Rabu, 29 Mac 2023

Laporan Keselamatan Iklan 2022 Kami

Kami tahu ramai orang dan perniagaan meletakkan kepercayaan mereka ke atas Google apabila mereka menggunakan produk kami. Itulah sebabnya kami mempunyai beribu-ribu pekerja yang bekerja sepanjang masa untuk mencipta dan menguatkuasakan dasar pengiklan dan penerbit yang berkesan untuk mencegah penyalahgunaan sambil membolehkan penerbit dan perniagaan dari semua saiz berkembang maju. Kami melakukan kerja penting ini kerana internet sihat yang disokong iklan bermakna semua orang boleh mengakses maklumat berkualiti.

Dengan terus berkembangnya dunia digital, Google membuat pelaburan berterusan dalam dasar-dasar dan penguatkuasaan kami supaya orang ramai boleh mengalami pengalaman paling selamat yang mungkin dalam talian. Pada tahun 2022, kami telah menambah atau mengemas kini 29 dasar untuk pengiklan dan penerbit. Ini termasuk memperluaskan program pengesahan perkhidmatan kewangan kami ke 10 negara baharu, memperluaskan perlindungan untuk golongan remaja dan mengukuhkan dasar-dasar iklan pilihan raya kami.

Dasar-dasar ini membantu melindungi orang ramai. Pada tahun 2022, kami telah mengalih keluar lebih 5.2 bilion iklan, menyekat lebih 4.3 bilion iklan dan menggantung lebih 6.7 juta akaun pengiklan. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 2 bilion lagi iklan yang dialih keluar pada 2022 berbanding tahun sebelumnya. Kami juga telah menyekat iklan-iklan daripada disiarkan di lebih 1.5 bilion halaman penerbit dan mengambil tindakan penguatkuasaan peringkat laman web yang lebih meluas di lebih dari 143,000 tapak penerbit. Untuk menguatkuasakan dasar kami pada skala ini, kami bergantung pada gabungan ulasan manusia dan sistem automatik yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin. Ini membantu kami untuk mengisih kandungan dan mengesan pelanggaran dasar dengan lebih baik di seluruh dunia.

Anda boleh baca Laporan Keselamatan Iklan 2022 penuh kami untuk ketelusan dalam data penguatkuasaan kami. Kami ingin meluangkan sedikit masa untuk menyerlahkan beberapa tema utama yang telah kami tangani pada tahun 2022.

Melindungi Pengguna daripada Penipuan

Aktiviti penipuan semakin meningkat. Walaupun ia tidak unik kepada pengiklanan digital, penipuan-penipuan ini boleh menyebabkan kemudaratan kewangan sebenar dan kami komited untuk memeranginya di platform-platform kami.

Pada tahun 2022, kami mengembangkan program pensijilan perkhidmatan kewangan kami yang memerlukan pengiklan untuk menunjukkan bahawa mereka diberi kuasa oleh pengawal selia tempatan mereka untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka. Langkah ini menambah sebuah lapisan keselamatan baharu terhadap penipu dan melindungi orang ramai daripada penipuan kewangan. Sehingga kini, kami telah melancarkan program ini di 11 negara termasuk United Kingdom, Australia dan Singapura. Pada masa hadapan, kami berhasrat untuk memperluaskan lagi program ini.

Di sebalik usaha berterusan kami, para penipu beroperasi pada skala yang semakin besar dan dengan lebih canggih. Mereka menggunakan pelbagai taktik untuk mengelak pengesanan. Contohnya, pada penghujung tahun 2022 melangkah masuk ke tahun baharu, kami menghadapi sebuah kempen penipu tersasar yang mencipta beribu-ribu akaun untuk menyebarkan perisian hasad dengan menyamar sebagai jenama perisian popular.

Apabila kami mengenal pasti ancaman yang diselaraskan ini, kami segera menilai keadaan dan mengambil tindakan. Dalam contoh ini, kami mengenal pasti cara penipu menyebarkan perisian hasad mereka dan meletakkan sekatan tambahan untuk menyekat keupayaan mereka untuk membahayakan pengguna dengan cepat. Dalam tempoh sebulan, kami telah menyekat dan mengalih keluar berpuluh-puluh ribu iklan berniat jahat dan mengambil tindakan terhadap akaun yang dikaitkan dengan iklan tersebut.

Secara keseluruhan, pada tahun 2022, kami telah menyekat atau mengalih keluar 142 juta iklan kerana melanggar dasar salah nyata kami dan 198 juta iklan kerana melanggar dasar perkhidmatan kewangan kami.

Menyekat dan Mengalih Keluarkan Kandungan yang Memudaratkan dan Membanteras Maklumat Salah

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami telah membangunkan langkah yang meluas untuk menangani maklumat salah dan dakwaan yang tidak boleh dipercayai dalam ekosistem pengiklanan kami. Ini termasuk dasar kami terhadap dakwaan kesihatan yang berbahaya dan dakwaan palsu yang boleh menjejaskan kepercayaan dan penyertaan dalam pilihan raya. Kami juga telah membangunkan dasar peneraju industri terhadap penafian perubahan iklim. Pada tahun 2022, kami telah menyekat iklan daripada disiarkan di lebih 300,000 halaman penerbit yang melanggar dasar ini dan menyekat lebih 24 juta iklan yang melanggar dasar daripada disiarkan. Selain itu, kami telah menyekat dan mengalih keluar lebih 51.2 juta iklan untuk kandungan yang tidak sesuai termasuk ucapan kebencian, keganasan dan dakwaan kesihatan yang berbahaya serta 20.6 juta iklan untuk produk atau perkhidmatan berbahaya seperti senjata dan bahan letupan.

