Para guru dan pendidik di seluruh Malaysia telah menghadapi pelbagai cabaran menguruskan dan menyesuaikan pengajaran mereka sepanjang pelbagai sekatan yang dikuatkuasakan sebagai tindak balas kepada pandemik. Walaupun negara kita sedang bergerak ke arah fasa endemik, perjalanan mereka dalam penemuan pendekatan baharu dalam penerapan penyelesaian dan platform digital untuk meningkatkan pengajaran harian diteruskan, dengan beberapa guru ini menonjolkan cara unik mereka menangani cabaran ini.
“Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua guru dan pendidik kami yang sentiasa melakukan yang terbaik untuk memastikan para pelajar terus berkembang maju dan dapat belajar sepanjang masa yang mencabar ini. Saya amat berbesar hati kerana kami di Google dapat membantu ramai guru dan pendidik di seluruh Malaysia mencipta peluang pembelajaran dalam talian yang inklusif dan menawar pengalaman pembelajaran yang hebat kepada pelajar mereka melalui alat dan platform digital kami. Melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, 3.5 juta pengguna boleh mengakses aplikasi Google Workspace dan Google Classroom di platform DELIMa, menjadikannya salah satu platform pembelajaran digital yang terbesar,” kata Marc Woo, Pengarah Urusan Google Malaysia pada acara maya yang diadakan sempena Hari Guru.
Acara tersebut menyaksikan kepelbagaian perspektif dikongsi oleh sekumpulan guru mengenai langkauan sempadan digital di sekolah masing-masing - Cikgu Benny Lau, guru di SMK Taman Desa Jaya, Pasir Gudang; Cikgu Cladius Upin, guru di SMK Rancha-Rancha, Labuan; Cikgu Nashimah Banu, guru di Kolej Matrikulasi Selangor; dan Cikgu Premalatha Selvaraj, guru di SJK(T) Ladang Krian, Nibong Tebal, Pulau Pinang - dalam sebuah perbincangan panel yang dikendalikan oleh Nadia Khan, Pengurus Komunikasi di Google Malaysia.
Nadia Khan, Pengurus Komunikasi di Google Malaysia (barisan atas, kanan) bersama dengan para guru di acara tersebut: (Barisan atas, dari kiri) Cikgu Benny Lau, Cikgu Nashimah Banu, (barisan bawah, kiri) Cikgu Premalatha Selvaraj, dan (barisan bawah, tengah) Cikgu Cladius Upin.
Benny, yang juga merupakan ketua Kumpulan Pendidik Google (GEG) Pasir Gudang, berkongsi mengenai webinar yang pada mulanya dianjurkannya untuk sekolahnya sendiri kini telah menarik minat guru di seluruh negara. Beberapa sesi webinarnya telah dimuat naik ke saluran YouTube miliknya yang turut menganjurkan video tutorial serta petua tentang menggunakan Google Workspace for Education.
“Walaupun seseorang mungkin mempunyai pengetahuan terdahulu tentang alat digital seperti Google Docs, Slides dan sebagainya, webinar-webinar ini membenarkan para pendidik untuk menemui pendekatan baharu kepada amalan semasa mereka. Salah satu contoh yang jelas ialah cara seorang guru menggunakan Google Docs untuk menjalankan tugas Kajian Tindakan, sebuah inisiatif yang secara tradisinya dilakukan menggunakan pen dan kertas,” tambah Benny.
Membincang mengenai peluang yang diberikan oleh alat digital untuk membolehkan pengajaran dan pembelajaran yang fleksibel, Cladius berkongsi cara beliau meningkatkan penyertaan kelas daripada 50% kepada 80% dengan mengadakan pelajaran pada waktu petang untuk kelas Bahasa Inggeris SPM beliau, dan bukannya pada sebelah pagi. Fleksibiliti ini membolehkannya untuk menguruskan masa pelajaran yang paling sesuai dengan minat pelajar, dan meningkatkan penglibatan semasa pembelajaran.