Adalah menjadi keutamaan bagi Google untuk menjadikan internet bermanfaat dan mudah diakses oleh warga kurang upaya, termasuk hampir 700 juta orang di Asia Pasifik.
Berita baiknya, kemajuan teknologi bererti kita kini mempunyai kemampuan yang lebih besar daripada sebelumnya untuk membina peralatan dan platform dalam talian yang inklusif untuk semua tanpa mengira kemampuan. Dan apabila kami membina teknologi yang mengutamakan aksesibiliti, kami berpeluang untuk mengurangkan halangan dan membuka peluang kepada kemungkinan yang tidak pernah ada sebelum ini.
Minggu ini, sempena menandakan Hari Kesedaran Aksesibiliti Sedunia, kami mengumumkan peralatan baru yang kami harap dapat memanfaatkan kehidupan masyarakat di Malaysia, merentas rantau, dan seluruh dunia.
Kemas kini kepada Android
Telefon pintar sering menjadi gerbang kepada dunia luar - dan sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk menjadikan platform mudah alih Android kami lebih mudah diakses, kami melancarkan beberapa ciri baru.
Action Blocks
Kami ingin memberi warga yang kurang keupayaan kognitif satu cara yang mudah dan lancar untuk menjalankan tugas seharian di Android - dari panggilan video kepada orang yang tersayang hingga ke menyemak ramalan cuaca.
Untuk melakukan ini, kami telah mereka Action Blocks: aplikasi yang membolehkan tindakan rutin lebih mudah diakses dengan hanya satu butang yang dapat disesuaikan di skrin utama. Anda boleh melancarkan Action Blocks dan memilih daripada aktiviti berguna yang telah dimuatnaik secara sedia ada - atau taipkan ketetapan anda sendiri - kemudian pilih imej untuk butang anda dan letakkannya di skrin utama anda.
Live Transcribe
Pada bulan Februari 2019, kami melancarkan Live Transcribe, yang menyediakan kapsyen teks ucapan-dalam masa nyata secara percuma untuk membolehkan perbualan seharian di antara warga pekak, kurang upaya pendengaran dan yang boleh mendengar secara sempurna.
Hari ini kami mengumumkan kemas kini utama yang ketiga untuk aplikasi ini, termasuk kebolehan untuk menetapkan fon anda supaya bergetar (vibrate) apabila nama anda dipanggil; pilihan untuk menambah perkataan, tempat dan istilah anda sendiri ke Live Transcribe anda (walaupun untuk perkataan-perkataan yang tidak biasa ditemui di kamus); dan sebuah ciri yang membolehkan anda mencari dalam transkripsi yang telah anda pilih untuk menyimpan.
Sound Amplifier
Sound Amplifier dilancarkan untuk menjadikan audio pada telefon pintar Android lebih jelas, menguatkan bunyi yang lemah tetapi tidak meningkatkan bunyi yang sedia ada kuat secara mendadak, dengan ketetapan yang membolehkan anda memperibadikan pilihan anda.
Sekarang kami memperkenalkan keupayaan untuk menggunakan Sound Amplifier sebagai pembesar suara mudah alih dengan fon kepala Bluetooth - dengan ini, anda boleh meletakkan peranti anda berdekatan dengan sumber suara dan meningkatkan kelantangan tanpa mengganggu orang lain - dan sebagai alat untuk memperkuat bunyi aplikasi lain pada peranti Pixel anda, seperti YouTube dan Spotify.
Fokus kepada pendidikan
Dengan COVID-19 memaksa lebih ramai untuk belajar dari rumah, Hari Kesedaran Aksesibiliti Sedunia berpeluang untuk menjadikan pendidikan jarak jauh lebih berketerankuman dan menyoroti peralatan aksesibiliti yang tersedia untuk pelajar, guru, ibu bapa dan pemaju yang bekerja di dalam bidang teknologi pendidikan.
Sebagai tambahan kepada sumber-sumber ini, kami baru-baru ini berkongsi pelbagai panduan dan peralatan mudah yang dapat membantu pelajar kurang upaya dengan cabaran-cabaran unik pembelajaran jarak jauh. Kami akan terus bekerjasama dengan para pendidik dan keluarga untuk membantu memastikan sekolah berketerangkuman, memberikan ganjaran, dan menyeronokkan bagi pelajar dari semua jenis kemampuan, semasa coronavirus dan selanjutnya.
Melanjutkan pengembangan aksesibiliti dan keterangkuman
Internet hanya akan menjadi berguna bagi semua apabila dapat membantu mereka yang kurang upaya. Tidak dapat disangkal yang kita telah mencapai kemajuan dalam mengembangkan teknologi keterangkuman, peralatan dan aplikasi inklusif, tetapi masih ada banyak lagi yang harus diusahakan - dan usaha memperluas aksesibiliti dalam talian akan terus menjadi keutamaan bagi Google dalam semua yang kami lakukan.