Lebih 15 tahun yang lalu, saya melawati sebuah syarikat dengan pendekatan yang menarik terhadap video digital. Ketika saya berjalan melalui pejabat kecil YouTube yang terletak di atas sebuah kedai piza, saya dapat melihat potensi platform ini.
Saat itu bermain-main dalam fikiran saya beberapa minggu ini tatkala rakan lama dan mentor saya, Susan Wojcicki, beralih menjadi penasihat kepada Google dan Alphabet sementara saya mengambil alih sebagai pemimpin baharu YouTube.
Saya melihat potensi YouTube dari awal-awal lagi sejak zaman pemulanya. Kini, saya sangat teruja untuk menerajui YouTube pada masa hadapan.
Saya banyak menghabiskan kerjaya saya di Google dan membina produk iklan untuk membantu pembiayaan penghasilan kandungan pada Internet sebelum itu. Ketika saya bekerja sebagai Ketua Pegawai Produk YouTube, pasukan kami membuka peluang untuk para pencipta kandungan dan membangunkan pengalaman yang hebat untuk penonton.
Tatkala saya merenungkan perkara yang akan datang untuk YouTube, saya yakin kami akan mencurahkan sepenuh tenaga kepada perkara yang paling penting untuk para pencipta dan penonton. Hari ini, saya mahu berkongsi kemaskinian tentang kepentingan kami yang paling utama: menyokong kejayaan pencipta kandungan, membina YouTube buat masa hadapan dan melindungi komuniti YouTube.
Menyokong Kejayaan Pencipta Kandungan
Para pencipta kandungan dan artis ialah teras YouTube dan saya akan terus mengutamakan mereka. Dalam iklim makroekonomi yang mencabar ini, kami menawarkan peluang untuk mengembangkan perniagaan pada platform kami. Ekosistem kreatif YouTube menyokong lebih dua juta pekerjaan pada tahun 2021 di Brazil, Kanada, Amerika Syarikat, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Perancis, Australia, Jerman, United Kingdom, India dan Turkiye secara keseluruhannya, menurut kajian oleh Oxford Economics.
Berbilion penonton mengakses YouTube setiap bulan untuk menonton video selama berbilion jam setiap hari dan kini lebih ramai yang membuat kandungan pada YouTube berbanding dahulu. Contohnya, Beleaf in Fatherhood menyingkap kehidupan berkeluarga hari demi hari melalui kaca mata seorang ayah dan menunjukkan kerumitan membesarkan anak di Amerika yang berubah-ubah. Selain itu, doktor gigi Cafe Maddy berubah menjadi pencipta kandungan makanan sepenuh masa pada tahun lalu.
Yang berikut ialah cara kami akan berusaha untuk menyokong kejayaan pencipta kandungan pada seluruh platform pada tahun ini:
Memberi pencipta kandungan lebih banyak kaedah untuk memperoleh wang. YouTube membantu pencipta kandungan membina hubungan yang rapat dengan khalayak dan menawarkan pelbagai alatan untuk mencari rezeki melalui pekerjaan yang disukai mereka. Ribuan saluran memperoleh wang pada YouTube untuk kali pertama pada tahun lepas. Kami turut menyediakan lebih banyak peluang untuk pencipta kandungan selain iklan dengan mengembangkan perniagaan langganan kami, melabur dalam membeli-belah dan meningkatkan tawaran barangan digital berbayar kami secara berterusan. Kewujudan pilihan ini untuk pencipta kandungan memberikan kesan kepada mereka. Pencipta kandungan Korea Selatan 진용진(Jin Yong-jin) memperoleh lebih 30,000 ahli selepas pelancaran keahlian saluran tujuh bulan lalu. Di samping itu, lebih enam juta penonton membayar untuk keahlian saluran YouTube pada bulan Disember 2022 -- jumlah ini meningkat lebih 20% berbanding dengan tahun sebelumnya.
