Blog Rasmi Google Malaysia
Ikuti perkembangan terbaru Google di Malaysia
Hampir 3 dalam 5 orang pernah mengalami pencerobohan data peribadi atau mengenali seseorang yang pernah mengalaminya, namun 93% berterusan dengan amalan kata laluan yang lemah
Khamis, 28 Oktober 2021
Tinjauan Google mendapati sebilangan besar responden mengakui tidak mempunyai amalan kata laluan yang baik, termasuk berkongsi, mengguna semula dan menggunakan kata laluan yang boleh diteka
Walaupun hampir 3 dalam 5 (57%) pengguna internet di Malaysia mengalami pencerobohan data peribadi atau mengenali seseorang yang pernah mengalaminya, lebih daripada 90% responden yang ditinjau mengakui mengamalkan tabiat dalam talian yang buruk. Ini termasuk berkongsi, mengguna semula dan menggunakan kata laluan yang boleh diteka, menurut sebuah kajian tanggungjawab digital baharu.
Ditugaskan oleh Google dan dikendalikan oleh agensi penyelidikan pasaran YouGov pada bulan September untuk menarik perhatian kepada kesan amalan kata laluan yang buruk, kajian tersebut meninjau lebih daripada 13,000 responden berumur 18 dan ke atas merentasi 11 pasaran di Asia Pasifik. Pasaran tersebut termasuk Hong Kong, Jepun, Korea, India, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand dan Vietnam.
Kajian tersebut menggesa pengguna internet untuk membuang tabiat digital yang buruk, terutamanya dengan ramalan bahawa jualan e-dagang pada suku keempat akan meningkat sebanyak 20% - musim paling sesuai untuk melakukan penipuan.
Risiko Mengguna Semula Kata Laluan
Ledakan e-dagang yang dipacu oleh COVID-19 adalah signifikan. Aktiviti dalam talian telah berkembang dengan pesat sehinggakan rata-rata pengguna internet hari ini mempunyai 25% lebih banyak kata laluan berbanding sebelum pandemik. Ini bermakna seseorang pengguna akan memiliki 80 kata laluan atau lebih, dan itu adalah amat banyak untuk diingati.
Berdasarkan latar belakang ini, kajian Google mendapati bahawa 80% responden di Malaysia menggunakan kata laluan yang sama untuk berbilang laman web, dengan 2 dalam 5 (45%) mengakui mengitar semula kata laluan untuk sehingga 10 laman web unik. Antara kalangan pengitar semula ini, 40% berkata bahawa mereka berbuat demikian kerana mereka takut terlupa kata laluan baharu, manakala 41% mengatakan ia adalah mudah untuk menggunakan kata laluan yang sama.
Turut membimbangkan, sebanyak 51% responden tempatan juga mengaku menggunakan kata laluan yang boleh diteka, merangkumi gabungan yang paling mudah dipecahkan - daripada tarikh dan orang penting kepada nama haiwan peliharaan dan juga poskod. Lebih teruk lagi, 1 dalam 4 (25%) mengaku menyimpan kata laluan mereka dalam aplikasi 'Nota' dalam telefon mudah alih mereka, yang kebanyakannya tidak disulitkan secara lalai.
Dengan itu, terdapat juga satu masalah lain: Pengitar semula kata laluan hampir dua kali ganda (13% berbanding 7%) lebih berkemungkinan untuk mendapati data kewangan mereka dicuri dalam talian.
Berani untuk Berkongsi
Jadi dimanakah pencerobohan data berlaku? Selalunya di mana-mana sahaja data itu dikongsi - dan data memang sering dikongsi.
Kajian tersebut mendapati bahawa hampir 3 dalam 5 (57%) responden tidak ragu-ragu untuk berkongsi kata laluan dengan rakan-rakan atau keluarga. Para responden yang sama juga berkongsi kata laluan dengan platform penstriman, perkhidmatan penghantaran makanan, dan juga laman web e-dagang untuk membeli-belah, walaupun hanya 7% daripada mereka menggunakan pengurus kata laluan secara aktif.
