Tiba sudah bulan Ramadan dan Hari Raya pula bakal menjelang - perniagaan harus terus menyesuaikan diri dengan perkembangan persekitaran yang didorong pandemik ini. Dengan majoriti pembeli dijangka beralih ke dalam talian pada musim perayaan dalam menjaga norma penjarakan sosial dan langkah-langkah keselamatan, terdapat keperluan yang lebih besar daripada sebelumnya untuk perniagaan-perniagaan meningkatkan kehadiran dalam talian mereka.
Bagi kebanyakan warga Malaysia, pandemik ini tidak melunturkan semangat mereka untuk membeli-belah. Malah, statistik daripada laporan e-Conomy SEA 2020 menunjukkan bahawa pertumbuhan e-dagang Malaysia dijangka mengatasi negara-negara Asia Tenggara yang lain pada 87%. Dengan peningkatan warga Malaysia dalam mencari dan membeli secara dalam talian untuk persiapan Raya, kehadiran dalam talian anda lebih penting dari sebelumnya.
Di sini, kami kongsikan 5 tip untuk mempertingkatkan kehadiran digital perniagaan anda sebagai persediaan untuk menerima kunjungan para pembeli Ramadan dan Raya dengan Google My Business:
1. Berhubung dengan bakal pelanggan dalam komuniti. Tuntut Profil Perniagaan percuma anda untuk mengurus bagaimana perniagaan anda muncul di Carian dan Peta Google. Pencarian untuk "berdekatan dengan saya" telah meningkat 4X di Malaysia dalam tiga tahun kebelakangan ini1, dengan jelas menunjukkan bahawa pembeli beralih ke digital untuk mencari keperluan mereka yang berdekatan.
2. Pastikan pelanggan anda mempunyai maklumat terkini. Apabila pembeli mencari perniagaan berdekatan dengan mereka, mereka ingin mencari jawapan kepada soalan mereka dengan pantas. Adakah anda mempunyai menu, gambar produk atau waktu operasi yang baharu? Pastikan maklumat ini dikemas kini untuk memudahkan pelanggan anda menyokong perniagaan anda.
3. Tarik perhatian pelanggan dengan tawaran Ramadan. Tinjauan menunjukkan bahawa 50% pelanggan mencari promosi atau diskaun ketika mencari perniagaan dalam talian2. Tarik perhatian pelanggan dengan menyiarkan promosi Ramadan atau tawaran istimewa di profil anda.
4. Kongsi bagaimana pelanggan boleh berurus niaga dengan anda. Sama ada anda menawarkan pilihan ambil sendiri dari kedai, makan di lokasi, atau pilihan penghantaran - dengan semua yang sedang berlaku sekarang, pelanggan mencari ketenangan ketika berbelanja. Maklumkan mereka mengenai protokol keselamatan COVID-19 yang telah anda laksanakan dengan mengemas kini Profil Perniagaan anda di Google.
5. Permudahkan cara pelanggan boleh menghubungi anda. Pastikan nombor telefon anda terpapar dengan betul dan aktifkan fungsi pemesejan di profil anda supaya pelanggan dapat menghubungi anda dengan mudah melalui Carian dan Peta Google untuk sebarang pertanyaan.
Sekiranya anda bersedia untuk membawa perniagaan anda dalam talian atau meningkatkan kehadiran digitalnya, ikuti bengkel kemahiran digital maya percuma kami, Mahir Digital Bersama Google di mana pelatih kami yang diperakui berkongsi peralatan dan sumber-sumber percuma untuk membantu anda melakukan peralihan ke digital dan mengekalkan hubungan erat dengan pelanggan anda. Sekiranya anda lebih suka belajar mengikuti kelapangan anda sendiri, muat turun aplikasi Google Primer dari Play Store atau App Store untuk mendapatkan pelajaran-pelajaran yang mudah difahami mengenai perniagaan dan pemasaran digital.
Rujukan:
1Google Trends, Malaysia, Jan 1, 2019 - Dec 31, 2019 vs. Jan 1, 2020 - Dec 31, 2020
2Google/Ipsos research, Benefits of a Complete Listing, October 2017
‘Generasi YouTube: Sembang Sejuta’ mengetengahkan saluran-saluran yang mencabar batasan kreativiti, peka akan trend semasa, dan menjaga komuniti pengikut mereka
Tahun 2020 telah memperkenalkan kita kepada pelbagai cabaran yang tidak dijangka, dan ramai yang beralih ke YouTube - sama ada pencipta mahupun penonton - untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa dan mencari cara baru dan kreatif untuk berhubung sesama ahli komuniti setempat - sama ada dalam bentuk video yang berkaitan dengan makanan, senaman, atau hiburan - ataupun untuk mempelajari kemahiran baru bagi menjana pendapatan.
