KUALA LUMPUR, Malaysia, 22 April 2025 – Google hari ini mengumumkan integrasi ShopeePay dan TNG eWallet (Rakan kongsi Alipay+) dengan Google Pay di Malaysia, menandakan integrasi eWallet pertama Google Pay di Asia Tenggara. Ciri baharu ini akan membolehkan pengguna Android di Malaysia membuat pembayaran dengan lancar menggunakan eWallet pilihan mereka ketika berbelanja di laman web mudah alih melalui Google Chrome, bermula dengan peniaga dalam talian terpilih.
Integrasi awal ini menampilkan ShopeePay dan TNG eWallet (Rakan kongsi Alipay+), dan akan diperluaskan untuk menyokong lebih banyak rakan kongsi pada masa akan datang.
Dengan 88% rakyat Malaysia menggunakan eWallet pada tahun 2024, integrasi Google Pay ini membantu menjadikan pembayaran dalam talian lebih mudah dan selamat. Dengan menggabungkan eWallet popular yang digunakan oleh rakyat Malaysia setiap hari, Google Pay kini menawarkan pengguna lebih banyak pilihan selain pembayaran kad dan meluaskan pembayaran tanpa tunai kepada golongan yang kurang mendapat perkhidmatan bank, memupuk ekosistem pembayaran digital yang lebih inklusif.
Farhan S. Qureshi, Pengarah Negara, Google Malaysia berkata, “Kami teruja untuk memperkenalkan ciri baharu Google Pay ini terlebih dahulu di Malaysia, sebuah pasaran yang mempunyai landskap pembayaran digital yang berkembang pesat dan kadar penggunaan eWallet yang tinggi. Dengan mengintegrasikan platform tempatan yang dipercayai seperti ShopeePay dan TNG eWallet, kami melokalisasikan Google Pay agar sesuai dengan pilihan pembayaran harian mereka, dan memberikan cara yang lancar dan selamat ketika berbelanja di laman web mudah alih kegemaran mereka di Google Chrome. Sebagai pasaran pertama di rantau ini yang menawarkan integrasi ini, Malaysia juga berpotensi untuk menetapkan piawaian baharu bagi inovasi pembayaran digital di seluruh Asia Tenggara."
Membawa lebih banyak kemudahan kepada rakyat Malaysia
 |
Pengguna boleh memilih butang Google Pay semasa pembayaran (atas) atau memilih “eWallet” apabila diminta dalam Chrome (bawah). |
Integrasi Google Pay dengan eWallet tempatan yang digunakan secara meluas ini menawarkan rakyat Malaysia pengalaman yang lebih efisien untuk transaksi dalam talian harian mereka, termasuk membeli-belah, penghantaran makanan, dan pembayaran bil.
Bagaimana ia berfungsi:
Pembayaran: Apabila membeli-belah di peniaga dalam talian yang mengambil bahagian, pengguna boleh memilih butang Google Pay semasa pembayaran atau memilih “eWallet” apabila diminta dalam Chrome untuk membayar terus dengan ShopeePay atau TNG eWallet (Rakan kongsi Alipay+), semuanya tanpa perlu bertukar aplikasi.
Kemudahan semasa pembayaran: Pengguna kini boleh menambah nilai eWallet pilihan mereka secara terus melalui Google Pay. Tidak lama lagi, mereka juga akan dapat melihat baki mereka di sana.
Pengesahan sekali sahaja untuk pembayaran pertama dengan eWallet: Pengguna yang membuat pembayaran kali pertama dengan eWallet pilihan mereka di Google Pay akan diminta untuk pengesahan sekali sahaja bagi meningkatkan keselamatan. Setelah selesai, mereka akan dapat membuat pembayaran satu klik melalui Google Pay seterusnya, tanpa perlu bertukar aplikasi.
Transaksi selamat: Semua pembayaran yang dibuat dengan Google Pay adalah selamat, dengan setiap transaksi memerlukan pengesahan cap jari atau PIN.
Pengguna boleh mula membuat pembayaran dengan pedagang dari Fiuu, seperti Nando’s dan US Pizza, dan dari iPay88, seperti Alpro Pharmacy, TK Bakery dan Yoyo Bus.