Oleh: Aparna Pappu, Naib Presiden dan Pengurus Besar, Google Workspace
Dari permulaannya, Google Workspace dibina bagi membolehkan anda untuk berkolaborasi dengan orang lain secara langsung. Kini, anda boleh berkolaborasi dengan kecerdasan buatan (AI). Kami telah membenamkan kuasa AI generatif merentas semua aplikasi Workspace. Ciri-ciri berikut boleh membantu anda menulis, mengatur, membayangkan, mempercepatkan aliran kerja, mengadakan mesyuarat yang lebih bermanfaat dan banyak lagi. Kami memanggil cara bekerja yang berkuasa ini sebagai Duet AI untuk Google Workspace.
Ia dibina atas visi untuk Workspace yang kami kongsikan pada bulan Mac lalu dan pelancaran ciri-ciri AI generatif dalam Gmail dan Google Docs untuk para penguji yang dipercayai. Kami amat teruja melihat cara orang ramai mula menggunakan alat-alat ini untuk membantu mereka menyelesaikan tugasan mereka pada waktu kerja dan dalam kehidupan peribadi mereka – termasuk e-mel jangkauan pelanggan, permohonan kerja, rancangan projek dan banyak lagi. Membantu orang ramai menulis dengan lebih baik merupakan sesuatu yang telah kami usahakan selama bertahun-tahun — untuk tahun lepas sahaja, tatabahasa, semakan ejaan, karangan pintar dan balasan dikuasakan AI kami telah membantu orang ramai menulis lebih 180 bilion kali.
Bantu anda menulis di mana sahaja
Duet AI sudah mula bekerja di belakang tadbir dalam Workspace untuk membantu anda menulis – sama ada memperhalusi kerja sedia ada atau membantu anda bermula dalam Gmail dan Docs. Kami kini membawa pengalaman tersebut ke aplikasi Gmail mudah alih – bayangkan menggunakan telefon anda dan mempunyai kebolehan untuk draf respons lengkap dengan hanya beberapa perkataan sebagai gesaan. Pelancaran permulaan mudah alih kami akan diikuti oleh bantuan kontekstual – membolehkan anda menulis balasan professional yang mengisi nama dan maklumat berkaitan lain secara automatik.
Cipta imej asli dari teks di Google Slides
Sekeping gambar bernilai seribu perkataan, tetapi sehingga kini, ciptaan visual yang unik dan menarik untuk pembentangan merupakan sebuah proses manual yang mengambil masa yang panjang. Kami membenamkan Duet AI dalam Slides supaya anda boleh menjana imej dengan mudah menggunakan beberapa perkataan – kuasa sebenar model-model imej ini ialah mereka boleh membayangkan sesuatu yang tidak pernah wujud. Mungkin anda seorang pemasar yang sedang melakukan sumbang saran konsep awal dengan agensi kreatif anda untuk sebuah kempen menghiburkan bertujuan untuk mengajak warga Paris ke sebuah safari, dan anda ingin menyediakan input visual yang jelas pada awal proses untuk mengelakkan kerja terbuang di kemudian hari. Kini, anda boleh menjana sebuah visual asli yang menyampaikan visi artistik anda yang unik, semuanya daripada satu gesaan ringkas.
Kini, anda boleh menjana sebuah imej unik untuk pembentangan Slides dengan bantuan Duet AI.
Tukar idea kepada tindakan dan data kepada cerapan dengan Google Sheets
Duet IA boleh membantu anda menganalisis dan bertindak atas data anda dalam Sheets lebih pantas berbanding sebelum ini dengan klasifikasi data automatik dan ciptaan rancangan tersuai.
Alat-alat klasifikasi memahami konteks data dalam sebuah sel, dan boleh letakkan sebuah label kepadanya, membantu menghapuskan beban kemasukan data manual. Sama ada anda salah seorang daripada ahli pasukan pembangunan produk yang sedang menganalisis sentimen maklum balas pengguna, atau seorang perekrut sumber manusia yang sedang merumuskan input daripada temuduga, ini dapat menjimatkan masa dan usaha dalam proses pembangunan analisis yang jelas dan menarik secara visual.
Keupayaan bantu saya atur baharu kami dalam Sheets mencipta rancangan tersuai untuk tugas, projek atau sebarang aktiviti yang anda ingin jejak atau urus secara automatik – terangkan sahaja apa yang anda ingin capai, dan Sheets akan menjana sebuah rancangan yang akan membantu anda jadi lebih teratur. Sama ada anda adalah salah seorang daripada ahli pasukan acara yang sedang merancang sebuah persidangan jualan tahunan atau seorang pengurus yang sedang menyelaras pasukan di luar tapak, Duet AI boleh membantu anda mencipta rancangan teratur dengan alat yang akan memberi anda kelebihan.
