan dan sokongan yang menggalakkan juga merupakan sebab mengapa saya memastikan semua sumber pendidikan saya percuma dan mudah diakses oleh semua orang,” kongsi Haze.

Melangkah ke hadapan, Haze berkata dia merancang untuk mencipta lebih banyak kandungan seni tradisional, untuk kekal berpegang pada akar umbinya sebagai seorang artis seni halus. Bagaimanapun, dia masih akan menghasilkan pendidikan seni digital sebagai sebahagian daripada komitmennya. Pada masa ini, dia sedang mengusahakan koleksi seninya yang seterusnya untuk dipamerkan dan dijual.


Penghargaan yang diterimanya untuk tutorial potret digitalnya telah terus mendorong Haze Long berkongsi pengetahuannya di YouTube.


Nama Kambing Golek mungkin tidak asing di kalangan peminat permainan video dalam talian popular VRChat, atau strim langsung permainan di YouTube. Pada mulanya, Kambing Golek hanyalah hobi yang digemari Bing, tetapi apabila salah satu daripada video penstrimannya mencapai lebih 600,000 tontonan dalam masa yang singkat, ia telah menyerlahkan namanya dalam kancah permainan video tempatan yang telah membawa kepada pertumbuhan saluran dan jenamanya sepanjang perjalanan YouTubenya.

“Sebagai pemain sepenuh masa dan seorang wanita, saluran saya bukan sahaja sebuah platform untuk saya berkongsi minat saya dalam permainan video, tetapi juga untuk meningkatkan kesedaran wanita dalam permainan video dan memberi pendedahan kepada mereka yang mempunyai minat yang sama. Pada awal penglibatan saya dalam YouTube, saya memang menerima komen negatif tetapi kini saya memilih untuk fokus kepada perkara yang penting sahaja: kegembiraan dan keterujaan saya apabila bermain permainan video bersama rakan-rakan saya,” kongsi Kambing Golek.

Memandangkan dia menikmati permainan video main peranan dalam talian, dia menyatakan bahawa penciptaan sesebuah kandungan boleh menjadi mencabar, terutamanya dalam menjadikannya relevan dengan aliran terkini. Namun, dia kini mempunyai ramai rakan dari industri yang sama, dan mereka sering berkumpul untuk berkongsi idea dan mencipta kandungan bersama-sama. Dia juga mempunyai skuad peminat dengan nama #WakambingForever yang mempunyai lebih 70,000 pengikut.


Kambing Golek sentiasa teruja untuk menunjukkan kepada para penonton apa yang dia mampu lakukan sebagai seorang pemain video.


Bagi Shalini, kekurangan upaya bukanlah penghalang untuk berjaya. Dia bukan sahaja memperkasakan golongan orang kurang upaya untuk meneruskan minat mereka, tetapi juga untuk kekal yakin dan positif. Walaupun disahkan menghidap Spinal Muscular Atrophy (SMA), gangguan neuromuskular yang jarang berlaku yang menjadikan otot lemah dan menyebabkan masalah pergerakan, dia giat mencipta kandungan di saluran Shalini Views tentang hidangan masakan yang disukai keluarganya, selain kandungan gaya hidup seperti vlog, ulasan filem dan lain-lain.

“Dengan niat untuk membantu keluarga, saya mencari pekerjaan selepas SPM, namun keadaan saya tidak mengizinkan saya bekerja. Kemudian selepas abang saya mencadangkan saya memulakan saluran YouTube, saya memutuskan untuk berbuat demikian dan makanan adalah pilihan saya kerana saya diilhamkan oleh ibu saya yang merupakan seorang tukang masak yang hebat. Dengan bantuan ahli keluarga yang lain, kami akan berbincang dan memutuskan menu dan juga jenis kandungan yang ingin kami tampilkan. Ia hampir seperti sebuah produksi keluarga,” kongsi Shalini.


Bukan sahaja penggemar makanan, Shalini juga seorang pencinta muzik dan bercadang untuk membuat ‘cover’ muzik pada masa hadapan


Kurang dua tahun selepas memulakan salurannya sendiri, Shalini kini mempunyai lebih 12,000 pelanggan di YouTube, dan bercita-cita untuk menjadi sensasi Malaysia yang seterusnya di platform itu. Ketabahannya menunjukkan yang kekurangan upaya juga boleh menjadi sesuatu yang memperkasakan apabila mereka meletakkan minda dan hati mereka ke arah mencapai matlamat mereka.

Sesi hari ini mengingatkan kita bahawa YouTube adalah tempat yang memberikan suara kepada semua orang dan meraikan pengalaman unik mereka, laly membantu mengubah persepsi tentang kejayaan apa yang boleh dicapai semua tanpa mengira latar belakang mereka. Generasi YouTube menyasarkan untuk terus mencungkil dan menampilkan para pencipta kandungan yang lebih berbakat, unik dan akan datang merentasi pelbagai genre.

Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang karya-karya para pencipta dari sesi ini, teruskan ke saluran mereka: Bengtures, Haze Long, Kambing Golek, dan Shalini Views.