Doodle hari ini memberi penghormatan kepada mendiang Dr. Lim Boo Liat, seorang ahli zoologi dan mamalia terkemuka yang mendedikasikan hidupnya untuk mencungkil dan memulihara kepelbagaian biologi Malaysia. Beliau membantu memulakan Zoo Negara dan telah menulis lebih daripada 300 penerbitan saintifik tentang mamalia dan parasitologi.
Pada hari ini pada tahun 2003, Dr. Lim dianugerahkan Keahlian Kehormat kepada Persatuan Ahli Mamalia Amerika (dikenali sebagai American Society of Mammalogists, atau ASM) untuk sumbangan cemerlang beliau kepada ilmu sains mamalia. Beliau merupakan orang Asia Tenggara pertama (dan orang Asia ke-empat) untuk menjadi seorang Ahli Kehormat ASM, sebuah anugerah yang diasaskan pada tahun 1919.
Kehidupan dan kerjaya Lim Boo Liat
Dr. Lim dilahirkan pada 21 Ogos 1926 di Klang, Selangor. Beliau mula-mula terdedah kepada haiwan dan serangga kecil semasa di sekolah menengah apabila beliau sering pergi ke taman sekolah tersebut. Pada tahun 1941, Perang Dunia II melanda Malaysia dan Lim yang baru berusia 16 tahun terpaksa meninggalkan pengajiannya dan mengambil pekerjaan sampingan untuk menyara keluarganya. Ini membawanya ke Pulau Carey di persisiran pantai Selangor pada tahun 1944, di mana beliau telah berkawan dengan sekumpulan Orang Asli, dan belajar bagaimana untuk mengenal pasti pelbagai haiwan daripada mereka.
Pada 1947, selepas perang tersebut, beliau memohon kerja sementara sebagai Pembantu Makmal di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur. Pengetahuan zoologi yang beliau terima daripada Orang Asli tersebut juga membawanya ke peranan pertamanya dalam penyelidikan biologi lapangan di bawah mentornya, mendiang Profesor J.L. Harrison (Ahli Zoologi Perubatan) dan mendiang Profesor J.R. Audy (Pakar Ekologi Perubatan), masing-masing merupakan pakar dalam hubungan perumah-parasit dalam kajian penyakit zoonosis.
Pada 1952, beliau dinaikkan pangkat kepada Pembantu Makmal tetap dan terlibat dalam beberapa ekspedisi saintifik. Dari 1955 ke 1969, beliau menerbitkan lebih daripada 80 kertas saintifik mengenai haiwan vertebrata dan dipelawa untuk mengetuai Bahagian Ekologi Perubatan yang baharu diasaskan di IMR. Beliau menjadi seorang pakar yang dikenali oleh institusi tempatan dan asing dalam bidang kajian haiwan dan peranannya dalam penularan penyakit. Beliau mengasaskan konsep 'pelabelan ekologi mengikut corak parasit' di mana parasit dan tabiat makanan mamalia kecil merupakan petunjuk yang baik tentang tabiat tingkah laku mereka dalam persekitaran semula jadi mereka. Penemuan itu diterbitkan dalam Jurnal Zoologi Persatuan Zoologi London (Zoological Society of London's Journal of Zoology) pada tahun 1967.
Melihat potensi dan kepakarannya dalam bidang tersebut, beberapa orang profesor dari universiti-universiti Eropah membuka jalan untuknya supaya beliau dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana, walaupun beliau tidak pernah mendapat pendidikan formal. Malah, Dr. Lim tidak pernah menerima Ijazah Sarjana Muda sebelum penajaannya ke Universiti Aberdeen di Scotland. Beliau pulang ke Malaysia pada 1972 dan meneruskan penyeliaan Bahagian Ekologi Perubatan, kali ini sebagai seorang ahli zoologi yang sebenar. Dr. Lim menerima PhDnya dalam Zoologi di Universiti Sains Malaysia pada 1977 dan telah bekerja dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Indonesia di mana beliau mengetuai Unit Penyelidikan Kawalan Biologi Vektor yang bertanggungjawab menjalankan penyelidikan mengenai subjek seperti wabak, kawalan malaria, dan kawalan tikus, sehingga persaraannya pada 1987.
Walaupun selepas bersara, beliau kekal aktif dalam industri ini, membantu dalam kajian penyelidikan untuk pelajar prasiswazah dan pascasiswazah di universiti tempatan dan terlibat dalam pemuliharaan sejarah semula jadi dengan kerjasama agensi kerajaan dan bukan kerajaan.
Meninggalkan sebuah legasi
Dr Lim Boo Liat merupakan sebuah inspirasi kepada industri tersebut. Digelar sebagai ‘bapa zoologi’, Dr. Lim dan rakan penyelidiknya telah menemui spesies baharu, ular dedaun Genting, Macrocalamus gentingensis, di Tanah Tinggi Genting Highlands, Pahang, yang tidak boleh ditemui di tempat lain. Hari ini, karya beliau diiktiraf dan telah dipetik dalam banyak jurnal dan penerbitan di seluruh dunia.
