Rabu, 18 Mei 2022

Meraikan Guru Cemerlang yang Telah Memanfaatkan Dunia Digital

Para guru dan pendidik di seluruh Malaysia telah menghadapi pelbagai cabaran menguruskan dan menyesuaikan pengajaran mereka sepanjang pelbagai sekatan yang dikuatkuasakan sebagai tindak balas kepada pandemik. Walaupun negara kita sedang bergerak ke arah fasa endemik, perjalanan mereka dalam penemuan pendekatan baharu dalam penerapan penyelesaian dan platform digital untuk meningkatkan pengajaran harian diteruskan, dengan beberapa guru ini menonjolkan cara unik mereka menangani cabaran ini. 

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua guru dan pendidik kami yang sentiasa melakukan yang terbaik untuk memastikan para pelajar terus berkembang maju dan dapat belajar sepanjang masa yang mencabar ini. Saya amat berbesar hati kerana kami di Google dapat membantu ramai guru dan pendidik di seluruh Malaysia mencipta peluang pembelajaran dalam talian yang inklusif dan menawar pengalaman pembelajaran yang hebat kepada pelajar mereka melalui alat dan platform digital kami. Melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, 3.5 juta pengguna boleh mengakses aplikasi Google Workspace dan Google Classroom di platform DELIMa, menjadikannya salah satu platform pembelajaran digital yang terbesar,” kata Marc Woo, Pengarah Urusan Google Malaysia pada acara maya yang diadakan sempena Hari Guru.

Acara tersebut menyaksikan kepelbagaian perspektif dikongsi oleh sekumpulan guru mengenai langkauan sempadan digital di sekolah masing-masing - Cikgu Benny Lau, guru di SMK Taman Desa Jaya, Pasir Gudang; Cikgu Cladius Upin, guru di SMK Rancha-Rancha, Labuan; Cikgu Nashimah Banu, guru di Kolej Matrikulasi Selangor; dan Cikgu Premalatha Selvaraj, guru di SJK(T) Ladang Krian, Nibong Tebal, Pulau Pinang - dalam sebuah perbincangan panel yang dikendalikan oleh Nadia Khan, Pengurus Komunikasi di Google Malaysia.

Nadia Khan, Pengurus Komunikasi di Google Malaysia (barisan atas, kanan) bersama dengan para guru di acara tersebut: (Barisan atas, dari kiri) Cikgu Benny Lau, Cikgu Nashimah Banu, (barisan bawah, kiri) Cikgu Premalatha Selvaraj, dan (barisan bawah, tengah) Cikgu Cladius Upin.

Benny, yang juga merupakan ketua Kumpulan Pendidik Google (GEG) Pasir Gudang, berkongsi mengenai webinar yang pada mulanya dianjurkannya untuk sekolahnya sendiri kini telah menarik minat guru di seluruh negara. Beberapa sesi webinarnya telah dimuat naik ke saluran YouTube miliknya yang turut menganjurkan video tutorial serta petua tentang menggunakan Google Workspace for Education.

“Walaupun seseorang mungkin mempunyai pengetahuan terdahulu tentang alat digital seperti Google Docs, Slides dan sebagainya, webinar-webinar ini membenarkan para pendidik untuk menemui pendekatan baharu kepada amalan semasa mereka. Salah satu contoh yang jelas ialah cara seorang guru menggunakan Google Docs untuk menjalankan tugas Kajian Tindakan, sebuah inisiatif yang secara tradisinya dilakukan menggunakan pen dan kertas,” tambah Benny.

Membincang mengenai peluang yang diberikan oleh alat digital untuk membolehkan pengajaran dan pembelajaran yang fleksibel, Cladius berkongsi cara beliau meningkatkan penyertaan kelas daripada 50% kepada 80% dengan mengadakan pelajaran pada waktu petang untuk kelas Bahasa Inggeris SPM beliau, dan bukannya pada sebelah pagi. Fleksibiliti ini membolehkannya untuk menguruskan masa pelajaran yang paling sesuai dengan minat pelajar, dan meningkatkan penglibatan semasa pembelajaran.

“Penggunaan alat digital dalam pengajaran saya telah menyebabkan beberapa penglibatan yang tidak dijangka daripada pelajar saya. Walaupun pelajar saya bukan penutur asli bahasa Inggeris, apabila saya menyebut bahawa perkongsian mereka akan distrim secara langsung pada akaun media sosial peribadi saya sendiri, mereka cuba dengan sedaya upaya untuk bertutur dalam bahasa Inggeris untuk menunjukkan keupayaan mereka,” tambah Cladius.

Berkongsi tentang pengurusan pengajaran digital dalam sistem matrikulasi, Nashimah menunjukkan cara beliau mengatasi beberapa topik yang paling tidak digemari oleh pelajarnya dalam Biologi seperti ‘spesiasi’ melalui Pembelajaran Berasaskan Inkuiri, pendekatan yang memerlukan para pelajar untuk menjalankan penyelidikan untuk mewajarkan pilihan jawapan mereka. Beliau melanjutkan pendekatan ini dengan meminta pelajarnya mencipta spesies mereka sendiri, sambil disokong oleh bahan yang diperoleh daripada Google Scholar.

“Apabila para pelajar terdedah kepada pelbagai maklumat dalam talian, ia menunjukkan cara baharu mereka boleh menangani tugasan mereka. Dalam salah satu tugasan saya kepada para pelajar di mana mereka diperlukan untuk membentangkan teori mereka sendiri untuk menyembuhkan kanser, satu kumpulan menonjol ketika mereka membentangkan penyelesaian mereka kerana penyelesaian mereka disokong oleh bukti yang dipetik daripada jurnal perubatan sebenar yang diambil dari Google Scholar," tambah Nashimah.

Satu-satunya penerima anugerah bimbingan Akademi Penginovasi Google yang diperakui untuk tahun 2022 dari Malaysia, Premalatha telah mengadakan lebih daripada 130 bengkel untuk para guru merentasi Rantau Asia Pasifik sejak 2015, dan merupakan salah satu pemimpin dalam Kumpulan Pendidik Google Asia Pasifik. Di bawah bimbingannya, sekolahnya telah menyertai pelbagai pertandingan robotik serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan baru-baru ini dinobatkan sebagai juara di sebuah pertandingan peringkat kebangsaan.

“Sebagai seorang jurulatih untuk Akademi Penginovasi Google, saya cukup bertuah kerana diberi peluang untuk berinteraksi dan belajar daripada para jurulatih dari negara jiran yang juga menghadapi cabaran yang sama. Kami amat bernasib baik kerana dengan kemajuan alat dan platform digital seperti Google Classroom, para guru dapat mengatasi masalah penyambungan melalui penggunaan ciri luar taliannya,” tambah Premalatha.

Sesi tersebut berakhir dengan ahli panel memberikan nasihat kepada para pendidik dalam era hibrid ini yang terdiri daripada bilik darjah fizikal dan pembelajaran digital. Nasihat-nasihat mereka termasuk untuk tidak berhenti belajar untuk memotivasikan para pelajar, meneruskan kerja mulia guru terdahulu yang merupakan model peranan kepada kami, dan menyalurkan semangat anda untuk mengajar ke dalam kesediaan untuk mencuba perkara baharu kerana alat-alat digital boleh membuka peluang dan melengkapkan pelajaran berasaskan sekolah.