Dalam sesi maya Generasi YouTube (Gen YT) bertemakan "Sembang Sejuta", para pencipta kandungan YouTube Afiq Aiman dari AAC Dream, Zarol Zarif, Ecah Daud, dan Amri Aziz dari Cikidot Channel, serta Ekram Mahat dari Kupi Kupi GO berkongsi perjalanan YouTube masing-masing dan pandangan mengenai pencapaian mereka dalam meraih sejuta pelanggan di YouTube.
Afiq Aiman, seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda di UiTM dalam jurusan teknologi animasi kreatif, dikenali dengan kandungan animasi 3D, imej janaan komputer (CGI) dan kesan visual yang diilhamkannya dari permainan dan filem popular yang viral. Dia mengasah bakatnya menerusi pembelajaran kendiri, dan memetik juru-juru animator global seperti Corridor, Shutter Authority, Rate VFX serta bakat-bakat tempatan seperti Sofyank dan VS GAG sebagai inspirasi yang telah membantunya di sepanjang perjalanan.
Saluran Afiq, AAC Dream, terkenal dengan gabungan penceritaan kreatif, kecanggihan teknikal, dan trend semasa yang sempurna. Sama ada ia watak tempatan atau adiwira yang popular, Afiq memilih kandungan tersohor kini dan memberi nafas baru dengan membayangkan mereka dalam senario yang berbeza - bagaimana rupanya jika Titan Colossal diletakkan dalam treler ‘Godzilla vs Kong’? Atau bagaimana pula permainan Temple Run yang mengasyikkan itu akan kelihatan dalam dunia nyata?
"Terdapat begitu banyak kandungan yang sama di luar sana - anda benar-benar perlu memikirkan cara untuk pergi mengatasinya dan pergi lebih jauh agar kandungan anda tidak tenggelam dalam 'kesamaan'. Permainan dalam talian berbilang pemain 'Among Us' misalnya, menjadi sebuah ‘hit’ pada tahun lalu dan ramai yang membuat kandungan di sekitarnya - apa yang saya buat adalah animasi 3D berkenaan permainan popular ini dan kerana tidak ada yang benar-benar melakukannya, ia tidak mengambil masa yang lama sebelum kandungan saya dikenali ramai, ”kongsi Afiq.
Dengan 1.6 juta pelanggan buat masa ini, kesan visual dan CGI luar biasa ciptaan Afiq dinikmati sejumlah besar pengikut antarabangsa dari negara-negara seperti India, Indonesia, Vietnam, dan Mexico.
Juga bercakap mengenai mencabar batasan kreativiti adalah sekumpulan pencipta sepupu bertiga Zarol Zarif, Ecah Daud dan Amri Aziz dari Cikidot Channel. Walaupun mereka berasal dari genre yang sama sekali berbeza, mereka juga mengaitkan sebahagian besar kejayaan mereka kepada pemilihan trend semasa dan benar-benar mengembangkannya - semakin unik, mencabar, atau keterlaluan, semakin ramai peminat yang menyukainya.
"Anda harus meletakkan sesuatu di luar sana yang tidak akan difikirkan oleh orang lain - anda harus menjadi orang yang harus berfikir lebih awal dan memperkenalkan idea-idea baru ini. Kami cuba mengikuti trend - contohnya ketika orang-orang menyukai mi Samyang, kami juga mengikuti trend itu, tetapi kami melakukannya dengan menggandakan tahap kepedasan sebanyak tiga kali sambil memakannya di hadapan penonton kami. Saya rasa keberanian untuk bereksperimen adalah apa yang membuat penonton kami ternanti-nanti apa yang mungkin kita lakukan seterusnya,” kata trio itu.
