Aliran pertumbuhan positif merentas sektor digital
Ekonomi digital Malaysia telah berkembang ke arah keuntungan sambil mengekalkan pertumbuhan dua angka untuk NBK. Penyertaan digital yang lebih mendalam dalam kalangan pengguna, strategi pengewangan yang berkesan dan pemulihan sektor yang terjejas oleh pandemik dijangka memacu pertumbuhan yang berterusan.
E-dagang: E-dagang kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi digital. Sektor tersebut telah berkembang sebanyak 17% kepada $16 bilion dalam NBK pada 2024, apabila platform e-dagang utama melabur semula dalam pertumbuhan NBK, di samping peningkatan perdagangan video.
Perjalanan dalam talian menunjukkan perkembangan NBK yang paling pesat berbanding dengan sektor-sektor lain pada 19% tahun ke tahun (yoy) untuk mencapai $8 bilion dalam NBK pada 2024 tatkala perjalanan antarabangsa Malaysia mengalami pemulihan yang teguh dan dijangka melebihi paras pra-pandemik pada 2024. Perbelanjaan dalam perjalanan antarabangsa telah melonjak sebanyak 330% sejak 2020 selepas rakyat Malaysia mengambil kesempatan ini untuk melancong ke luar negara, terutamanya di rantau Asia Pasifik, yang menyumbang 38% daripada perbelanjaan keluar.
Pengunjung Asia Tenggara menyumbang hampir separuh (49%) daripada perbelanjaan pengembara masuk Malaysia, dipacu oleh beberapa faktor termasuk sambungan udara yang lebih baik, perkongsian syarikat penerbangan strategik dan kadar pertukaran yang menggalakkan.
Platform-platform penghantaran makanan semakin tertumpu pada peningkatan keuntungan melalui aliran hasil baharu seperti pilihan penghantaran berperingkat dan pelan langganan, manakala keamatan kompetitif kekal tinggi dalam panggilan tunggangan disebabkan oleh kemasukan pemain baharu dan pengembangan pemain sedia ada.
Media dalam talian di Malaysia telah menunjukkan perkembangan konsisten dengan NBK negara dijangka untuk meningkat sebanyak 10% daripada $3 bilion pada 2023 kepada $4 bilion pada 2024, dipacu oleh peningkatan populariti kandungan digital, permainan dan perkhidmatan penstriman.
Perkhidmatan kewangan digital meneruskan trajektori meningkat berikutan pelbagai bank digital Malaysia menawarkan ciri yang menarik dan kemudahan akses, menyumbang kepada pertumbuhan pesat landskap PKD. Pembayaran digital dijangka untuk mencapai $172 bilion pada 2024, peningkatan sebanyak 5% daripada 2023, manakala kekayaan digital dijangka berkembang dengan ketara dan mencapai aset di bawah pengurusan (AUM) kira-kira $80 bilion menjelang 2030.
Malaysia untuk merebut peluang AI
Kecerdasan Buatan (AI) sedang mengubah landskap digital Malaysia sambil kerajaan terus memberi penekanan kepada pembangunan dan penggunaan AI yang bertanggungjawab melalui Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan 2021-2025 dan pelancaran Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) yang akan datang.
Malaysia juga merupakan antara 10 negara teratas di dunia yang memacu minat carian AI, terutamanya dalam sektor pendidikan, pemasaran dan permainan, dengan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Selangor memacu negara dalam minat AI.
Dengan lebih banyak syarikat menggunakan AI untuk berinovasi, meningkatkan kecekapan dan pengalaman pelanggan serta menghidupkan idea baharu, permintaan untuk infrastruktur AI akan terus berkembang. Untuk memenuhi permintaan ini, Malaysia telah merekodkan pelaburan infrastruktur AI yang besar di kalangan negara-negara Asia Tenggara pada $15 bilion pada enam bulan pertama 2024. Laporan tersebut menganggarkan kapasiti pusat data semasa Malaysia adalah pada 120MW dan menjangkakan ia akan berkembang 5X pada tahun-tahun akan datang.
