Di hutan tebal, mencari tanda beruang matahari
Untuk mencapai matlamat pemuliharaan beruang matahari, tugas BSBCC bergantung pada lima teras: kebajikan, pemulihan, pendidikan, penyelidikan dan ekopelancongan. Pada peringkat awal, organisasi Wong diberikan kuasa untuk menyita beruang matahari yang dipelihara secara haram; hanya lebih 40 ekor beruang pada masa ini membentuk populasi beruang yang disimpan di rizab seluas 4,200 hektar bersebelahan dengan bangunan Pusat Pemuliharaan. Menyelamatkan beruang terus menjadi salah satu keutamaan organisasi. Jika beruang itu cukup muda, BSBCC akan cuba memulihkan mereka sepanjang hayat di dalam hutan.
Dalam usaha penyelidikannya, BSBCC turut menjalankan kajian terhadap beruang matahari di alam liar di Rizab Hidupan Liar Tabin (Tabin Wildlife Reserve) berdekatan, iaitu lebih 120,000 hektar. "Walaupun saya telah mengkaji beruang matahari selama 26 tahun, masih banyak yang perlu dipelajari tentang beruang matahari," kata Wong. "Habitat mereka terdiri daripada hutan tebal dan padat menjadikannya sangat mencabar untuk penyelidik menjalankan kajian, dan inilah sebab utama mengapa maklumat mengenai mereka masih sangat terhad."
Sebahagian besar kerja yang doijalankan oleh BSBCC bergantung pada Google Earth Pro dan imejan satelit yang digunakan oleh Wong dan penyelidik lain untuk lebih memahami kawasan perlindungan hidupan liar. "Imej-imej ini memberi kami pandangan terperinci mengenai topografi, jenis tumbuh-tumbuhan dan penggunaan tanah," kata Wong. "Sesetengah kawasan ini sangat terpencil sehinggakan peta terperinci tidak tersedia untuk mereka."
Wong dan rakan-rakannya mendapati bahawa menambahkan data peta mereka pada imejan satelit Google Earth boleh memberitahu mereka lebih banyak tentang habitat beruang matahari daripada peta topografi yang mudah. "Kami dapat mengenal pasti perbezaan antara kanopi hutan tua, hutan sekunder, dan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan," kata Wong.
Selain imej satelit beresolusi tinggi dari Google Earth, Wong turut menambah data daripada kamera jauh, kolar pemancar yang dipasang pada beruang yang dipulihkan, serta pemerhatian penyelidik di lapangan. Peta ini bukan sahaja menunjukkan lokasi beruang, kawasan jelajah, dan corak pergerakan mereka, tetapi juga membantu memahami jenis persekitaran yang mereka gemari serta bagaimana mereka bertindak balas terhadap gangguan habitat.