Menjelang pilihan raya besar di seluruh dunia, kami meneruskan usaha kami untuk memberikan pengundi maklumat yang boleh dipercayai tentang iklan pilihan raya yang mereka lihat di platform-platform kami. Sebagai sebahagian daripada kerja itu, kami mengembangkan program pengesahan dan ketelusan kami untuk iklan pilihan raya, mengesahkan lebih 5,900 akaun pengiklanan baharu di A.S. dan lebih 2,300 di Brazil. Iklan pilihan raya daripada pengiklan ini termasuk pendedahan yang menunjukkan siapa yang membayar untuk iklan tersebut dan turut dipaparkan dalam Laporan Ketelusan Pengiklanan Politik Google kami. Kami juga telah menyekat lebih 2.6 juta iklan pilihan raya yang datang daripada pengiklan yang belum menyelesaikan proses pengesahan kami yang diperlukan.

Bertindak Balas Terhadap Perang di Ukraine

Berikutan permulaan perang di Ukraine, kami bertindak pantas untuk melarang iklan yang mengeksploitasi, menolak atau menyokong perang itu. Ini adalah tambahan kepada dasar lama kami yang melarang kandungan yang menghasut keganasan atau menafikan kejadian tragis untuk disiarkan sebagai iklan atau diwangkan menggunakan perkhidmatan kami.

Kami juga menjeda sebahagian besar aktiviti komersial kami di Rusia merentas produk kami. Kami menjeda iklan daripada dipaparkan di Rusia bersama-sama dengan iklan daripada pengiklan yang berpangkalan di Rusia dan menjeda pengewangan media yang dibiayai negara Rusia merentas platform-platform kami.

Sepanjang tahun 2022, kami terus berwaspada untuk menguatkuasakan dasar-dasar ini dan menyekat lebih daripada 17 juta iklan yang berkaitan dengan perang di Ukraine bawah dasar peristiwa sensitif kami. Secara berasingan, kami mengalih keluar iklan daripada lebih 275 laman web media yang dibiayai kerajaan merentas platform-platform kami.

Mengutamakan Keselamatan Kanak-Kanak

Dalam hal mereka bentuk produk dan membuat dasar, salah satu keutamaan kami adalah untuk memastikan keselamatan kanak-kanak dan remaja di seluruh dunia terpelihara. Itulah sebabnya kami telah lama menyekat penyasaran dan pemperibadian iklan untuk kanak-kanak kecil. Kami juga telah menapis kategori iklan matang seperti kandungan seksual eksplisit dan iklan untuk perjudian, alkohol dan ubat farmaseutikal. Dan, pada tahun 2021, kami telah mengumumkan bahawa kami akan mengembangkan perlindungan ini kepada semua pengguna di bawah umur 18 tahun di seluruh dunia. Ini termasuk menyekat penyasaran iklan berdasarkan umur, jantina atau minat dan menghalang kategori iklan sensitif umur tambahan daripada disiarkan kepada golongan remaja. Kami mula melancarkan perubahan ini di Eropah dan menyelesaikan proses itu di seluruh dunia tahun lepas. Kami juga kini melarang iklan yang mempromosikan aplikasi temu janji, peraduan dan cabutan bertuah, serta produk penurunan berat badan kepada orang di bawah 18 tahun.

Memperkasakan Pengguna dengan Lebih Banyak Maklumat dan Kawalan

Sebagai tambahan kepada dasar dan penguatkuasaan kami, kami komited untuk menerajui industri dalam memberi para pengguna lebih banyak maklumat tentang iklan yang mereka lihat dan kawalan terhadap pengalaman iklan mereka.

Pada bulan Oktober, kami melancarkan My Ad Center yang membantu orang ramai untuk mengawal jenis iklan yang mereka lihat merentas Google melalui Search, YouTube dan Discover. Ia juga membolehkan mereka untuk hadkan iklan dari kategori sensitif dan ketahui lebih lanjut mengenai maklumat yang digunakan untuk memperibadikan pengalaman iklan mereka. Dalam tiga bulan pertama selepas pelancaran, kami telah melihat lebih daripada 70 juta lawatan ke My Ad Center di seluruh dunia, dengan para pengguna melaraskan pilihan iklan mereka pada lebih daripada 20% jumlah keseluruhan lawatan tersebut.

Kami juga telah melabur untuk memberikan maklumat yang berguna kepada para pengguna tentang pengiklan kami dengan ketara. Pada tahun 2022, kami mula mengesahkan identiti pengiklan dan kini, kami mengesahkannya di lebih daripada 240 negara dan wilayah. Pada tahun 2021, kami melancarkan halaman pengiklan di Amerika Syarikat yang menunjukkan maklumat asas mengenai pengiklan yang disahkan seperti lokasi mereka, jenis perniagaan mereka dan iklan-iklan lain yang mereka telah jalankan baharu-baharu ini. Pada tahun 2022, kami mengembangkan program ini ke seluruh dunia.

Hari ini, kami berbesar hati untuk mengumumkan bahawa kami akan melancarkan alat ketelusan baharu, Ads Transparency Center, sebuah repositori boleh dicari yang penuh dengan pengiklan yang disahkan merentas semua platform kami, termasuk Search, Display dan YouTube, yang membolehkan orang ramai mencari pengiklan tertentu dan melihat halaman pengiklan tersebut.

Memandang ke Tahun 2023

Menyediakan pengalaman iklan yang selamat dan boleh dipercayai untuk para pengguna merupakan sebuah sumbangan penting kepada misi Google untuk mengatur maklumat dunia dan menjadikannya boleh diakses dan berguna secara universal. Sepanjang 2023, kami akan terus berusaha untuk memerangi penyalahgunaan merentas platform-platform kami sambil membantu para pengiklan dan penerbit mengembangkan perniagaan mereka.