Ahad, 2 April 2023

Bagaimana kami memerangi maklumat salah merentasi Asia Pasifik

Daripada ciri Search baharu kepada menyokong komuniti semakan fakta, Google membantu pengguna di Asia Pasifik mencari fakta menjelang Hari Penyemakan Fakta Antarabangsa.

Oleh Irene Jay Liu

Mempunyai alat untuk mencari maklumat berkualiti dan mengesan maklumat salah adalah penting - tetapi ia merupakan satu keperluan pada saat-saat terpenting, seperti ketika waktu krisis atau apabila anda sedang mencari maklumat sensitif seperti nasihat kesihatan atau kewangan. Berdasarkan Search Trends, Malaysia adalah antara 10 negara teratas di dunia yang mencari berita palsu pada tahun 2023, dengan minat carian terhadap maklumat salah dan disinformasi mencapai tahap tertinggi.

Menjelang Hari Penyemakan Fakta Antarabangsa, kami ingin mengakui detik-detik yang terdedah ini dan berkongsi beberapa cara kami memudahkan penduduk Asia Pasifik untuk menilai maklumat dalam talian.



Tidak lama lagi, anda akan mula melihat tiga titik di sebelah kebanyakan hasil di Google Search. Klik tiga titik tersebut untuk ketahui lebih lanjut mengenai hasil itu dan dari mana datangnya maklumat tersebut, dan lihat cara sistem kami menentukan jika ia berguna untuk menjawab pertanyaan anda. Ciri ini kini tersedia dalam semua bahasa utama Asia Pasifik, termasuk Bahasa Melayu, Jepun, Korea, Indonesia, Vietnam, Urdu, Cina Ringkas dan Tradisional, dan beberapa bahasa India. Dengan konteks tambahan ini, orang ramai boleh membuat keputusan yang lebih termaklum tentang laman web yang mereka mungkin ingin lawati, dan hasil yang paling berguna buat mereka.

Di YouTube, kami sedang mengembangkan panel maklumat yang memberikan konteks topikal ke Singapura, Pakistan, Papua New Guinea dan New Zealand. Kini, apabila orang ramai mencari video mengenai topik tertentu yang terdedah kepada maklumat salah (seperti perubahan iklim), mereka akan melihat sebuah panel maklumat di atas hasil carian atau bawah video yang sedang ditonton yang termasuk pautan kepada maklumat dan konteks tambahan dari sumber pihak ketiga yang berwibawa.

Ciri-ciri ini bukan sahaja kunci untuk membantu orang ramai memperolehi lebih banyak konteks sambil mereka cari dan tonton, tetapi juga untuk memastikan bahawa akses kepada maklumat berkualiti sentiasa tersedia. Itulah sebabnya kami turut menyokong rangkaian semakan fakta merentasi semua negara di rantau ini dengan menyediakan latihan maklumat salah untuk para wartawan. Sejak beberapa tahun lalu, kami telah melatih lebih daripada 177,500 wartawan di 17 negara dan wilayah di seluruh Asia Pasifik.

Atas usaha kami untuk menangani masalah maklumat salah, Google dan YouTube mengumumkan geran $13.2 juta kepada Rangkaian Penyemakan Fakta Antarabangsa (IFCN) di Institut Poynter untuk melancarkan Dana Semakan Fakta Global baharu pada November lalu. Dana itu akan dibuka dalam masa yang terdekat. Dana itu akan menyokong rangkaian IFCN yang terdiri daripada 135 organisasi penyemak fakta dari 65 negara, meliputi lebih 80 bahasa. Ini adalah geran terbesar Google dan YouTube dalam hal semakan fakta.


Di Malaysia, kami bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan, Undi18, untuk melancarkan laman web sehenti dipanggil Undi Negaraku di undinegaraku.org. Platform tersebut, yang dilancarkan pada November 2022, merupakan sebuah platform pendidikan pengundi dalam talian untuk membolehkan rakyat Malaysia - terutamanya lebih 5 juta pengundi kali pertama - mencari sumber untuk menyertai proses demokrasi pilihan raya umum lalu.


