Organisasi berita di Malaysia dan seluruh rantau Asia Pasifik merupakan peneraju inovasi dalam cara-cara berinteraksi bersama pembaca dan meneroka model perniagaan baharu. Kami telah melihat perkara ini secara langsung, bekerjasama dengan rakan kongsi di seluruh negara dan mendengar idea-idea hebat untuk menggalakkan industri berita yang lebih mampan.
Untuk menyokong inovasi ini, hari ini kami mengumumkan Google News Initiative (GNI) Innovation Challenge Asia Pasifik yang ketiga, sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk menyokong industri berita. Permohonan adalah dibuka sehingga 23 Ogos kepada organisasi berita daripada semua lapisan saiz untuk projek-projek yang tertumpu kepada inovasi di dalam industri berita.
Bagaimana Innovation Challenge berfungsi
GNI Innovation Challenge Asia Pasifik adalah terbuka kepada organisasi berita daripada semua lapisan saiz yang bertujuan untuk menghasilkan kewartawanan asli dengan projek-projek yang memberi fokus kepada inovasi untuk mewujudkan sektor berita yang lebih mampan dan pelbagai. Projek tersebut akan dinilai berdasarkan beberapa kriteria, termasuk: kesan terhadap komuniti berita, inovasi, kebolehlaksanaan dan kesediaan untuk berkongsi pengetahuan. Pemohon hendaklah berpusat di rantau Asia Pasifik dan mempunyai tempat perniagaan utama mereka di sana. Untuk maklumat lanjut tentang kelayakan projek, kriteria dan pembiayaan dana, sila layari laman web kami.
Pusingan Innovation Challenge sebelum ini telah menyokong lebih daripada 30 organisasi penerbitan di seluruh Asia Pasifik untuk membangunkan model perniagaan yang mampan dengan mempelbagaikan aliran pendapatan dan meningkatkan penglibatan khalayak ramai. Di Malaysia, Media Prima Bhd telah membangunkan sebuah portal permainan video dalam talian yang digelar MyGameOn untuk merapatkan komuniti permainan video tempatan dan meningkatkan penggunaan kandungan daripada para pemain video, manakala Malaysiakini pula memperkenalkan ‘Kini Community’, satu program ganjaran dan kesetiaan berasaskan pengumpulan mata untuk memacu langganan dan menggalakkan penglibatan pembaca.
Antara penerima yang lalu di seluruh rantau termasuk:
Di Korea Selatan, Busan Daily menggunakan kecerdasan buatan untuk mendapatkan pemahaman baru tentang pilihan pembaca dan memperkenalkan pemperibadian kepada carian di tapak, mendalami penglibatan dan meningkatkan penukaran.
The Conversation di Australia membangunkan piawaian dan alatan komuniti baharu untuk menjadikan perbualan di platform mereka lebih selamat, inklusif dan membina.
Kumparan di Indonesia mencipta suatu proses pendermaan supaya orang ramai boleh menyumbangkan wang terus daripada platform-platform berita.
Di India, News Minute melancarkan program keahlian yang menukar peminat menjadi seorang ahli, manakala saluran berita luar bandar yang dikendalikan oleh kaum wanita, Khabar Lahariya membuat peralihan kepada digital, menjangkau pembaca baharu dan membina perniagaan yang lebih kukuh.
Kisah Khabar Lahariya, sebuah organisasi berita luar bandar yang dikendalikan oleh kaum wanita di India.
Cara permohonan
Permohonan dibuka sehingga 23 Ogos jam 11:59 malam waktu Malaysia dan boleh diserahkan melalui laman web kami dalam Bahasa Inggeris, Bengali, Cina (tradisional), Hindi, Indonesia, Jepun, Korea atau Thai. Kami akan menganjurkan sesi dialog awam maya pada hari Rabu, 13 Julai jam 2:00 petang waktu Malaysia untuk menjawab soalan-soalan oleh para pemohon.
GNI Innovation Challenges telah memacu inovasi dalam industri berita sejak tahun 2018 dan telah membiayai lebih 200 projek di 47 negara di seluruh dunia. Kami mahu membantu memperkasakan organisasi berita di seluruh rantau Asia Pasifik untuk merintis pemikiran baharu bagi menyokong kewartawanan yang berkualiti. Kami berharap untuk menerima permohonan anda!
Lebih banyak peluang melalui Global News Equity Fund kami. Permohonan ditutup pada 21 Julai.
Salah satu matlamat GNI adalah untuk meningkatkan pelbagai jenis penerbitan di seluruh dunia. Sebagai sebahagian daripada usaha itu, kami telah membuka permohonan untuk Global News Equity Fund pada bulan lepas, iaitu komitmen kami untuk membantu membawa lebih banyak kepelbagaian dan ekuiti kepada industri berita. Wartawan bebas serta organisasi berita kecil dan sederhana yang menghasilkan berita asli untuk golongan minoriti dan kurang diwakili layak memohon selewat-lewatnya pada 21 Julai untuk mendapatkan pembiayaan bagi menyokong dan mengembangkan operasi berita mereka.
Melalui program ini dan lain-lain kami terus bekerjasama rapat dengan organisasi penerbitan berita di seluruh rantau Asia Pasifik untuk membantu memastikan akses kepada kewartawanan yang berkualiti.