Oleh: Sissie Hsiao, Naib Presiden dan Pengurus Besar, Assistant dan Bard di Google
Tidak lebih daripada dua bulan sejak kami melancarkan Bard, eksperimen kami yang membolehkan anda berkolaborasi dengan AI generatif, dan saya kagum untuk melihat bagaimana orang ramai telah berinteraksi dengannya secara kreatif dan imaginatif . (Contohnya, saya telah mendapat beberapa idea yang menyeronokkan untuk membantu mengajar pecahan kepada anak saya yang berusia 7 tahun!)
Sejak kami melancarkan Bard - pada mulanya di Amerika Syarikat dan United Kingdom - kami telah menerima agak banyak maklum balas dan telah menyesuaikannya dengan cepat untuk meningkatkan pengalaman anda dengannya. Baru-baru ini, kami telah memindahkan Bard ke PaLM 2, sebuah model bahasa besar yang lebih berupaya, yang telah membolehkan banyak usaha penambahbaikan terkini kami – termasuk matematik lanjutan dan kemahiran penaakulan serta keupayaan pengekodan. Dalam beberapa minggu yang lalu, pengekodan telah menjadi salah satu perkara paling popular yang dilakukan oleh orang ramai dengan Bard.
Namun, momentum awal ini hanyalah permulaan. Hari ini, kami akan memperkenalkan cara baru anda boleh berkolaborasi dengan Bard, dan kami akan berkongsi lebih banyak mengenai visi kami untuk masa hadapan.
Menawarkan Bard kepada lebih ramai orang
Sambil kami membuat penambahbaikan tambahan dan memperkenalkan ciri-ciri baru, kami ingin menawarkan Bard kepada lebih ramai orang supaya mereka boleh mencubanya dan berkongsi maklum balas mereka bersama kami. Jadi, hari ini, kami akan berhenti menggunakan senarai tunggu dan melancarkan Bard di lebih daripada 180 negara dan wilayah – dengan lebih banyak akan datang tidak lama lagi.
Bukan itu sahaja, Bard kini tersedia dalam bahasa Jepun dan Korea, dan kami akan dapat menyokong 40 buah bahasa tidak lama lagi. Seperti yang kami katakan sebelum ini, model-model bahasa besar masih merupakan teknologi baru yang mempunyai batasan. Jadi, tatkala kami berkembang, kami akan pastikan untuk sentiasa mengekalkan piawaian yang tinggi untuk kualiti dan nuansa tempatan sambil memastikan kami mematuhi Prinsip AI kami.
Membuat interaksi anda dengan Bard lebih visual
Tidak lama lagi, Bard akan menjadi lebih visual dalam balasannya dan gesaan anda. Anda akan boleh menanyakannya soalan seperti, “Apakah beberapa tempat yang mesti dikunjungi di New Orleans?” – dan selain daripada teks, anda akan mendapat balasan berguna di samping visual terperinci untuk memberi anda gambaran yang lebih baik tentang perkara yang anda sedang terokai.
Anda juga boleh memasukkan imej – di samping teks – dalam gesaan anda, membolehkan anda untuk meningkatkan imaginasi dan kreativiti anda dengan cara baru. Untuk melaksanakan perkara ini, kami membawa kuasa Google Lens terus ke Bard. Katakan anda ingin mencipta sesuatu yang seronok menggunakan gambar anjing anda. Anda boleh memuat naiknya dan menggesa Bard untuk "menulis kapsyen lucu tentang kedua-dua ini." Menggunakan Google Lens, Bard akan menganalisis foto, mengesan baka anjing dan mendraf beberapa kapsyen kreatif — semuanya dalam beberapa saat.
Memperkenalkan peningkatan pengekodan dan ciri-ciri eksport
Ia penting untuk kami membina Bard di samping orang, kerana maklum balas merupakan kunci untuk meningkatkannya. Sebagai sebahagian daripada usaha tersebut, kami menggabungkan maklum balas pembangun ke dalam beberapa peningkatan pengekodan utama, termasuk yang berikut:
- Petikan sumber: Mulai minggu hadapan, petikan akan menjadi lebih tepat. Jika Bard membawa masuk satu blok kod atau memetik kandungan lain, klik anotasi tersebut dan Bard akan menggariskan bahagian respons tersebut dan memautnya ke sumber.