Secara bersendirian, masing-masing mempunyai pengikut mereka sendiri. Zarol misalnya merupakan bekas peserta Akademi Fantasia manakala Amri pula telah menimba pengalaman sebagai pengacara dan pelakon di kaca TV. Tetapi ketiga-tiga mereka menyatakan bahawa walaupun artis dan personaliti terkenal mungkin memiliki kelebihan jika memilih untuk berkarya di YouTube, ia tidak menjamin kejayaan buat mereka. Mereka harus berfikir seperti seorang pencipta kandungan, dan mengingati bahawa para penonton YouTube menghargai konsistensi dan kandungan yang membolehkan mereka berhubung rapat bersama para pencipta.
Para penonton Cikidot Channel terdiri daripada golongan muda, jadi mereka selalu berusaha untuk mengenal pasti cabaran-cabaran baru untuk menghiburkan penonton mereka. Ini berserta dengan kandungan mesra keluarga mereka telah mengumpulkan mereka lebih daripada 1.01 juta pelanggan setakat ini.
Juga di dalam panel tersebut adalah pencipta Dusun Sabah, Ekram Mahat dari saluran Kupi Kupi GO yang strateginya adalah untuk memberi tumpuan kepada komuniti pengikutnya. Sama ada dengan memperhatikan reaksi penonton terhadap kandungannya atau melakukan pemberian hadiah, Ekram telah mewujudkan identiti unik bagi pengikutnya (dikenali sebagai GOER) untuk membantu memberi mereka sebuah komuniti milik mereka sendiri.
"Bagi saya, kuncinya adalah untuk memberi tumpuan kepada komuniti anda - kerana komuniti anda akan ada untuk anda dan menyokong anda walaupun anda berpindah ke pelbagai platform lain. Ketika saya menghadapi masalah untuk diterima di platform arus perdana pada masa lalu, komuniti saya mempertahankan saya daripada komen negatif. Ini bukan sesuatu yang harus anda abaikan dan merupakan bahagian kritikal YouTube," Ekram berkongsi.
Kupi Kupi GO, yang kini mempunyai 1.08 juta pelanggan, telah melalui beberapa proses penambahbaikan sebelum ia berjaya seperti sekarang.
Saluran hiburan berinformasi Ekram meneroka perkara pelik dan luar biasa. Apa yang mendorongnya untuk mendirikan saluran ini beberapa tahun yang lalu adalah minat semula jadinya dalam bidang keusahawanan digital. Setelah memerhatikan bagaimana pencipta kandungan di Amerika Syarikat mampu menjana pendapatan dari platform ini, dia melihat peluang untuk mencubanya sendiri. Dia mengambil masa dua tahun sebelum dia menyaksikan sendiri aliran pendapatan yang masuk, tetapi dia gembira melihat usahanya membuahkan hasil.
Para pencipta juga ditanya mengenai perkara yang telah mereka lakukan untuk terus berkarya dan memastikan kandungan mereka bagus untuk pertumbuhan pelanggan. Bagi Afiq, ia berkait dengan penghasilan elemen-elemen video seperti memberikan judul video yang bersesuaian dengan animasi dan membuat lakaran kecil yang mampu menarik minat penonton baru.
Selain meningkatkan kualiti kandungan mereka, Cikidot Channel berkongsi bahawa lebih banyak kolaborasi bersama personaliti YouTube lain dan juga artis-artis adalah membantu. Penampilan mereka di saluran dan platform lain memberi mereka pengiktirafan yang lebih tinggi di kalangan khalayak yang lebih luas dan menarik minat terhadap saluran mereka.
Bagi Ekram, pendekatannya adalah untuk terus memberi tumpuan kepada kandungan dan komunitinya untuk menarik perhatian khalayak yang relevan. Walaupun pada peringkat permulaan, dia telah menghadapi cabaran untuk diterima oleh pasaran arus perdana, jumlah penontonnya sekarang adalah sangat lokal, dengan 70% penontonnya dari Semenanjung Malaysia.
Kejayaan ketiga-tiga saluran ini bukannya tanpa cabaran, tetapi mereka cepat belajar, menyesuaikan diri dan bertindak balas terhadap apa yang tidak berfungsi untuk mereka. Layari saluran mereka untuk melihat ciptaan terbaru mereka: AAC Dream, Cikidot Channel, dan Kupi Kupi GO.
Pandemik COVID-19. Pilihan raya di peringkat global. Pemeriksa fakta di seluruh dunia telah mengalami tahun yang sibuk sekali. Lebih daripada 50,000 pemeriksaan fakta baru muncul di Carian Google sepanjang tahun lalu, dengan semua pemeriksaan fakta menerima lebih dari 2.4 bilion tanggapan di Carian dalam jangka masa tersebut.