Mendengar maklum balas pencipta kandungan. Pada tahun ini, saya tidak sabar untuk bertemu dengan lebih ramai pencipta kandungan secara bersemuka dan mengetahui cara kami boleh menyokong mereka di YouTube. Maklum balas pencipta kandungan ialah bahagian yang penting dalam cara kami membangunkan produk, seperti ciri yang membolehkan pencipta kandungan menjangkau khalayak baharu dengan menambahkan trek bahasa pada video mereka. Kami mengembangkan akses kepada ciri ini kepada lebih ramai pencipta kandungan dan juga menguji ciri ini pada strim langsung dan video Shorts. Acara strim langsung yang dianjurkan oleh pencipta kandungan permainan video Ludwig pada bulan Disember lepas telah disertakan dengan trek audio dalam bahasa Inggeris, Perancis dan Sepanyol. Strim tersebut memecah rekod saluran YouTube miliknya untuk tontonan serentak.
Kami turut menerima maklum balas daripada para pencipta kandungan tentang kepentingan meluaskan ketersampaian untuk orang yang pekak atau kurang pendengaran. Dengan pelaburan jangka panjang dalam pembelajaran mesin, kini kami menyediakan sari kata automatik dalam lebih banyak bahasa. Kami juga menawarkan sari kata terjemahan mesin untuk peranti mudah alih yang membolehkan penonton menterjemahkan sari kata mereka kepada 16 bahasa. YouTube telah membuat sari kata untuk lebih enam bilion video dan lebih daripada satu bilion pengguna menonton video dengan sari kata didayakan setiap hari (setakat bulan Disember 2022).
Kami turut mendapat maklum balas para pencipta kandungan melalui sokongan yang ditingkatkan. Pada tahun lepas, kami meningkatkan lebih dua kali bilangan pencipta kandungan dan rakan kongsi yang boleh mendapatkan bantuan langsung melalui fungsi sembang atau e-mel. Lebih separuh daripada pencipta kandungan ini berada di luar A.S. Kami juga meningkatkan dengan ketara bilangan pencipta kandungan yang mempunyai pengurus rakan kongsi untuk memberikan petua strategik untuk berjaya pada platform YouTube.
Komuniti pencipta kandungan yang semakin berkembang. Kami mengalu-alukan para pencipta kandungan permainan video digital fuslie, Sykkuno, LilyPichu, Swagg, Myth dan NexxuzWorld untuk menyiarkan strim secara eksklusif di YouTube pada tahun lepas. Mereka membantu kami membina momentum yang mengagumkan - kami menyaksikan lebih dua trilion tontonan berkaitan dengan permainan video digital pada platform kami pada tahun 2022. Kami telah melihat bagaimana cara hadiah keahlian menghubungkan para pencipta kandungan dengan komuniti mereka dan pada tahun ini kami mengembangkan ciri ini kepada peranti mudah alih. Strim permainan video digital menghasilkan pelbagai sorotan dan reaksi yang sukar dilupakan dan sering dijadikan klip oleh penonton. Kami akan membolehkan penonton mengadun semula klip menjadi video Shorts dan menambahkan ciri yang memudahkan penggubahan semula kandungan permainan video yang terbaik untuk dijadikan sebagai video Shorts. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang visi kami untuk permainan video digital pada tahun 2023, saksikan wawancara CouRage dengan Ketua Permainan Global kami yang baharu.
Membina untuk YouTube Masa Hadapan
Kami melabur dalam ciri dan pengalaman yang akan menjadikan YouTube platform utama yang hebat untuk para penonton dan pencipta kandungan pada masa kini dan masa hadapan, seperti memperkukuh penstriman dan TV yang disambungkan, serta merungkai potensi kreatif yang tiada taranya. Berikut ialah beberapa aspek yang akan kami tumpukan secara khusus:
Penonton: Pengalaman terbaik bagi penstriman dan TV yang disambungkan. Sejak awal lagi, YouTube telah memupuk komuniti dengan penonton dan pada hari ini, kami memberi orang ramai pengalaman yang lebih baik untuk berinteraksi dengan para pencipta kandungan dan antara satu sama lain. Kami mulakan dengan memenuhi keperluan penonton mengikut cara mereka menonton kandungan. Lama-kelamaan, kita dibawa kembali kepada skrin terbesar dalam kebanyakan isi rumah, iaitu TV. TV ialah skrin yang paling pantas berkembang pada tahun lepas dan kami menyaksikan pertumbuhan serta momentum di seluruh dunia.
