Rabu, 7 Disember 2022

Year in Search 2022: Carian sohor kini teratas untuk Malaysia


Setiap tahun, kami melihat kembali detik-detik, individu serta arah aliran yang mencetuskan rasa ingin tahu kita secara kolektif melalui Year in Search. Di Malaysia, orang ramai bukan sahaja ingin mengetahui lebih lanjut tentang segala-galanya - daripada isu global dan tempatan, pilihan raya umum kebangsaan, acara sukan, dan berita budaya pop terkini - tetapi mereka juga meluangkan masa di luar mencari tempat-tempat dan pengalaman menarik di seluruh negara.


Lebih daripada sebelumnya, 2022 merupakan tahun yang menyaksikan rakyat Malaysia keluar dari tempoh kekangan dan batasan yang panjang untuk menyelami segala yang ditawarkan kehidupan – mengejar matlamat, mengalami kegembiraan dan berhubung secara mendalam bersama orang lain.



10 carian sohor kini teratas di Malaysia untuk tahun ini

Inisiatif yang diterajui kerajaan telah termasuk dalam 10 carian sohor kini teratas keseluruhan untuk tahun ini. Bantuan kewangan kekal menjadi tumpuan ramai rakyat Malaysia dengan ‘Bantuan Keluarga Malaysia (BKM)’ menduduki tempat teratas tahun ini tatkala rakyat Malaysia mencari maklumat untuk mengesahkan kelayakan mereka dalam menerima sebahagian daripada bantuan kerjaan tersebut dengan nilai keseluruhan sebanyak RM 8.2 bilion. Di tempat ketujuh ialah ‘Peranti Siswa’, sebuah inisiatif yang diketuai oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk menyediakan peranti kepada para pelajar daripada keluarga B40.


Pada bulan November, rakyat Malaysia keluar mengundi untuk pilihan raya umum ke-15 negara dan carian paling popular memberi kami cerapan kepada maklumat yang dicari oleh rakyat Malaysia untuk mengambil bahagian dan kekal bermaklumat. ‘MySPR Semak’, ‘Keputusan PRU 15’, ‘MyUndi’, dan ‘Anwar Ibrahim’ berjaya memasuki senarai 10 carian sohor kini teratas, dengan masing-masing menduduki tempat kedua, empat, lima dan lapan.


Bola sepak sebagai salah satu sukan paling popular di negara ini telah menyaksikan 'World Cup 2022' berada di nombor tiga dalam senarai carian sohor kini tatkala rakyat Malaysia bersiap sedia untuk Piala Dunia - mengikuti pasukan kegemaran mereka, terus berhubung dengan kemas kini skor secara langsung dan butiran seperti siapa yang mendominasi permainan hantaran - semuanya di Search. ‘Wordle’ adalah carian paling popular di seluruh dunia, dan menduduki tempat keenam di Malaysia, kerana meneka perkataan lima huruf setiap hari telah menjadi suatu cara hidup. Satu lagi hobi dalam talian yang menarik perhatian rakyat Malaysia adalah ‘Mental Age Test’ yang menduduki tempat ke-10.


Ketika dunia meratapi pemergiannya pada 8 September, rakyat Malaysia juga ingin tahu lebih lanjut mengenai mendiang ‘Queen Elizabeth’ II, dalam menghormati legasinya yang luar biasa selama 70 tahun sebagai monarki British yang paling lama memerintah.




“Year in Search mendedahkan banyak perkara tentang persamaan yang kita semua ada, di samping membezakan cara-cara kita juga unik. Walaupun kita adalah warga dunia yang prihatin dengan minat terhadap isu-isu global, pemergian tokoh global terkemuka dan acara sukan, kita juga mendalami detik-detik tempatan dengan enam daripada sepuluh carian sohor kini keseluruhan tertumpu pada Malaysia, termasuk pelbagai istilah carian yang berkaitan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 dan ahli politik tempatan. Dengan lebih 5 juta pengundi kali pertama di Malaysia tahun ini, dan dengan penembusan internet yang begitu tinggi dalam kalangan pengundi muda, ramai yang beralih kepada sumber dalam talian untuk mencari maklumat yang boleh dipercayai dan membantu. Ini juga merupakan tahun pertama sejak pandemik bila mana kami melihat tempat-tempat menarik di seluruh Malaysia - seperti pusat membeli-belah, taman tema dan destinasi tempatan - sebagai istilah carian yang menjadi sohor kini untuk tahun ini, mungkin satu petunjuk bahawa kita kini berada dalam era pasca-COVID dan telah kembali menyelami perjalanan dan pengalaman domestik sekali lagi." kata Nadia Khan, Pengurus Komunikasi di Google Malaysia.