Selain daripada itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan sokongan Google News Initiative, juga telah melancarkan JOMCHECK MALAYSIA (JOMCHECK), perikatan akademi-media-masyarakat sivil pertama di Malaysia yang menghimpunkan pelbagai sektor, dari akademi dan saluran media ke masyarakat awam, untuk memerangi maklumat salah.

Di seluruh rantau ini, kerja kami diteruskan:

Di Indonesia pada Disember lepas, kami mengumumkan bahawa kami memberikan $1.2 juta untuk menyokong CekFakta - sebuah projek semakan fakta dan pengesahan kerjasama - dan juga para wartawan, penyemak fakta dan rakyat Indonesia untuk memerangi maklumat salah menjelang pilihan raya 2024.

Di India, kami menyokong Factshala, usaha literasi media kolaboratif yang diketuai oleh sebuah rangkaian lebih daripada 250 wartawan, pendidik media, organisasi bukan kerajaan, penyemak fakta dan 60+ stesen radio komuniti yang menjalankan program yang disesuaikan secara tempatan dalam lebih daripada 15 bahasa. Tahun ini, FactShala akan melancarkan program inkubator untuk bereksperimen dengan format literasi media baharu dan akan menjalankan kempen untuk para belia dan pengundi kali pertama.

Menjelang pilihan raya tempatan dan undian penting, kami telah menawarkan bengkel tentang pengesahan dan semakan fakta seperti ini, di Thailand. Kami juga telah menawarkan sesi seperti ini di Australia, Bangladesh, India, Indonesia, New Zealand, Pakistan dan Taiwan.

Cabang dermawan kami, Google.org, telah menyokong Persatuan Internet Lebih Selamat dengan geran $1.5 juta untuk menubuhkan Pusat Semak Fakta Jepun, yang menjalankan penyelidikan tentang trend dalam ruang dalam talian Jepun dan membantu masyarakt Jepun menjadi lebih celik media melalui kempen dan latihan maklumat salah.

Melalui Google.org, cabang dermawan Google, kami menyokong badan bukan untung seperti Pusat Semakan Fakta Taiwan, yang melatih lebih 10,000 warga emas dalam literasi media.

Melalui Google.org, cabang dermawan Google, Yayasan ASEAN (dan rakan-rakan pelaksananya) telah melengkapkan lebih 98,000 belia, warga emas dan wanita yang kurang mendapat perkhidmatan, seperti jurulatih kesihatan Ecep Setyadi (gambar), dengan kemahiran celik media dan keselamatan dalam talian melalui Program Literasi Digital ASEAN.


Kami juga ingin memastikan orang ramai mempunyai kemahiran yang betul untuk menganalisis maklumat dalam talian melalui program literasi media. Di YouTube, kami telah menjalankan program pendidikan yang dipanggil Hit Pause di beberapa negara Asia Pasifik termasuk India, Indonesia, Australia dan New Zealand.

Oleh kerana penyelidikan dan percubaan merupakan kunci untuk memerangi maklumat yang salah, kami juga tidak sabar untuk pasukan kami di Jigsaw membawa kerja mereka mengenai 'pra-bunking' ke Asia Pasifik akhir tahun ini. Pra-bunking, satu bentuk daya tahan awalan baharu terhadap maklumat salah yang membantu orang ramai melihat dan menafikan kandungan maklumat dalam talian yang mengelirukan, telah pun menunjukkan hasil yang kukuh di Eropah.

Menjelaskan fakta dan membantu khalayak ramai mendapatkan lebih banyak konteks tentang maklumat yang mereka temui dalam talian adalah sebahagian daripada misi kami untuk menjadikan maklumat dunia boleh diakses. Kami berterima kasih atas rakan-rakan kongsi kami dan kerja yang kami lakukan bersama untuk menjadikan setiap pengguna di Asia berasa lebih selamat dalam talian.