Google akan memberikan perlindungan tambahan terhadap ancaman dalam talian kepada organisasi-organisasi dan individu-individu yang berisiko semasa pilihan raya umum Malaysia 2022 yang akan datang.
Melindungi laman web
Google menjemput semua organisasi hak asasi manusia, pemantauan pilihan raya dan organisasi media serta wartawan individu Malaysia untuk memohon kepada Project Shield. Project Shield, dicipta oleh Jigsaw dan Google, menyediakan perlindungan tanpa had percuma terhadap serangan DDoS (Distributed Denial of Service), sejenis serangan digital yang digunakan untuk menapis maklumat dengan melumpuhkan tapak web.
Project Shield menapis trafik berniat jahat menggunakan infrastruktur Google dan alatan DDoS. Jika tapak web disasarkan oleh serangan DDoS, pelayan Google akan menyekat trafik yang menyerang untuk memastikan tapak web tersebut kekal aktif dan beroperasi.
Melindungi akaun individu
Advanced Protection Program (APP) oleh Google direka untuk membantu melindungi penggubal dasar, calon, pasukan kempen, wartawan dan aktivis daripada serangan siber. Menjelang pilihan raya umum Malaysia ke-15, Google menawarkan untuk mendaftarkan individu-individu tersebut ke dalam APP agar mereka dilindungi daripada pelbagai jenis ancaman dalam talian, termasuk serangan pancingan data yang canggih, perisian hasad dan muat turun berniat jahat lain pada Chrome dan Android, serta akses tanpa kebenaran ke data akaun peribadi mereka (seperti Gmail, Drive atau Photos). Apabila ancaman baru ditemui, APP mampu menyesuaikan diri untuk menyediakan perlindungan terkini.
APP menghimpunkan perlindungan keselamatan terkuat Google ke dalam program holistik yang sentiasa ditingkatkan sebagai tindak balas kepada ancaman yang muncul.