Untuk mengiktiraf sumbangan beliau dalam bidang sains biologi, spesies berikut telah dinamakan sempenanya oleh para saintis asing dan tempatan:
Hama penuai: Babiangia booliati (Audy, 1965), Leptotrombidium limi (Nadchatram & Traub, 1962);
Kutu: Medwayellia limi (Traub, 1972);
Cacing Parasit: Plasmodium booliati (Sandosham, Yap & Omar, 1965), Heligmonella limbooliati (Durette-Desset, Diaw & Krishnansamy, 1975), Brienlia booliati (Ho & Singh, 1973);
Kumbang: Thalliseliodes limbooliati (Chújô, 1963);
Protozoa: Sarcocystis booliati (Dissanaike & Poopalachelvam, 1975);
Cicak: Dibamus booliati (Das & Yaakob, 2003);
Ular: Oligodon booliati (Leong & Grismer, 2004);
Katak: Kalophrynus limbooliati (Matsui, Nishikawa, Belabut, Norhayati & Yong, 2012)
Siput: Rahula limbooliati (Foon & Marzuki, 2020)
Pengiktirafan mulia
Dr. Lim telah dianugerahkan pelbagai anugerah termasuk
Pingat Emas Sandosham 1977 daripada Persatuan Parasitologi dan Perubatan Tropika Malaysia,
Anugerah Sains dan Teknologi 1995 oleh Yayasan Sains Toray Malaysia (MTSF) untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang beliau dalam ekologi vertebrata dan penyakit zoonosis dalam alam sekitar,
Anugerah Spallanzani 2007 daripada Persatuan Penyelidikan Kelawar Amerika Utara, dan
Anugerah Merdeka 2013 untuk kategori alam sekitar.
Terima kasih, Dr. Lim Boo Liat, untuk dedikasi dan advokasi anda dalam perlindungan kekayaan biodiversiti negara!
Kami amat berterima kasih kepada keluarga Dr. Lim dan rakan-rakan kami untuk sokongan mereka dalam projek ini. Di bawah, rakan-rakan rapat Dr. Lim bercerita mengenai kehidupan dan legasinya, serta Doodle hari ini:
“Dr. Lim merupakan seorang pakar mamalia yang cemerlang dan pencapaiannya dipandang tinggi di seluruh dunia. Beliau telah diberi penghormatan oleh Persatuan Ahli Mamalia Amerika (American Society of Mammalogists) sebagai salah seorang Ahli Kehormat kami. Penghormatan Ini telah diberi melalui undian ahli yang menghadiri mesyuarat tahunan kami pada bulan Jun, 2003. Ahli Kehormat dipilih untuk mengiktiraf perkhidmatan cemerlang mereka kepada ilmu mamalia. Ia dianggap penghormatan tertinggi dalam Persatuan ini,"
– Dr. Robert M. Timm, bekas presiden dan sejarawan, Persatuan Ahli Mamalia Amerika (ASM).“Mendiang Dr Lim menjadi seorang penasihat penyelidik mamalia kecil / zoologi untuk FRIM antara tahun 1993 dan 1996. Dari 1999 ke 2004, beliau bekerja rapat dengan penyelidik FRIM, Norsham Yaakob, dalam kajian herpetofauna. Kerjasama prolifik ini menghasilkan 13 penerbitan, termasuk penemuan spesies baru ular dedaun Genting yang tidak boleh ditemui di tempat lain selain Tanah Tinggi Genting Highlands, Malaysia. Inspirasi, motivasi dan contoh baik mendiang Dr. Lim serta sumbangan beliau akan dikenang selama-lamanya oleh pakar-pakar saintifik,”
– Dr. Ismail Parlan, ketua pengarah, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
“Dr. Lim telah membina watak yang kuat dalam ramai saintis lapangan. Beliau merupakan bapa zoologi di Malaysia,”
– Prof. Dr. Norhayati Ahmad, pakar penyelidikan, Sistem Maklumat Biodiversiti Malaysia (MyBIS).
“Beliau selalu datang menjenguk kami di pejabat MNS pada masa dahulu, hanya untuk berjumpa kami, berbual, mengajak kami keluar makan tengah hari, memberi nasihat, dan membantu di mana perlu. Beliau sentiasa menyokong kerja saya, dan bagi saya, beliau adalah salah seorang lelaki paling baik hati yang pernah saya temui dan kenali. Kami sentiasa menantikan kunjungannya, kerana lawatan pejabatnya sentiasa memeriahkan hari kami,”
– Lee Su Win, bekas pegawai eksekutif, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).
“Penyelidikan dan advokasi saintifik untuk melindungi biodiversiti kaya negara yang dijalankan oleh Dr. Lim selama enam dekad telah memberi sumbangan yang besar kepada negara kita. Beliau adalah seorang ahli zoologi yang cemerlang dan telah membuat sumbangan besar kepada pemuliharaan biodiversiti Malaysia dan perlindungan warisan semula jadi kita. Kerja-kerja beliau yang meluas telah memberi impak yang besar kepada Malaysia dan rakyat Malaysia dan ia benar-benar merangkumi Semangat Merdeka,”
– The Merdeka Award.
Gambar: Dr. Lim Boo Liat bekerja dengan spesimen musang leher kuning.
Kredit foto: Ihsan Persatuan Pencinta Alam Malaysia
Gambar: Dr. Lim Boo Liat muda sebagai pembantu makmal di Institut Penyelidikan Perubatan, Kuala Lumpur pada tahun 1948. Kredit foto: Ihsan keluarga Dr. Lim
Gambar: Dr. Lim Boo Liat di bilik belajarnya
Kredit foto: Ihsan keluarga Dr. Lim