Dari segi urus niaga dalam talian, 3 dalam 5 (60%) orang mengaku membuat pembelian di halaman yang tidak mempunyai simbol selamat, mewujudkan peluang yang sempurna untuk penipu mencuri butiran dan menjadikan responden tersebut sebagai santa peribadi mereka. Yang lebih ketara ialah 70% daripada responden yang menyimpan maklumat kewangan dalam talian juga berkongsi kata laluan dengan rakan-rakan dan keluarga, meningkatkan tahap risiko untuk pencerobohan data peribadi dengan kata laluan yang digunakan merentas berbilang peranti.
Semua tabiat buruk ini mungkin telah menyebabkan 57% daripada responden di Malaysia mengalami pencerobohan data atau mengetahui seseorang yang pernah mengalaminya.
Chuah Jia Wen, Ketua Industri Barangan Pakej Pengguna (CPG) dan Runcit di Google Malaysia berkata, “Kami tahu daripada penyelidikan sebelum ini bahawa mereka yang pernah mengalami pencerobohan data adalah 10 kali lebih berkemungkinan untuk datanya dirampas. Apabila kita berkongsi, mengitar semula dan menggunakan kata laluan yang boleh diteka, kita meletakkan maklumat peribadi, termasuk data pembayaran dalam risiko yang eksponen.”
Harapan untuk Tabiat yang Lebih Baik
Walau bagaimanapun, satu perkara yang positif muncul daripada niat yang dinyatakan oleh para responden yang bercita-cita untuk menjadi lebih bertanggungjawab secara digital. Pada masa hadapan, 64% daripada responden mengatakan bahawa mereka mungkin akan menggunakan pengesahan dua faktor (2FA), walaupun ia tidak wajib.
4 dalam 5 (80%) responden juga berkata apabila menghadapi potensi pencerobohan data, mereka akan memilih untuk menukar kata laluan mereka dengan serta merta. Menariknya, 33% daripada mereka yang tidak akan menukar kata laluan mereka dengan serta-merta dipercayai akan bertindak secara berhati-hati, memetik bahawa pemberitahuan pencerobohan itu mungkin satu penipuan.
Meneruskan nota positif ini, 2 dalam 5 (40%) mengatakan bahawa mereka mungkin akan menggunakan pengurus kata laluan, walaupun pada masa ini, hanya 7% yang menggunakannya.
Jia Wen menambah, “Jelas daripada penemuan kami bahawa pengguna internet di Malaysia ingin menjadi lebih baik dalam mengurus amalan digital mereka. Cabarannya, bagaimanapun, terletak pada jurang antara pengetahuan dan tindakan, dan kunci untuk menutup jurang ini ialah akses kepada alat yang boleh melengkapkan orang ramai dengan keselamatan dan kemudahan dengan secukupnya. Itulah sebabnya kami berusaha untuk menyediakan alat yang mudah digunakan untuk membantu orang ramai mengawal keselamatan dalam talian mereka, dan kami amat menggalakkan semua orang untuk memanfaatkannya sepenuhnya terutamanya pada musim hujung tahun ini, di mana keperluan untuk melindungi diri daripada penggodaman musim cuti adalah lebih penting berbanding sebelumnya”
Petua-Petua Mudah
Memandangkan jangkaan kadar jenayah siber meningkat dengan peningkatan membeli-belah semasa hujung tahun, mengekalkan amalan kata laluan yang baik adalah penting. Berita baiknya adalah, pelbagai alat percuma telah tersedia untuk membantu pengguna internet berbuat demikian dan Google menggesa orang ramai untuk meluangkan sedikit masa untuk mengukuhkan keselamatan dalam talian mereka dengan tiga petua mudah ini:
Sedar akan keselamatan, bina kata laluan yang lebih baik
Mengitar semula kata laluan digital adalah seakan menggunakan kunci yang sama untuk mengunci rumah, kereta dan pejabat anda - jika seseorang mendapat akses kepada satu, kesemuanya boleh diakses. Perkara yang sama berlaku dengan kata laluan yang lemah.