Kami menyampaikan pengalaman YouTube yang terbaik ke ruang tamu - para pencipta kandungan yang disukai ramai, penstriman yang dimahukan dan ciri-ciri berguna yang dijangkakan daripada YouTube. Baru-baru ini, kami menyesuaikan pengalaman mudah alih Shorts kepada format mesra TV. Selain itu, kami melancarkan Saluran Primetime, cara baharu untuk pengguna menonton kandungan daripada perkhidmatan penstriman kegemaran mereka pada apl YouTube.
Pada bulan Disember pula, kami mengumumkan bahawa NFL Sunday Ticket akan tersedia pada YouTube TV dan Saluran Primetime. Perkongsian dengan NFL yang berkembang ini akan membantu YouTube menjadi tempat terbaik untuk menonton bola sepak. Pelanggan akan melihat ciri daripada YouTube TV - seperti kebolehan menonton permainan utama - ditambahkan pada apl YouTube utama. Para pencipta kandungan juga akan berhubung dengan peminat sukan melalui liputan dan ulasan. Sunday Ticket juga akan disertakan dengan kaedah untuk berinteraksi dengan peminat lain, termasuk ulasan, sembang dan tinjauan pendapat. Lewat tahun ini, YouTube TV akan bersiaran dengan sesuatu yang baharu: ciri yang membolehkan penonton menyaksikan pelbagai perlawanan sukan secara serentak.
Pencipta kandungan: menzahirkan kreativiti melalui pelbagai format. Pencipta kandungan masa kini menguji batas ekspresi secara berterusan. YouTube menawarkan kanvas kreatif yang terbesar daripada mana-mana platform dan kami tidak henti-henti mengembangkan platform ini. Kami menjadikan penciptaan melalui pelbagai format lebih menakjubkan agar pencipta kandungan mempunyai cara baharu untuk meluahkan diri mereka dan meraih bilangan penonton. YouTube Shorts memberi pencipta kandungan jangkauan yang lebih hebat - kini purata tontonan Shorts mencecah lebih 50 bilion setiap hari (setakat bulan Disember 2022). Pada tahun lepas, bilangan saluran yang memuat naik video pada Shorts melonjak lebih 80% setiap hari. Saya suka melihat cara orang menggunakan Shorts untuk membina komuniti, seperti mewujudkan ruang selamat untuk membincangkan imej tubuh badan.
Satu bidang yang semakin diminati pencipta kandungan ialah penerbitan dan pengedaran podcast. Malah, menurut Edison, kini YouTube merupakan destinasi kedua yang paling popular untuk mendengar podcast. Pada tahun ini, kami akan memastikan pencipta kandungan dan artis dapat menyiarkan podcast mereka pada YouTube dengan lebih mudah. Ciri baharu pada YouTube Studio akan memudahkan lagi penerbitan podcast. Kami juga akan mula menyediakan kedua-dua podcast audio dan video asal kepada berjuta-juta orang yang menggunakan YouTube Music di Amerika Syarikat, dengan lebih banyak kawasan akan menyusul. Kemudian, pada hujung tahun ini, integrasi RSS akan menawarkan cara lain kepada pemilik podcast untuk memuat naik rancangan mereka pada YouTube dan memberi pengguna kami lebih banyak pilihan untuk mendengar.
Tatkala kami mengkaji pelan tindakan produk kami, kami bukan sahaja merancang untuk beberapa tahun yang akan datang. Saat ini amat penting bagi penciptaan video digital dan kami membayangkan rupa masa hadapan penciptaan. Pencipta kandungan mahukan platform yang bukan sekadar membolehkan mereka menekan butang muat naik. Mereka memerlukan alatan canggih untuk mengembangkan cita-cita melalui video Shorts, video langsung, podcast dan pelbagai lagi. Pada tahun ini, kami akan melancarkan alat penciptaan yang membolehkan pencipta kandungan merakam video Shorts dalam reka letak bersebelahan dengan kedua-dua video Shorts dan video YouTube agar mereka dapat menambahkan sentuhan tersendiri kepada video sohor kini atau mengikut serta dengan memberikan reaksi.