Masa untuk bertenang, berehat dan bersantai

Carian untuk tempat-tempat menarik telah meningkat tahun ini, dengan ‘Genting Highlands’ mendahului senarai sohor kini dalam kategori ini. Rakyat Malaysia juga berminat untuk melawati ‘LaLaport’ yang baru dibuka di Pusat Bandar Bukit Bintang dan pusat membeli-belah ‘Pavilion Bukit Jalil’, seperti yang ditunjukkan dalam senarai ini.



Para individu yang menjadi tumpuan

Tahun 2022 merupakan tahun bersejarah bagi rakyat Malaysia dengan PRU15 baru-baru ini. Maka tidak hairanlah bahawa personaliti tempatan yang paling popular kebanyakannya merupakan ahli politik, dengan perdana menteri kita yang baru dilantik, 'Anwar Ibrahim' menduduki tempat pertama, diikuti rapat oleh 'Najib Razak' dan 'Ahmad Zahid Hamidi' masing-masing di tempat ketiga dan keempat. Di persada antarabangsa, bekas pasangan selebriti, 'Amber Heard' dan 'Johnny Depp', yang berpisah pada 2017 selepas dua tahun bersama, adalah dua carian teratas dalam kategori Personaliti Antarabangsa. Sementara itu, pelakon ‘Will Smith’ yang telah memukul pelawak ‘Chris Rock’ semasa Anugerah Akademi ke-94, telah menyebabkan kedua-dua mereka turut muncul dalam senarai tersebut.


 



Kembali sebentar lagi, sedang ambil bertih jagung..

Penggemar filem pantas muncul di pawagam untuk mengalami skrin besar apabila pawagam mula dibuka semula, dengan filem-filem yang sangat dinanti-nantikan menuju ke pawagam. Filem box office tempatan ‘Mat Kilau’ mendahului senarai filem sohor kini kami, sejajar dengan sejarah yang dicipta sebagai filem terpantas dengan kutipan RM47 juta - ia mengambil masa hanya 11 hari. Dikatakan berdasarkan kisah benar, filem seram Indonesia ‘KKN di Desa Penari’ mendapat tempat kedua, dan filem adiwira DC ‘Black Adam’ di tempat ketiga.




Penghormatan terakhir

Pemergian ‘Queen Elizabeth’ merupakan carian sohor kini tertinggi bagi kategori “Dalam Ingatan”, yang menyaksikan ramai termasuk rakyat Malaysia bersedih atas pemergian mendiang monarki Britain itu. Rakyat Malaysia juga mencari berita mengenai penyanyi dan pelakon tempatan ‘Adibah Noor’, yang meninggal dunia akibat kanser ovari dan disayangi ramai, dengan garis masa sosial mencurah-curah dengan ucapan takziah daripada rakan-rakan sekerja, selebriti dan para peminat.


Pemergian lain yang telah menjejaskan rakyat Malaysia termasuk: pelakon Thailand 'TangMo', pelakon drama tempatan 'Syazlin Zainal', bekas perdana menteri Jepun 'Shinzo Abe', bekas penyanyi pop 'Aaron Carter', bekas presiden MIC 'Samy Vellu', pelakon Korea Selatan 'Kim Mi-soo', pencipta kandungan YouTube 'Technoblade' dan pelakon Amerika 'Betty White'.




Untuk senarai penuh dan kategori-kategori carian terhangat lain - acara sukan, siri televisyen dan berita - kunjungi https://trends.google.com/trends/yis/2022/MY.  


Selain mengetengahkan perkara dan peristiwa yang menimbulkan rasa ingin tahu di kalangan warga Malaysia, peralatan Google Search juga menawarkan cerapan kepada topik-topik yang menarik perhatian seluruh dunia pada tahun 2022. Ikuti laman trend global untuk mendalami senarai, carta, dan cerita Year in Search daripada Malaysia dan serata dunia. 


Terokai lebih banyak trend daripada tahun ini di https://google.com/yearinsearch.     




Apa itu ‘Year in Search’ daripada Google? 

Google mendedahkan semangat dan ketentuan zaman kini berdasarkan internet dengan menerokai lebih satu trillion carian yang diterima setiap tahun. Selain carian akhir tahun yang menyoroti tren carian tahunan, kami juga mempunyai beberapa peralatan yang memberi pemahaman kepada tren carian sedunia, rantau, serta tren carian lepas dan terkini. Peralatan Google Search tidak dapat mengenalpasti pengguna secara individu kerana kami bergantung kepada kiraan tidak bernama yang dijumlahkan untuk setiap kali sebuah carian berlaku dalam sesuatu tempoh masa. Peralatan ini boleh didapati sepanjang tahun untuk diterokai dan untuk dipelajari daripada di trends.google.com.my.