- Tema gelap: Hari ini, kami melancarkan tema Gelap, iaitu satu lagi ciri yang diminta oleh para pembangun – dan satu ciri yang kami fikir akan menjadikan interaksi dengan Bard lebih senang untuk mata anda.
- Butang “Eksport”: Kami mendapati bahawa para pembangun suka ciri eksport ke Colab, jadi tidak lama lagi, kami akan menambah kebolehan untuk eksport dan menjalan kodkan bersama rakan kami, Replit, bermula dengan Python.
Dan kerana orang ramai sering meminta pertolongan daripada Bard untuk memulakan draf e-mel dan dokumen, hari ini, kami akan melancarkan dua lagi Tindakan Eksport, menyenangkan proses pemindahan respons Bard terus ke Gmail dan Docs. Sebagai contoh, katakan – seperti saya – anda seorang peminat tegar pickleball. Anda boleh meminta Bard untuk menulis sebuah jemputan e-mel untuk liga pickleball baru anda, merumuskan peraturan permainan tersebut dan menonjolkan keterangkumannya dari semua peringkat umur dan peringkat. Hanya klik butang “draf dalam Gmail” supaya anda boleh membuat perubahan saat akhir sebelum memulakan liga pickleball anda.
Hubungi Bard dengan perkhidmatan yang anda sayangi
Pada masa hadapan, kami akan memperkenalkan cara baharu untuk meningkatkan imaginasi dan rasa ingin tahu anda dengan mengintegrasikan aplikasi dan perkhidmatan Google yang mungkin anda sudah gunakan – Docs, Drive, Gmail dan lain-lain – terus dalam pengalaman Bard. Dan tentu sekali, anda akan sentiasa mempunyai kawalan atas tetapan privasi anda apabila anda sedang memutuskan cara anda ingin menggunakan alatan dan sambungan tersebut.
Bard juga akan boleh mengakses pelbagai jenis perkhidmatan dari seluruh web, dengan sambungan daripada rakan luar, untuk membolehkan anda melakukan perkara yang tidak pernah dilakukan. Dalam beberapa bulan akan datang, kami akan mengintegrasikan Adobe Firefly, keluarga model generatif AI kreatif Adobe, dalam Bard supaya anda boleh menukar idea kreatif anda kepada imej berkualiti tinggi yang anda boleh sunting dengan lebih lanjut atau menambahkan ke reka bentuk anda dalam Adobe Express dengan senang dan cepat.
Katakan saya sedang merancang majlis hari jadi untuk anak saya yang berusia 7 tahun yang sukakan unikorn, dan saya inginkan sebuah imej yang menarik untuk dihantar bersama jemputan majlis tersebut. Saya hanya perlu tanya Bard: “Reka sebuah imej yang mengandungi seekor unikorn dan sebuah kek di sebuah majlis kanak-kanak” – dan ia akan menjana sebuah imej dalam beberapa saat, sambil mematuhi piawaian kualiti dan tanggungjawab etika tinggi Adobe.
Kami inginkan Bard untuk menjadi sebuah pusat untuk kreativiti, produktiviti dan rasa ingin tahu anda – jadi kami sedang berusaha untuk menghubungkan Bard dengan aplikasi Google berguna dan lebih banyak rakan kami, termasuk Kayak, OpenTable, ZipRecruiter, Instacart, Wolfram dan Khan Academy.
Masa hadapan Bard amat cerah – menghubungkan alat dari Google dan perkhidmatan hebat di seluruh web, untuk bantu anda membuat dan mencipta apa sahaja yang anda boleh bayangkan, melalui kerjasama lancar dengan model bahasa besar kami yang paling berkebolehan. Apabila kita menggabungkan imaginasi manusia dengan keupayaan generatif AI Bard, kemungkinannya tidak terbatas. Kami tidak sabar untuk melihat apa yang anda akan cipta dengannya.