Oleh Sami Iqram, Pengurus Produk, Google Translate
Baru-baru ini, saya menghadiri perhimpunan keluarga rakan saya, di mana neneknya menceritakan sebuah kisah dari zaman kanak-kanaknya. Saya boleh lihat betapa terujanya beliau ketika menceritakan kisah tersebut kepada semua yang ada tetapi ada satu masalah - beliau bercerita dalam bahasa Sepanyol, sebuah bahasa yang saya tidak faham. Saya keluarkan Google Translate untuk mendapatkan transkripsi percakapannya. Sepanjang penceritaan beliau, terjemahan bahasa Inggeris muncul di telefon saya agar saya boleh ikuti cerita tersebut - ia memupuk sebuah detik pemahaman yang mungkin telah hilang. Dan kini sesiapa sahaja boleh lakukannya - mulai hari ini, anda boleh gunakan aplikasi Google Translate untuk Android untuk mendapatkan transkripsi bahasa asing ketika ia dituturkan.
‘Transcribe’ akan boleh didapati dalam beberapa hari akan datang dengan sokongan untuk mana-mana kombinasi lapan bahasa berikut: Bahasa Inggeris, Perancis, Jerman, Hindi, Portugis, Russia, Sepanyol dan Thai.
Untuk mencuba ciri transkripsi ini, pergi ke aplikasi Translate pada Android anda, dan pastikan anda mempunyai kemaskini terbaru dari Play Store. Ketik pada ikon ‘Transcribe’ di skrin utama dan pilih bahasa sumber dan sasaran dari senarai bahasa di atas. Anda boleh berhenti seketika atau mulakan semula transkripsi dengan mengetik pada ikon mikrofon. Anda boleh juga melihat transkripsi asal, tukar saiz teks atau pilih tema gelap pada menu tetapan.
Kiri: Skrin utama yang direka semula. Kanan: Cara menukar tetapan untuk pembacaan lebih selesa.
Kami akan terus menawarkan terjemahan percakapan dalam pelbagai situasi. Buat masa ini, situasi paling sesuai untuk menggunakan ciri transkripsi ini adalah di dalam persekitaran yang senyap dengan hanya seorang yang bercakap pada satu-satu masa. Dalam situasi lain, aplikasi tersebut akan cuba untuk menawarkan intipati percakapan dengan sebaik mungkin. Mod perbualan dalam aplikasi tersebut akan membantu anda menjalankan pertuturan yang diterjemah bersama seseorang.