Kajian luaran yang semakin meningkat bilangannya telah menunjukkan bahawa pemeriksaan fakta dapat membantu mengatasi kepalsuan. Dalam laporan baru yang disokong oleh Google News Initiative yang diterbitkan hari ini, penyelidik Ethan Porter, Thomas Wood dan Yamil Velez telah mendapati bahawa pembetulan dalam bentuk pemeriksaan fakta mengurangkan kesan maklumat salah terhadap tahap kepercayaan mengenai vaksin COVID-19.
Pemeriksaan fakta bukan hanya untuk golongan profesional. Setiap hari, orang ramai mencari bukti untuk mengesahkan atau menolak sebilangan maklumat yang mereka tidak pasti. Sepanjang 12 bulan lepas, carian Google bagi "adakah benar ..." lebih tinggi berbanding "cara membuat roti," dan itu membuktikan sesuatu lebih-lebih lagi apabila kegilaan terhadap roti ‘sourdough’ pada tahun lalu diambil kira.
Kami komited untuk menyokong semua pengguna dalam pencarian maklumat yang boleh dipercayai dalam talian, dan berkongsi pandangan kami dengan organisasi lain untuk memperkuatkan pemeriksaan fakta.
Oleh itu, dan dengan menjelangnya Hari Pemeriksaan Fakta Antarabangsa pada 2 April, berikut adalah empat petua mudah untuk membantu anda mengemukakan soalan yang tepat supaya anda dapat mengenal pasti maklumat yang salah dalam talian dengan lebih baik.
Sebuah gambar bersamaan dengan 1000 patah perkataan, seperti yang dikatakan pepatah lama. Tetapi gambar juga boleh diambil di luar konteks atau diedit untuk mengelirukan. Anda dapat melakukan carian menggunakan gambar dengan mengklik kanan pada foto dan memilih "Cari dengan imej di Google." Anda boleh melakukan perkara yang sama di telefon bimbit dengan menyentuh dan menahan gambar. Ini akan mencari gambar untuk memeriksa sama ada gambar itu pernah muncul dalam talian atau tidak, dan dalam konteks apa, supaya anda dapat melihat jika gambar itu telah diubah dari makna asalnya.
Lihat bagaimana gambar digunakan dalam konteks dalam talian. Anda dapat melakukan carian menggunakan gambar dengan mengklik kanan pada foto dan memilih "Cari Google untuk Gambar." Ini adalah contoh simulasi untuk menggambarkan bagaimana produk ini berfungsi dan bukan pengalaman sebenar.
Apa yang lebih baik daripada satu sumber? Beberapa sumber! Lihat bagaimana (dan jika) laman berita yang berlainan melaporkan acara yang sama sehingga anda dapat memperoleh gambaran lengkap. Beralih ke mod berita atau cari topik di news.google.com. Pastikan anda mengklik pada "Liputan Penuh" jika pilihannya tersedia.
Mencari berita mengenai jika Bumi pernah dikunjungi makhluk asing? Dalam contoh simulasi ini, anda dapat melihat bagaimana anda dapat mengklik untuk mencari Liputan Penuh mengenai sesuatu topik, dan melihat apa yang diliputi oleh laman berita lain. GIF ini adalah contoh simulasi dan bukan pengalaman penuh bagaimana produk berfungsi.
Pemeriksa fakta mungkin telah membincangkan kisah rawak yang dihantar saudara anda kepada anda dalam ruang sembang berkumpulan - atau cerita serupa yang akan membawa anda ke arah yang betul untuk mengetahui apa yang sebenarnya telah berlaku. Cuba cari topik di Fact Check Explorer, yang mengumpulkan lebih daripada 100,000 pemeriksaan fakta dari penerbit terkemuka di seluruh dunia.
Dalam contoh simulasi ini, lihat bagaimana anda dapat menggunakan Fact Check Explorer untuk mengetahui apakah dakwaan dalam talian yang telah diperiksa faktanya. Ini adalah demonstrasi bagaimana produk berfungsi dan bukan pengalaman penuh.
Kisah-kisah palsu mengenai peristiwa yang berlaku di tempat yang jauh senang tersebar kerana kekurangan kita dalam mengetahui lokasi mereka. Sekiranya anda ingin mengetahui sama ada foto itu sebenarnya dari tempat yang didakwa, cuba periksa Google Earth atau lihat Street View bagi lokasi tersebut di Peta Google.
