Perjalanan Google Maps sepanjang 15 tahun yang lalu adalah sesuatu yang luar biasa, dan Street View turut serta buat sebahagian besar perjalanan tersebut. Untuk meraikan hari jadi Google Maps yang ke-15, kami ingin kongsikan senarai 15 Street View Malaysia kegemaran kami -- kami telah pilih satu untuk setiap negeri :-)
Street View bermula sebagai satu projek untuk membantu orang ramai meneroka tempat-tempat baru menggunakan komputer mereka, dan ia dilancarkan pada 2007 bersama video pelancaran produk yang sangat eksentrik. Kini, Street View telah menjadi sebahagian besar cara kami memeta dunia di lebih dari 220 negara dan wilayah, termasuk Malaysia. Lihat dan nikmati pemandangan berikut bersama kami (klik pada imej untuk lihat menerusi Street View).
1. Lepak bersama burung flamingo di Kuala Lumpur
Terokai setiap pelusuk Taman Burung Kuala Lumpur yang luasnya 20.9 ekar tanpa berpeluh sedikit pun. Laluan-laluannya yang berliku-liku yang menuju ke pelbagai habitat yang dipenuhi burung-burung menarik agak sukar untuk diikuti, walaupun dengan papan-papan tanda.
2. Dapatkan ketenangan di kuil Buddha terbesar Malaysia di Bukit Bendera
Sebuah tapak penziarahan penting buat penganut agama Buddha dari seluruh rantau ini, tarikan utama di Kuil Kek Lok Si merupakan sebuah pagoda setinggi 30 meter dan juga sebuah patung gangsa Dewi Rahmat setinggi 36.5 meter - kesemuanya di puncak sebuah bukit setinggi 833 meter.
3. Naiki beca Melaka bersama kami dari The Stadthuys
Apakah cara terbaik untuk bersiar-siar di kota Melaka? Dengan beca-beca penuh dekorasi yang terdapat di The Stadthuys! Ia sangat menyeronokkan terutamanya pada waktu malam di mana ia di mandi cahaya lampu dan alunan muzik sambil anda dibawa bersiar balik ke kurun ke-16.
4. Daki anak-anak tangga menuju ke Batu Caves di Selangor
Jika anda tidak berkesempatan untuk melawat, kami telah membawa Street View menaiki 272 anak tangga berwarna-warni Batu Caves dan masuk ke dalam gua tersebut di mana anda akan dapat melihat formasi batu kapur menarik ini yang menempatkan kuil-kuil Hindu di dalamnya.
5. Ambil pemandangan di puncak Gunung Kinabalu, Sabah
Gunung Kinabalu tidak memerlukan sebarang pengenalan sebagai puncak tertinggi Malaysia, tetapi dengan bantuan dari Lembaga Pelancongan Sabah, kami dapat membawa Street View ke ketinggian baru. Sambil anda mendaki ke puncak, berhenti sekerap yang anda mahu dan ambil pemandangan indah di sekitarnya.
6. Temui kuil Thai terapung di Kelantan
Malaysia semestinya sebuah negara yang kaya dengan budaya serantau, seperti yang dibuktikan oleh kehadiran Kuil Naga Wat MaiSuwanKiri di Tumpat, Kelantan. Penampilan terapung kuil tersebut adalah disebabkan air keruh yang terdapat di sekitarnya.
7. Takluk puncak-puncak Gunung Tahan di Pahang
Bertahan sambil anda memanjat puncak-puncak Gunung Tahan, yang juga puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia, dan lihat mengapa ramai yang memanggilnya dakian paling mencabar di rantau ini. Bersama dengan Persatuan Pencipta Alam Malaysia, Street View telah berjaya mengatasi trek mencabar ini.
8. Lalui denai-denai di Taman Nasional Gunung Mulu, Sarawak
Lihat dengan lebih dekat flora dan fauna yang terdapat di Taman Nasional Gunung Mulu, dan masuk ke dalam kawasan-kawasan yang sudah pastinya akan mengejutkan anda dengan keajaiban semulajadi yang tidak mungkin anda tahu wujud di Sarawak, seperti Gua Lang.
9. Kayak sekeliling Langkawi
Bayangkan tiupan bayu yang menenangkan dan percikan air laut di muka anda sambil anda meneroka perairan Langkawi di Kedah, di mana anda dapat melihat hutan paya bakau terpelihara, pantai-pantai cantik, dan juga mercu tanda helang besar di Dataran Lang.
10. Intai Batu Bersurat Terengganu
Berdiri di pintu masuk pavilion ringkas yang menyimpan batu granit berusia 700 tahun tersebut, yang mempunyai inskripsi Jawi mengisytiharkan kedatangan Islam di negeri tersebut dan kemungkinan juga rantau ini seawal 1303.
11. Mandi di air terjun Lata Iskandar, Perak
Terletak bersebelahan sebuah jalan lama, lokasi Lata Iskandar mungkin tidak dijangkakan ketika memandu jika anda tidak tahu kewujudannya. Dengan Street View, anda dapat tahu di selekoh mana ia boleh dijumpai agar anda boleh rehat sebentar dan hilangkan penat lelah.
12. Singgah sebentar di sawah padi Perlis
Jika ada satu jenis makanan yang memang tidak dapat ditinggalkan rakyat Malaysia, ia semestinya nasi. Walaupun Kedah lebih dikenali sebagai jelapang padi Malaysia, Perlis turut dikenali dengan sawah-sawah padinya yang berpemandangan indah, seperti yang boleh anda lihat di Street View.
13. Jalan merentasi tinggalan kubu lama di Negeri Sembilan
Jika anda mahukan sesuatu yang bersejarah, lawati Kota Lukut. Tapak tersebut memelihara tinggalan sebuah kubu yang dibina Raja Jumaat pada 1847, yang boleh anda pelajari dengan lebih lanjut menerusi artifak dan gambar di muzium yang terdapat di sini.
14. Lihat hujung paling selatan benua Asia di Taman Nasional Tanjung Piai
Taman Nasional Tanjung Piai terkenal sebagai lokasi paling selatan bagi benua Asia, tetapi ia lebih penting sebagai kawasan perlindungan bagi hutan paya bakau dan hidupan liar di sekitarnya.
15. Berehat di Taman Putra Perdana, Putrajaya
Dengan tibanya kita di penghujung lawatan Street View seluruh negara ini, jom berehat di taman rekreasi sebesar 158 ekar ini dan amati 54 spesis tumbuhan yang ditanam di kawasan tersebut. Tarikan utama taman ini merupakan mercu tanda setinggi 78 meter yang menandakan pembukaan Putrajaya pada 1995.