Rabu, 5 Julai 2023

Google mengumumkan Sijil Kerjaya Google baharu bagi memupuk bakat digital di Malaysia

Memandangkan permintaan untuk bakat digital di Malaysia terus meningkat, Google hari ini mengumumkan dua Sijil Kerjaya Google yang  baharu: Perisikan Perniagaan dan Analisis Data Lanjutan. Sijil-sijil ini dirangka berdasarkan kemahiran asas daripada program Sijil Analisis Data Google dan direka untuk membantu orang ramai meningkatkan kemahiran teknikal mereka dengan alatan seperti BigQuery, Python dan SQL. Sijil baharu ini adalah sebahagian daripada program Gemilang oleh Google, yang dilancarkan di Malaysia pada tahun lepas.


Laporan baharu yang dilancarkan hari ini bertajuk Merapatkan jurang kemahiran: Menjana kerjaya dan ekonomi di Malaysia oleh Economist Impact, yang disokong oleh Google, memperkukuh permintaan kemahiran digital yang semakin meningkat. Penemuan utama daripada laporan itu termasuk: 

  • Kemahiran digital merupakan keutamaan bagi para pekerja di Malaysia: 65% pekerja di Malaysia menganggap kemahiran digital adalah paling penting dalam kalangan tenaga kerja hari ini, dengan kebanyakannya masih mengutamakan kemahiran digital asas (83.1%). Kemahiran digital lanjutan seperti kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin (ML), pengkomputeran awan dan keselamatan siber juga semakin penting.

  • Para pekerja Malaysia menghargai kemahiran insaniah: Lebih ramai pekerja di Malaysia menganggap kemahiran insaniah adalah penting (54%) berbanding di seluruh rantau (41.2%), mengatasi pekerja-pekerja di negara seperti Singapura (51%) dan Hong Kong (47%). Para pekerja memberi penekanan khusus kepada komunikasi antara perorangan dan antara budaya (81.5%).

  • Kerjasama antara majikan dan kerajaan boleh menyokong keperluan peningkatan kemahiran: Para pekerja di Malaysia meletakkan sebahagian besar tanggungjawab peningkatan kemahiran kepada majikan. Pihak kerajaan juga boleh memainkan peranan penting dalam menyediakan sokongan kewangan dan bekerjasama dengan majikan untuk menangani jurang maklumat tentang jenis kemahiran yang diperlukan.


Menurut Jabatan Statistik Malaysia, Malaysia telah mencapai status negara yang semakin berumur dengan kadar pengangguran belia berada pada 11.1%, dan turut menambah kerumitan kepada pasaran buruh. Melalui inisiatif seperti program Gemilang, Google membantu merapatkan jurang kemahiran digital di dalam kalangan masyarakat yang terdiri daripada kumpulan dan latar belakang yang berbeza dengan menyediakan akses kepada kemahiran digital serta memberi peluang kerjaya dalam bidang yang berkembang pesat.


“Google komited untuk membantu Malaysia membina saluran bakat yang mampan dan kami melihat hasil yang menggalakkan daripada program Gemilang kami yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan kongsi sektor awam dan swasta kami. Terdapat lebih 3,500 graduan Gemilang di Malaysia, dan lebih 80% daripada mereka melaporkan hasil kerjaya yang positif seperti pekerjaan baharu, kenaikan pangkat atau kenaikan gaji dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan program ini,” kata kata Joanne Bala, Ketua Hal Ehwal Kerajaan dan Dasar Awam, Google Malaysia. “Kini kami mengumumkan sijil lanjutan baharu dalam perisikan perniagaan dan analisis data lanjutan yang akan membantu orang ramai memperoleh kemahiran teknikal yang mereka perlukan untuk berkembang dalam kerjaya mereka - sama ada ia mengambil peranan baharu, memikul lebih banyak tanggungjawab atau memperoleh kelebihan daya saing.”