Katakan rakan anda menghantar cerita mengenai Bigfoot berjalan-jalan di Menara Eiffel di Paris, Perancis. Mencari Menara Eiffel di Street View sekurang-kurangnya akan mengesahkan bahawa menara itu tidak mempunyai topi koboi merah besar di bahagian atas (seperti yang terdapat di Paris, Texas). Sekiranya bahagian itu tidak diperiksa, kisahnya yang lain mungkin juga mencurigakan.
Dalam contoh simulasi ini, anda dapat melihat bagaimana anda dapat mencari perbezaan antara Menara Eiffel yang sebenar di Paris, Perancis dan yang ada di Paris, Texas. Ini hanya demonstrasi dan bukan pengalaman penuh produk.
Kami kekal komited untuk membantu orang ramai mengenal pasti maklumat yang salah dalam talian dan menyokong ekosistem pemeriksaan fakta.
Baru-baru ini, kami memberikan $3 juta untuk usaha kewartawanan memeriksa maklumat yang salah mengenai proses imunisasi COVID-19, dengan tumpuan pada projek-projek yang bertujuan untuk menjangkau khalayak yang tidak dilayani menerusi pemeriksaan fakta. Kami juga melancarkan GNI University Verification Challenge di seluruh Asia untuk membantu membangunkan kemahiran pengesahan di kalangan pelajar kewartawanan. Di samping itu, Google.org membantu organisasi bukan untung Full Fact melalui pembiayaan geran dan tujuh felo kejuruteraan pro-bono sepenuh masa untuk meningkatkan jumlah dakwaan yang dapat dikesan.
Untuk lebih banyak petua dan amalan terbaik, lihat sumber yang dikumpulkan oleh Rangkaian Pemeriksaan Fakta Antarabangsa di factcheckingday.com. Dan jika anda seorang wartawan, kunjungi Pusat Latihan GNI.
Doodle hari ini meraikan hari jadi ke-142 bagi ahli epidemiologi Malaysia berbangsa Cina, Dr. Wu Lien-teh, yang telah mencipta sebuah penutup muka yang secara luasnya dianggap sebagai pendahulu bagi penutup muka N95.
Sebuah rekaan yang membendung Wabak Manchuria
Dilahirkan di Pulau Pinang pada hari ini pada tahun 1879 kepada sebuah keluarga yang berasal dari China, Dr. Wu merupakan pelajar keturunan Cina pertama yang memperolehi ijazah Perubatan dari Universiti Cambridge. Setelah mengikuti pengajian kedoktoran, beliau menerima jawatan sebagai timbalan pengarah untuk Kolej Perubatan Tentera Imperial China (China's Imperial Army Medical College) pada tahun 1908.
Apabila sebuah wabak yang tidak dikenali menimpa barat laut China pada tahun 1910, pemerintah China melantik Dr. Wu untuk menyiasat penyakit tersebut, yang dikenalinya sebagai wabak pneumonik sangat berjangkit yang merebak dari manusia ke manusia melalui sistem pernafasan.
Untuk memerangi penyakit itu, Dr. Wu mereka dan menghasilkan topeng pembedahan khas menggunakan kapas dan kain kasa, dan menambahkan beberapa lapisan kain untuk menyaring penyedutan. Beliau menasihati orang ramai untuk memakai topengnya yang baru diciptakan itu dan bekerjasama dengan pegawai pemerintah untuk mewujudkan stesen dan hospital kuarantin, menyekat perjalanan, dan menerapkan teknik pensterilan progresif; kepemimpinannya memberikan sumbangan besar untuk mengakhiri wabak tersebut (yang dikenali sebagai wabak Manchuria) pada April, 1911 dalam masa empat bulan beliau ditugaskan untuk membendung penularan wabak tersebut.
Penama Hadiah Nobel pertama Malaysia dan penyokong kemajuan perubatan
Pada tahun 1915, Dr. Wu mengasaskan Persatuan Perubatan Cina, sebuah organisasi perubatan bukan kerajaan terbesar dan tertua di negara ini. Pada tahun 1935, beliau merupakan rakyat Malaysia - dan orang berketurunan Cina pertama - yang dicalonkan untuk Hadiah Nobel dalam Fisiologi atau Perubatan untuk pencapaiannnya dalam membendung wabak pneumonia ini. Seorang penyokong dan pengamal kemajuan perubatan yang setia, usaha Dr. Wu bukan sahaja mengubah kesihatan awam di China tetapi juga di seluruh dunia.