Pupuk hubungan yang lebih bermakna dalam Google Meet
Kami telah memasukkan Duet AI dalam Meet dan memperkenalkan kebolehan menjana latar belakang unik untuk panggilan video anda. Ini membantu para pengguna meluahkan perasaan mereka dan memperdalam hubungan semasa panggilan video sambil melindungi privasi persekitaran mereka. Bayangkan seorang pengurus meraikan pekerja terbaik bulanan dengan sebuah kolaj visual penuh dengan perkara kegemaran mereka semasa mesyuarat dewan bandar syarikat, atau seorang eksekutif jualan berpanggilan dengan seorang pelanggan berpotensi dan menggunakan latar belakang tersuai untuk menunjukkan industri atau pasaran pelanggan tersebut. Ia merupakan sentuhan peribadi yang tidak ketara untuk menunjukkan bahawa anda mengambil berat tentang orang yang anda sedang hubungi dan perkara yang penting kepada mereka. Dan anda boleh mengubah visual tersebut dengan sebuah visual yang sama menakjubkan dan asli – hanya dengan beberapa klik.
Pastikan anda kekal dalam aliran projek dengan blok binaan AI dalam Docs
Para pengguna memberitahu kami bahawa mereka suka kanvas pintar kerana sebutan @ yang ringkas boleh menjimatkan masa mereka dengan memastikan pasukan mereka fokus dan bekerjasama dalam dokumen yang mereka sedang kerjakan. Kini, kami telah mengintegrasikan keupayaan-keupayaan ini dalam pengalaman menulis bantuan baharu dalam Docs. Jika anda sedang menulis sebuah penerangan pekerjaan, Duet AI bukan sahaja akan membantu anda menulis kandungan tersebut, ia juga akan memasukkan cip pintar untuk maklumat seperti lokasi dan status, dan pembolehubah untuk butiran yang ingin anda sesuaikan seperti nama syarikat anda – membantu anda beralih dari tahap konsep ke tahap penyelesaian dengan lebih cepat tanpa meninggalkan dokumen anda.
Model neural untuk tatabahasa kami yang baharu dinaik taraf telah membantu orang ramai menjana penulisan gred profesional – bukan sahaja dalam bahasa Inggeris, tetapi juga dalam bahasa Sepanyol, Perancis, Jepun dan banyak lagi. Kini, kami membawa keupayaan yang lebih berkuasa untuk bantu orang dengan penyuntingan, nada, dan gaya dalam penulisan mereka. Anda akan dapat melihat sebuah anak tetingkap cadangan baca pruf baharu yang menawarkan cadangan untuk penulisan yang ringkas, mengelakkan pengulangan dan memanfaatkan suara yang lebih formal atau aktif. Selain itu, ia memberikan anda kawalan sepenuhnya apabila anda melihat cadangan baca pruf dan cara anda bertindak ke atas cadangan tersebut.
Bantu pengguna menyerlahkan kreativiti sambil meningkatkan produktiviti
Sejak bulan Mac, kami telah menyambut beberapa ratus ribu penguji yang dipercayai ke Workspace Labs. Para penguji tersebut datang dari organisasi-organisasi perusahaan dan institusi-institusi pendidikan serta orang ramai yang mengguna Workspace dalam kehidupan peribadi mereka. Kami telah menerima galakan – dan juga ilham – dari maklum balas mereka.
Pastikan para pelanggan mempunyai kawalan
Kami tahu bahawa AI bukanlah pengganti ketelusan, kreativiti dan kepintaran individu sebenar. Kami mereka bentuk produk-produk kami mengikut Prinsip AI Google yang memberi kawalan kepada pengguna, membenarkan AI membuat cadangan yang anda boleh terima, sunting dan ubah. Kami juga akan menyampaikan kawalan pentadbiran yang sepadan supaya pasukan IT boleh menetapkan dasar yang betul untuk organisasi mereka.
Daftar untuk Workspace Labs
Cara terbaik untuk ketahui lebih lanjut mengenai AI dalam Workspace adalah untuk gunakannya. Jadi, kami amat teruja untuk membuka Workspace Labs kepada orang ramai dan mengurus senarai tunggu sambil kami membukanya kepada lebih ramai pengguna dan negara pada minggu-minggu akan datang.