Sejak awal-awal lagi, YouTube telah memudahkan jutaan pengguna berkongsi pendapat mereka, menemukan komuniti, menjangkau khalayak global dan membina perniagaan. Namun kami sedar itu hanyalah permulaan. Pelancaran Program Rakan Kongsi YouTube (YPP) pada tahun 2007 bermaksud bahawa pencipta boleh, untuk kali pertama, berkongsi hasil dan memperoleh wang daripada kandungan mereka. Model perniagaan yang unik ini bermaksud kami hanya akan mencapai kejayaan setelah pencipta kami berjaya. Para pencipta sedang berkembang maju—golongan usahawan pencipta ini sedang membina perniagaan mereka sendiri yang maju dengan pekerja dan operasi yang telah dibangunkan sepenuhnya. Sepanjang tiga tahun yang lalu, kami telah membayar lebih $50 bilion kepada para pencipta, artis dan syarikat media.
Pada hari ini, kami memperkenalkan cara seterusnya untuk menghargai kreativiti pada platform kami, tak kira apa rupanya. Kami akan mengumumkan lebih banyak cara untuk para pencipta menjadi rakan kongsi, cara baharu untuk memperoleh wang melalui Shorts dan membayangkan semula usaha sama industri muzik dengan para pencipta.
Pelbagai lagi kaedah untuk pencipta memperoleh wang
Pada awal pelancaran YPP, YouTube telah mewujudkan satu format kreatif —video mendatar standard — dan satu sumber hasil yang utama: iklan. Pada hari ini pula, para pencipta menguji batas ekspresi secara berterusan iaitu daripada video mendatar Shorts selama 15 saat kepada video selama 15 minit hingga strim langsung selama 15 jam. Mereka juga membina perniagaan mereka berdasarkan strim pendapatan yang pelbagai termasuk Pembiayaan Peminat dan tajaan jenama.
YouTube kini menawarkan 10 cara pemerolehan wang kepada lebih 2 juta rakan kongsi kami. Usaha kami masih berterusan. Pada hari ini, kami mengembangkan program rakan kongsi kami dan hal ini bermaksud lebih banyak pencipta dan artis akan berpeluang untuk memperoleh wang pada YouTube melalui format kreatif yang berbeza.
Mulai awal tahun 2023, para pencipta berfokuskan Shorts boleh menyertai YPP dengan mencapai ambang 1,000 pelanggan dan 10 juta tontonan video Shorts sepanjang tempoh 90 hari. Rakan-rakan kongsi baharu ini akan menikmati semua manfaat yang ditawarkan oleh program kami termasuk pelbagai cara untuk memperoleh wang seperti iklan bentuk panjang dan Pembiayaan Peminat.
Kami juga mahu menyokong pencipta yang telah memulakan perjalanan YouTube mereka lebih awal—termasuk pemain yang menunjukkan permainan terpantas dan memulakan trend tutorial solekan DIY. Tahap baharu YPP dengan syarat yang lebih longgar akan menawarkan akses yang lebih awal kepada ciri Pembiayaan Peminat seperti Super Thanks, Super Chat, Super Stickers dan Keahlian Saluran. Untuk memberi para pencipta ganjaran melalui pelbagai format, kami akan memperkenalkan pelbagai kaedah bagi pencipta video bentuk panjang, Shorts dan Langsung menyertai tahap baharu ini pada tahun 2023. Nantikan butiran lanjut.
Tiada apa-apa perubahan yang akan dikenakan pada kriteria kami yang sedia ada—para pencipta masih boleh menyertai YPP apabila mereka menjangkau 1,000 pelanggan dan 4,000 jam tontonan. Namun perubahan ini menggambarkan kepelbagaian komuniti pencipta kami yang semakin berkembang. Pencipta boleh memilih satu pilihan yang paling sesuai dengan saluran mereka sementara kami mengekalkan tahap keselamatan jenama yang sama untuk pengiklan. Anda boleh mengetahui lebih lanjut di sini.
Cara baharu untuk menjanakan pendapatan bagi pencipta Shorts
Populariti video pendek telah menjadi tular pada YouTube, dengan lebih 30 bilion tontonan setiap hari dan 1.5 bilion pengguna yang log masuk setiap bulan, mewujudkan kreativiti yang semakin bertambah merentas setiap topik, pelosok dan rantau di dunia. Untuk mula memberikan ganjaran kepada kelas kreatif yang baharu ini, kami telah melancarkan Dana Shorts sementara. Kini kami membawakan model perniagaan kami yang unik kepada Shorts: perkongsian pendapatan akan tersedia pada Shorts!
Berikut adalah fungsi ciri ini:
Mulai awal tahun 2023, pencipta YPP semasa dan masa hadapan layak menggunakan ciri perkongsian hasil pada Shorts.