Sebuah inspirasi untuk generasi-generasi akan datang
Cicit beliau, Dr. Shan Woo Liu, M.D., berkongsi pendapatnya mengenai Doodle tersebut dan warisan moyangnya:
"Kami merasa berbesar hati kerana hari jadi moyang kami diraikan Google. Lebih dari satu abad yang lalu, beliau membantu melawan wabak di China dan membangunkan teknik seperti memakai topeng, yang masih kita gunakan hari ini dalam usaha kita melawan COVID-19. Dari kecil lagi, kami telah mendengar cerita dari ayah kami tentang moyang kami — bahawa beliau dikenali ramai kerana berjaya mengawal wabak pneumonia Manchuria, penyakit yang sangat dahsyat bagi hampir semua yang menghidapnya, dan beliau memegang jawatan di China setara dengan pakar bedah di AS. Sebuah buku di meja kopi kami dengan kulit depan yang compang-camping, bertajuk ‘Plague Fighter’, mengingatkan kami tentang pencapaiannya setiap hari.
"Kisahnya menggerakkan sesuatu dalam diri saya, dan sejak usia muda saya bermimpi untuk menjadi seorang doktor. Tetapi pada tahun 1995, ketika saya menghadiri sambutan ulang tahun ke-80 penubuhan Persatuan Perubatan Cina, di situlah saya betul-betul menghargai warisannya. Ratusan doktor dan saintis mengerumuni ruang persidangan Shanghai untuk mendengar ceramah mengenai kehidupan dan kerjayanya. Saya mempelajari bahawa dia dianggap oleh kebanyakan orang sebagai bapa perubatan moden di China. Pada tahun 2018, saya serta keluarga pergi ke Harbin, di Timur Laut China, untuk melawat sebuah muzium dan institusi penyelidikan yang dibina sebagai penghormatan buat datuk saya. Dengan rendah hati, kami berjalan mengikuti jejaknya di kota yang sama di mana beliau melawan wabak itu satu abad sebelumnya. Hari ini, sebagai seorang doktor bilik kecemasan, saya lebih menghargai keberaniannya.
Setahun yang lalu, saya berasa takut dengan betapa sedikitnya kita ketahui tentang koronavirus. Walaupun sekarang, saya tidak dapat membayangkan bagaimana perasaan moyang saya semasa merawat pesakit yang dijangkiti wabak. Tetapi saya juga merasa lebih dekat dengannya berbanding sebelumnya tatkala saya mendesak pesakit saya untuk mengamalkan penjarakan sosial dan memakai topeng - teknik yang dipelopori beliau ketika menyelamatkan negaranya, dan mungkin juga dunia, dari sebuah bencana. Wu Lien-teh masih seorang pahlawan sekarang seperti sebelumnya."
Pakai topeng. Selamatkan nyawa.
Oleh kerana kami menghargai sumbangannya dalam penjagaan kesihatan, pada waktu yang tidak lebih relevan daripada sekarang, kami mengucapkan Selamat hari jadi kepada individu di sebalik penutup muka, Dr. Wu Lien-teh!
Oleh kerana COVID-19 terus memberi kesan kepada masyarakat di seluruh dunia, bantu untuk hentikan penyebarannya dengan mengikuti langkah-langkah ini. Ketahui lebih lanjut menerusi sumber-sumber ini untuk membantu anda dan komuniti anda terus mendapat maklumat dan kekal berhubung.
Terima kasih kepada keluarga Dr. Wu Lien-teh atas kerjasama mereka dalam projek ini. Cicitnya, Dr. Shan Woo Liu, M.D., S.D., merupakan seorang doktor bertugas di Massachusetts General Hospital dan Penolong Profesor Perubatan Kecemasan di Harvard Medical School. Beliau adalah pengarang buku kanak-kanak yang akan datang mengenai moyangnya, Dr. Wu Lien-teh.
Dalam gambar: Dr. Wu Lien-Teh
Kredit gambar: Ihsan Dr. Shan Woo Liu dan Ling Woo Liu
Dalam gambar: Dr. Wu Lien-Teh di makmal Harbin, Jan 1901