Selasa, 21 Mac 2023

Malaysiakini menggalakkan penglibatan pembaca melalui platform 'Kini Community'

Oleh Eshwaren Manoharen, Pengurus Produk, Malaysiakini

Selepas pilihan raya penting yang berlangsung pada 2018, persekitaran media di Malaysia berkembang pesat, dan kami menghadapi peningkatan persaingan daripada para penerbit berita lain. Sebagai organisasi berita bebas, kami menyedari keperluan untuk sebuah tawaran unik yang dapat menarik para pembaca dan membezakan diri kami daripada para pesaing kami.

Sebagai salah satu penerima Google News Initiative Innovation Challenge, kami dapat menggunakan dana yang disediakan untuk pembangunan ciri komuniti pada platform baharu Kini Community kami. Ciri-ciri tersebut tertumpu kepada meningkatkan penglibatan pengguna dan menggalakkan para pembaca untuk berinteraksi antara satu sama lain di platform kami.

Idea untuk Kini Community bermula daripada cabaran terbuka yang ditujukan secara dalaman kepada rakan-rakan sekerja kami. Adalah menarik untuk kami melihat pelbagai perspektif berbeza tentang idea-idea yang kami ada untuk meningkatkan penglibatan pengguna.

Salah satu cadangan oleh rakan-rakan sekerja kami adalah untuk membina sebuah ciri yang membolehkan para pengulas pada platform kami untuk memberi ganjaran antara satu sama lain. Idea untuk Kini Community berkembang dari idea ini sehingga ke tahap sekarang.

Langkah pertama kami adalah untuk menentukan skop projek dan matlamat kami. Setelah kami jelas tentang antara muka dan ciri pengalaman pengguna yang ingin kami bangunkan, kami membina prototaip dan mockup ciri-ciri tersebut.

Satu pasukan jurutera memulakan proses membina dan memperhalusi butiran platform Kin Community sepertimana yang kami inginkan. Pada masa yang sama, pasukan pemasaran kami pula mula menyediakan bahan-bahan untuk pelancaran. Bahan pemasaran dihantar kepada para pembaca melalui laman web, saluran media sosial dan surat berita e-mel.

Hasilnya amat memberangsangkan. Sejak penubuhan Kini Community, kami menyaksikan 40% daripada pelanggan semasa kami menggunakan ciri-ciri 'Kini Community', dan melihat lebih dari 3,000 penggunaan ciri 'penanda halaman' kami yang baru diperkenalkan.

Untuk Malaysiakini berkembang maju dalam industri hari ini, adalah penting bagi kami untuk menarik dan mengekalkan para pembaca kami menerusi komunikasi yang berterusan dengan mereka, mengenal pasti keperluan unik mereka dan menghasilkan kandungan berkualiti tinggi, menarik dan relevan.

Ia juga penting untuk membentuk perkongsian dan kerjasama bersama organisasi lain untuk berkongsi sumber dan kepakaran, dan untuk mengembangkan jangkauan dan impak kami - sama seperti yang kami lakukan dengan Google!

Pada tahun-tahun akan datang, kami mempunyai rancangan untuk menyepadukan perniagaan langganan kami dengan lebih rapat bersama bilik berita, dan kami sentiasa bergerak ke arah yang lebih terdorong data. Buat masa ini, kami sedang menjalankan satu lagi projek komuniti, jadi nantikan maklumat lanjut mengenainya!