Malaysia telah merebut peluang AI melalui inisiatif-inisiatif strategik seperti KL20, yang akan memperkukuhkan ekosistem syarikat permulaan melalui insentif untuk industri berteknologi tinggi, pengecualian cukai ke atas pelaburan asing dan satu bilion dolar dalam pembiayaan kerajaan untuk syarikat permulaan di Malaysia dan rantau ini.
“Memandangkan Malaysia menyandang jawatan Pengerusi ASEAN tahun depan, kami menyasarkan untuk menjadi juara serantau bagi dasar digital yang berpandangan ke hadapan dan transformatif, untuk menggalakkan persekitaran kawal selia yang menggalakkan kemajuan teknologi, dan untuk memupuk kerjasama rentas sempadan. Laporan e-Konomi ini bukan sekadar laporan; ia berfungsi sebagai pengesahan kuat usaha kami dan merupakan bukti potensi besar yang menanti negara untuk masa depan digital Malaysia. Ini adalah seruan untuk kita semua—kerajaan, sektor swasta, dan rakyat Malaysia—untuk bekerjasama dan merealisasikan potensi digital penuh negara kita. Marilah kita merebut peluang ini dan, bersama-sama, membina Malaysia yang diperkasa secara digital yang makmur, inklusif, dan mampan,” kata YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital, yang diwakili pada majlis itu oleh Encik Fabian Bigar, Ketua Setiausaha Kementerian Digital.
“Kami telah melihat pertumbuhan kukuh yang konsisten dalam ekonomi digital Malaysia dan tahun ini merupakan satu lagi bukti kukuh terhadap potensi ekonomi digital Malaysia. Dengan tumpuan rantau ini pada AI, ia adalah menggalakkan untuk melihat pemimpin-pemimpin negara meletakkan AI dan semikonduktor dalam senarai keutamaan negara,” kata Farhan Qureshi, Pengarah Negara untuk Google Malaysia. “Di Google, kami komited untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi digital Malaysia dengan mempercepatkan tenaga kerja tempatan dengan kemahiran dan alatan sedia AI. Daripada melengkapkan belia dengan kemahiran sedia masa hadapan dalam AI melalui biasiswa Sijil Kerjaya Google hinggalah penggunaan Google Workspace di kalangan pegawai awam, kami berdedikasi untuk memastikan Malaysia kekal di barisan hadapan era digital,” tambah beliau.
“Ekonomi digital Asia Tenggara terus menunjukkan prestasi yang baik, dengan dua angka dalam NBK yang berterusan dan pertumbuhan hasil serta lonjakan dalam keuntungan merentas sektor yang diterajui oleh pemain utama. Begitu juga di Malaysia, di mana kita dapat melihat ekonomi digital yang sihat dipacu oleh e-dagang, perjalanan dalam talian dan perkhidmatan kewangan digital. Selepas penerimaan gangguan digital oleh sektor PKD Malaysia, teknologi baharu seperti AI akan digunakan untuk mempercepatkan pertumbuhan. Untuk memanfaatkan potensi transformatif Generatif AI dengan sepenuhnya, perniagaan mesti melangkaui tahap percubaan dan melabur dalam elemen-elemen asas—menyelaraskan inisiatif AI dengan objektif perniagaan teras untuk menangani masalah dunia sebenar dan mencipta nilai ketara, mengukuhkan bakat AI, dan membina infrastruktur berskala dan boleh disesuaikan untuk pertumbuhan yang berterusan,” kata Amanda Chin, Rakan Kongsi, Bain & Company.
“Pelaburan dalam infrastruktur AI dan minat yang semakin meningkat di kalangan rakyat Malaysia dalam teknologi AI menandakan masa depan yang cerah bagi ekonomi digital negara. Seiring landskap digital yang terus berkembang hasil daripada inisiatif strategik kerajaan, adalah penting untuk mengutamakan keselamatan digital bagi melindungi data, mengekalkan kepercayaan, dan memastikan kemajuan berterusan dalam sektor digital,” kongsi Geia Lopez, Ketua Data, Cerapan, dan Perkembangan Antarabangsa, Google Asia Tenggara.