Kata laluan yang unik dan kukuh untuk setiap akaun boleh membantu mengurangkan risiko ini. Pastikan setiap kata laluan susah untuk diteka dan lebih baik lagi, sekurang-kurangnya mempunyai lapan aksara. Untuk menyenangkan diri, pertimbangkan penggunaan pengurus kata laluan untuk membantu mencipta kata laluan yang lebih kukuh, melindunginya dan menjejaki kesemuanya.
Sebagai contoh, Semakan Kata Laluan yang boleh dijumpai di Pengurus Kata Laluan Google, membantu menyemak kekuatan dan keselamatan semua kata laluan yang disimpan. Ia memberitahu para pengguna jika mana-mana daripadanya telah terjejas (contohnya, dalam pencerobohan pihak ketiga), dan memberikan gambaran keseluruhan tentang cara pengguna menggunakan semula kata laluan mereka merentas pelbagai laman web. Lebih penting lagi, ia mengenal pasti kata laluan yang lebih lemah yang menyebabkan akaun terdedah dan menawarkan cadangan mudah kepada para pengguna.
Gunakan pengesahan dua faktor
Menggunakan pengesahan dua faktor (2FA) - juga dikenali sebagai Pengesahan 2 Langkah - mengurangkan dengan ketara peluang seseorang mendapat akses tanpa kebenaran ke akaun individu. Bagi majoriti, perlindungan log masuk automatik Google adalah lebih dari mencukupi, tetapi semua orang harus tahu bahawa 2FA merupakan sebuah bentuk pengesahan tambahan - sebuah lapisan keselamatan tambahan.
2FA memerlukan para pengguna untuk mengambil langkah kedua setiap kali mereka log masuk ke akaun mereka, di samping nama pengguna dan kata laluan mereka. Contoh langkah pengesahan kedua termasuk: mesej teks SMS, kod enam digit yang dijana oleh sebuah aplikasi, gesaan yang anda terima pada peranti yang dipercayai atau penggunaan kunci keselamatan fizikal.
Ambil langkah lebih jauh dan lengkapkan Pemeriksaan Keselamatan Google
Mengambil
Pemeriksaan Keselamatan
boleh membantu semua orang kekal selamat dalam talian. Pemeriksaan Keselamatan Google merupakan alat langkah demi langkah yang boleh sering diguna untuk mengukuhkan keselamatan Akaun Google mereka - ia mengambil masa kira-kira dua minit untuk dilengkapkan. Ia menyediakan cadangan keselamatan yang diperibadikan dan boleh diambil tindakan kepada para pengguna, membimbing mereka untuk menyemak peranti yang disambungkan, laman web pihak ketiga yang berisiko dan aplikasi yang mempunyai akses kepada maklumat sensitif, serta pilihan 2FA.
Dapatkan lebih banyak petua keselamatan dalam talian seperti ini dengan mengunjungi
Pusat Keselamatan Google
atau kunjungi
Akaun Google
anda untuk mencari semua tetapan dan alat yang disebut dalam artikel ini.
Arkib
2024
Dis
Nov
Okt
Sep
Ogo
Jul
Mei
Apr
Feb
2023
Dis
Nov
Okt
Sep
Ogo
Jul
Mei
Apr
Mac
Feb
Jan
2022
Dis
Nov
Okt
Sep
Ogo
Jul
Jun
Mei
Apr
Mac
Feb
Jan
2021
Dis
Nov
Okt
Sep
Jul
Jun
Mei
Apr
Mac
Feb
Jan
2020
Dis
Nov
Okt
Sep
Ogo
Jul
Jun
Mei
Apr
Mac
Feb
Suapan RSS
Ikuti @googlemsia