Di samping itu, kuasa AI juga mula bangkit menerusi penciptaan semula video dan mengubah sesuatu yang seakan-akan mustahil menjadi realiti. Pencipta kandungan akan dapat mengembangkan penceritaan dan meningkatkan nilai penerbitan mereka, daripada menukar pakaian secara maya sehingga mencipta latar filem fantasi melalui keupayaan penjanaan AI. Kami tidak terburu-buru untuk membangunkan ciri ini dan mahu memastikan garis panduannya dirangka dengan teliti. Nantikan perkembangan pada beberapa bulan akan datang sementara kami melancarkan alat untuk pencipta kandungan serta perlindungan untuk menyelami teknologi ini dengan bertanggungjawab.
Melindungi Komuniti YouTube
Saat kami terus menginovasi, tiada perkara yang lebih penting daripada memenuhi tanggungjawab kami untuk melindungi komuniti kami. Kami melabur dalam pasukan, teknologi dan sistem untuk memastikan pencipta kandungan dan penonton mempunyai pengalaman yang selamat pada YouTube.
Segala usaha ini adalah penting tetapi terutamanya sebagai seorang bapa, saya menitikberatkan usaha kami untuk melindungi kanak-kanak pada platform kami. Kami sentiasa mencari pelbagai jalan untuk memudahkan video mesra keluarga dicari melalui YouTube Kids dan pengalaman yang diawasi kami. Kami membina YouTube Kids untuk mewujudkan persekitaran untuk kanak-kanak meneroka minat mereka dan memberi ibu bapa alatan untuk menyesuaikan pengalaman buat keluarga mereka. Kami juga membangunkan perlindungan untuk pengguna yang berumur bawah 18 tahun, seperti memastikan muat naik diperibadikan secara lalai. Namun, sekadar lebih selamat untuk kanak-kanak adalah tidak memadai, kami juga mahu mereka menerokai video yang bermakna. Walaupun tiada sistem yang sempurna, kami melaburkan sumber yang banyak untuk mewujudkan berbilang lapisan perlindungan dan melonjakkan kandungan bermutu tinggi yang membantu kanak-kanak belajar dan membesar.
Kami akan terus melibatkan diri dengan penggubal dasar untuk berkongsi perspektif tentang dasar yang memberikan kesan kepada pencipta kandungan dan artis kami. Kerajaan di seluruh dunia mengemaskinikan undang-undang dan memperkenalkan rang undang-undang yang akan mencorak persekitaran digital. Kami sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat dan membenarkan suara yang majmuk untuk didengari. Itulah sebabnya kami melibatkan diri dalam perdebatan berkenaan Seksyen 230 Akta Tatasusila Komunikasi di A.S., yang telah memacu karya pencipta kandungan kami dan memberi kami kebolehan mengalih keluar kandungan berbahaya. Kami turut terlibat dalam perbincangan tentang cadangan di Eropah yang mungkin mengehadkan pertuturan berunsur politik dan Rang C-11 di Kanada yang boleh memaksa kami memaparkan kandungan berdasarkan syarat kerajaan dan bukan minat pengguna.
Pada Masa Akan Datang
Saat ini amat penting bagi industri kami. Kami menghadapi cabaran ekonomi yang membelenggu dan keadaan geopolitik yang tidak menentu. AI menampilkan peluang kreatif yang hebat tetapi AI mestilah diseimbangkan dengan pengawasan yang bertanggungjawab. Pencipta kandungan, penonton dan pengiklan mempunyai pilihan yang lebih pelbagai untuk meluangkan masa mereka berbanding dengan dahulu dan platform seperti YouTube perlu memberikan perkhidmatan yang baik melalui pelbagai format sambil melabur dalam dasar yang melindungi platform daripada kemudaratan dunia sebenar.
Saya melihat kekuatan YouTube bertahun-tahun yang lalu di pejabat YouTube yang terletak di atas sebuah kedai piza. Kekuatan YouTube terbit daripada semangat komuniti yang dikongsi umpama lilitan kuat kerana simpulnya. Keajaiban platform kami wujud kerana para pencipta kandungan, artis, pengiklan dan penonton boleh berganding bahu untuk membuat sesuatu yang mengagumkan.
Perkara ini yang mendorong saya dan semua orang di YouTube untuk melakukan yang terbaik setiap hari. Kami juga akan meneruskan usaha sedemikian sambil berusaha untuk menjadikan platform kami tempat yang lebih hebat untuk berkongsi cerita, mempelajari kemahiran baharu, mengakses maklumat dan membina komuniti.
Pengalaman YouTube yang terbaik semestinya akan tersedia pada masa hadapan.