Sijil Perisikan Perniagaan Google akan menyediakan rakyat Malaysia untuk pekerjaan seperti penganalisis risikan perniagaan dan jurutera risikan perniagaan dalam masa kurang dari dua bulan. Sijil Analisis Data Lanjutan Google akan menyediakan rakyat Malaysia untuk pekerjaan seperti penganalisis data kanan dan saintis data muda dalam tempoh kurang dari enam bulan.


Program Gemilang juga menawarkan biasiswa Sijil Kerjaya Google untuk golongan belia, kaum wanita dan komuniti yang terabai dan disalurkan melalui rakan kongsi tempatan seperti Girls in Tech, Malaysia Board of Technologies, Malaysian Digital Association, Mereka Academy, SEGi University & Colleges, Trainocate, Universiti Teknologi Malaysia dan Yayasan Tunku Abdul Rahman.


Dalam menyokong usaha di Malaysia, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, “Untuk Malaysia kekal relevan dan berdaya saing dalam ekonomi digital yang sentiasa berkembang pada skala global, kerjasama antara pemain-pemain industri dan para pekerja untuk menangani jurang kemahiran dalam masa kini dan pasaran kerja masa hadapan merupakan keutamaan yang besar. Kami berbesar hati mempunyai rakan kongsi seperti Google yang komited untuk menyediakan lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia untuk maju seiring teknologi, sekali gus menyumbang kepada pengukuhan struktur ekonomi Malaysia”.


Khairunnisa Razali, seorang graduan Gemilang baru-baru ini dalam bidang Analisis Data berkata, “Program Gemilang direka untuk membantu mereka yang memerlukan, terutamanya untuk kaum wanita yang ingin memulakan kerjaya mereka dalam bidang teknologi, atau untuk meningkatkan kemahiran sedia ada mereka. Untuk kekal relevan dalam dunia digital ini, saya tahu bahawa saya perlu meningkatkan kemahiran diri saya dengan pengetahuan di luar bidang pengkhususan saya iaitu bioperubatan. Melalui Sijil Kerjaya Google, saya dapat melengkapkan pendaftaran saya bagi bidang Sarjana Analisis Perniagaan dengan asas yang dipelajari melalui kursus Analisis Data Google. Hasilnya, saya dapat membuat peralihan kerjaya daripada industri farmaseutikal kepada pengendalian analisis data dalam industri penerbangan. Saya percaya Gemilang adalah pemboleh untuk lebih ramai wanita beralih kerjaya mereka ke dalam ekonomi digital.”


“Oleh kerana teknologi terus berkembang, adalah penting bagi saya untuk memastikan bahawa kemahiran saya juga seiring dengan permintaan dan trend teknologi semasa,” kata Muhammad Zul Aiman bin Zulkifli, seorang Penganalisis Data dan juga graduan Analisis Data baru-baru ini. “Sewaktu saya memulakan kerjaya saya sebagai seorang Penganalisis Data, tanggungjawab utama saya tertumpu pada kerja-kerja pentadbiran data dan kemasukan data. Setelah menamatkan kursus Analisis Data Google, saya dapat melanjutkan kerjaya saya dalam organisasi yang menumpukan pengurusan data di mana saya kini menyediakan penyelesaian berasaskan data terus kepada pelanggan. Selain peluang yang hadir, kursus ini turut membolehkan saya meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah serta membantu menyemai tabiat pembelajaran kendiri.”


Gemilang juga melibatkan konsortium majikan yang komited untuk mempertimbangkan pengambilan graduan Sijil Kerjaya Google untuk jawatan-jawatan kosong mereka. Untuk meningkatkan kebolehpasaran, kredibiliti dan daya saing pencari kerja dalam pasaran buruh, Google telah bekerjasama dengan Maukerja untuk melancarkan Konsortium Majikan Gemilang di laman webnya maukerja.my. Para graduan Gemilang kini boleh memohon pekerjaan dalam permintaan yang ditawarkan oleh Konsortium Majikan Gemilang di sini.