Dalam Shorts, iklan disiarkan antara video dalam Suapan Shorts. Maka, setiap bulan, hasil daripada iklan ini akan dikumpulkan dan digunakan untuk memberikan ganjaran kepada pencipta Shorts serta menampung kos pelesenan muzik.
Daripada jumlah keseluruhan yang diperuntukkan kepada pencipta, mereka akan menyimpan 45% daripada hasil tersebut yang diagihkan berdasarkan bahagian mereka daripada jumlah tontonan Shorts. Perkongsian hasil kekal sama, tanpa mengira sama ada mereka menggunakan muzik atau sebaliknya.
Pendekatan yang serba baharu ini membolehkan kami memberikan ganjaran kepada semua pencipta YPP yang menyediakan pengalaman Shorts, bukan hanya kepada pencipta dengan video yang dimainkan bersebelahan iklan. Selain itu, memandangkan Music menjadikan beberapa Shorts kami lebih menyerlah dan menarik, ciri ini memudahkan pelesenan muzik yang rumit supaya pencipta tidak perlu bimbang sama ada mereka menggunakan muzik dalam video Shorts mereka atau sebaliknya.
Kami menjangkakan sebahagian besar penerima Dana Shorts kami akan memperoleh lebih banyak wang melalui model baharu ini yang dibina untuk kemampanan jangka panjang. Kami tidak menawarkan dana tetap tetapi kami memperkukuhkan model perkongsian pendapatan yang telah memacu ekonomi pencipta dan membolehkan para pencipta memperoleh manfaat daripada kejayaan platform ini. Perkongsian hasil melalui iklan Shorts ialah satu lagi kaedah untuk para pencipta memperoleh wang – kaedah ini terangkum dalam suit penuh produk kami yang membolehkan kami membayar lebih $50 bilion kepada para pencipta, artis dan syarikat media sepanjang tiga tahun yang lalu.
Kami juga akan melancarkan Super Thanks untuk Shorts dalam beta kepada ribuan pencipta dengan pelancaran penuh yang dijangka akan dilakukan pada tahun hadapan. Penonton boleh menyatakan penghargaan bagi video Shorts yang disukai dan pencipta boleh berinteraksi dengan peminat mereka melalui ulasan Super Thanks yang dibeli dan diserlahkan. Kami juga menggabungkan jenama dan pencipta Shorts sebagai sebahagian daripada YouTube BrandConnect.
Mengembangkan Runut Bunyi YouTube
Muzik adalah penting kepada Shorts dan seluruh YouTube — tahun demi tahun, kami telah melihat cara para pencipta dapat memberikan nafas baharu kepada lagu klasik atau membawakan lagu popular tempatan ke pentas global. Namun kerumitan pelesenan muzik bermaksud kebanyakan video bentuk panjang yang menampilkan muzik (ya, malahan video senaman anda yang belum selesai) menyebabkan pencipta tidak mendapat bayaran. Atas sebab yang demikian, demi mengenal pasti peluang bagi menggabungkan industri muzik dengan para pencipta pada platform kami, kami mentakrifkan semula cara muzik dapat ditampilkan dalam video pencipta.
Kami memperkenalkan Creator Music, destinasi baharu pada YouTube Studio yang memberi pencipta YouTube akses mudah kepada katalog muzik yang terus berkembang untuk digunakan dalam video bentuk panjang mereka. Pencipta kini boleh membeli lesen muzik berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan yang menawarkan potensi pengewangan penuh kepada mereka—mereka akan mengekalkan jumlah perkongsian hasil yang sama, yang biasa diperoleh daripada video tanpa sebarang muzik.
Untuk pencipta yang tidak mahu membeli lesen lebih awal, mereka dapat menggunakan lagu dan berkongsi hasil dengan artis yang menyanyi lagu tersebut dan pemegang hak yang berkaitan. Creator Music, yang kini tersedia dalam beta di A.S. dan akan tersedia di lebih banyak negara pada tahun 2023, akan menawarkan proses yang lancar kepada pencipta—mereka akan dapat melihat syarat bagi pemilihan lagu mereka dengan serta-merta.
Kami yakin Creator Music dapat menghasilkan kerjasama yang menakjubkan antara pencipta dengan artis, lebih banyak lagu baharu dalam senarai main penonton dan lebih banyak cara untuk artis merebut peluang — di samping terus menambahkan pendapatan pencipta.
Pengalaman melihat industri serba baharu yang dibina oleh pencipta pada platform kami ini sangat luar biasa. Model kami sejak tahun 2007 ini bertujuan untuk menjadikan para pencipta sebagai bahagian penting penjana ekonomi dan kejayaan bersama kita. Kami tidak sabar untuk melihat hasil Made on YouTube dalam tempoh 15 tahun akan datang.